BERAYA dengan kanak-kanak berkeperluan khas atau neurodivergent adalah cabaran terbesar ibu bapa, apatah lagi terpaksa menguruskan perubahan rutin dan emosi anak yang tidak menentu.
Mana tidaknya, suasana yang bising serta interaksi sosial yang panjang boleh menyebabkan mereka cepat letih, cemas, atau berasa tidak selesa.
Bagi mereka yang tidak tahu, kanak-kanak neurodivergent merujuk kepada cara pemprosesan otak yang berbeza dan unik daripada biasa.
Ini bermaksud mereka mungkin mengalami perbezaan dalam cara berfikir, belajar, berkomunikasi dan memahami dunia di sekeliling.
Antara contoh neurodivergent termasuklah ADHD, Autisme, Dyslexia, Dyscalculia dan Dyspraxia serta kanak-kanak dengan masalah deria.
Menurut perkongsian jurulatih keibubapaan Iffah Rashida, ibu bapa yang menjaga anak-anak istimewa ini perlu lebih bersabar dan bersedia dengan pelbagai kemungkinan bagi memastikan sambutan Hari Raya berjalan lancar.
"Keadaan boleh menjadi agak huru-hara, jadi tidak mengapa jika sesekali kita mengambil masa untuk menjauhkan diri apabila terasa terlalu sesak atau tertekan.
"Jika keadaan tidak berjalan seperti yang dirancang atau sesuatu di luar kawalan berlaku, jangan salahkan diri sendiri sebaliknya puji diri sendiri kerana cuba memberi pengalaman beraya kepada anak," ujarnya di laman Facebook.
Kanak-kanak neurodivergent memerlukan ruang buat diri mereka.
Berikut adalah tip beraya bersama anak-anak berkeperluan khas atau neurodivergent:
1) Bertenang dan tarik nafas dalam-dalam.
2) Fahami had anak dengan perhatikan tanda-tanda keletihan, mengantuk, lapar, atau dahaga.
3) Bawa makanan yang sesuai untuk anak serta pastikan mereka kekal terhidrasi dengan minum air secukupnya.
4) Pastikan anak memakai pakaian yang selesa, terutama dalam cuaca panas.
Selepas sesi bergambar dengan pakaian raya, mereka boleh menukar ke pakaian yang lebih selesa.
5) Rancang jadual dengan baik, terutama jika ia melibatkan waktu tidur anak.
Jelaskan jadual kepada mereka dan maklumkan sekiranya ada perubahan.
6) Bawa mainan atau alat yang dapat membantu mereka menguruskan deria, seperti teether, spinning tops, fon kepala peredam bunyi, kertas dan pen, atau radio kecil.
7) Perhatikan anak jika mereka mengalami rangsangan berlebihan. Jika perlu, bawa mereka ke tempat yang lebih tenang untuk berehat dan menenangkan diri.
Jika keadaan menjadi terlalu mencabar, tidak mengapa untuk pulang lebih awal.
8) Kawal pengambilan gula dengan mengehadkan jumlah biskut raya dan minuman manis.
9) Berikan penerangan kepada anak tentang suasana Hari Raya, termasuk tingkah laku yang dijangka dan cara untuk berkomunikasi apabila mereka memerlukan sesuatu.
10) Terangkan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan tentang keadaan anak.
Ketepikan komen negatif atau pendapat yang tidak diminta, dan fokus pada kesejahteraan anak.
11) Jika anak mula menunjukkan minat untuk bermain dengan kanak-kanak lain, biarkan mereka meneroka interaksi tersebut.
12) Biarkan anak menenangkan diri dengan cara mereka, selagi ia selamat. Bentuk rangsangan deria yang selamat harus diterima.