SEORANG kanak-kanak perempuan berusia empat tahun terpaksa menjalani tiga pembedahan selepas disahkan buta akibat menggigit kapsul pencuci pakaian.
Berkongsi cerita, wanita berusia 34 tahun yang juga ibu kanak-kanak tersebut berkata, anaknya tiba-tiba menggigit kapsul pencuci pakaian berkenaan dan menyapu cecair yang keluar pada muka semasa membantu dia melakukan kerja-kerja pembersihan.
Bimbang dengan insiden yang berlaku, dia yang berasal dari Perth, Australia kemudiannya membawa kanak-kanak itu ke bilik air bagi membersihkan kesan pencuci berkenaan.
Keadaan mata kanak-kanak ini selepas terkena kapsul pencuci pakaian.
Namun malangnya, kanak-kanak berkenaan terus menjerit kesakitan dan dikejarkan ke hospital dalam kejadian pada 23 Mac lalu.
Pasukan perubatan cuba untuk 'membasuh' bahagian mata anaknya sebanyak empat kali, namun usaha tersebut gagal sehingga akhirnya tiga pembedahan terpaksa dilakukan.
"Semasa di hospital, dia menjalani tiga pembedahan selepas doktor mendapati kecacatan pada mata kirinya," jelasnya.
Menerusi perkongsian gambar, mata anaknya kelihatan merah membengkak dan diliputi lepuh selepas beberapa hari kejadian berlaku.
Malah selepas 16 hari berada di hospital, keadaan matanya masih belum pulih meskipun dibenarkan keluar hospital. - Mirror