suria

Tak dapat balik kampung? Jangan sedih, ini cara jadikan Aidilfitri anda lebih bermakna di perantauan

Tidak semua dapat merasa pulang ke kampung halaman atas sebab tertentu.

HARI Raya Aidilfitri cukup sinonim dengan momen perantau pulang ke pangkuan keluarga untuk menyambut kemeriahan lebaran di kampung halaman.

Namun tidak semua orang mendapat peluang sama, ada yang terpaksa meraikannya bersendirian kerana komitmen kerja, kekangan kewangan, atau situasi yang tidak dijangka.

Meskipun begitu, anda masih boleh mengubati kerinduan terhadap keluarga dan menyambut Syawal dengan cara tersendiri untuk menjadikan perayaan tahun ini lebih bermakna.

Berikut adalah aktiviti yang boleh dilakukan buat mereka yang tidak dapat pulang ke kampung halaman:

1. Berhubung dengan keluarga menggunakan media sosial

Dalam era digital, jarak bukan lagi halangan untuk merasa dekat dengan keluarga melalui panggilan video, pesanan ringkas, dan perkongsian foto.

Meskipun tidak dapat bersama secara fizikal, anda masih boleh berbual dan bergelak ketawa melalui skrin.

2. Wujudkan suasana hari raya seperti di kampung halaman

Walaupun tidak berada di kampung, anda masih boleh mencipta suasana hari raya di rumah untuk menambah kemeriahan.

Perkara kecil seperti menghias kediaman, masak juadah Aidilfitri dan pakai pakaian yang cantik dapat menghilangkan rasa rindu dan menjadikan perayaan lebih bermakna.

3. Buat rancangan beraya bersama rakan-rakan senasib 

Cari rakan yang juga tidak pulang berhari raya dan lakukan aktiviti menyeronokkan bersama.

Anda boleh mengadakan jamuan makan di rumah, menonton filem, atau sekadar berjalan-jalan agar anda tidak berasa keseorangan. 

Masa yang ada dinikmati sebaiknya untuk bersendirian

4. Transfer duit raya untuk keluarga di kampung

Walaupun tidak dapat pulang beraya, anda tetap boleh memberi duit raya kepada keluarga tercinta sebagai tanda ingatan.

Dengan pemberian itu, keluarga pasti akan gembira, malah anda juga akan berasa lebih baik.

5. Manfaatkan masa yang ada untuk 'me time'

Anda perlu tetap bersyukur dan nikmati masa bersendirian dengan melakukan perkara yang menggembirakan anda. 

Hari raya bukan hanya tentang pulang ke kampung, tetapi lebih kepada makna di sebaliknya iaitu merasai kemesraan, kasih sayang, dan kebersamaan walaupun dari jauh.