suria

Punca anak sakit terjawab lepas ambil botol susu di rumah pengasuh, kotoran lebih teruk daripada sangkaan

Kebersihan botol susu penting bagi mengelakkan bayi mengalami masalah kesihatan. -Gambar hiasan

BAYI baru lahir lebih mudah mendapat penyakit kerana sistem imunisasinya belum matang.

Justeru ibu bapa dan penjaga disarankan untuk sentiasa mementingkan penjagaan bayi termasuk pengendalian pakaian serta perkakas seperti botol susu.

Menerusi hantaran di media sosial, seorang wanita berkongsi cerita mengenai kesihatan anak perempuannya yang terpaksa dimasukkan ke hospital.

"Masa bekerja tahun lepas, anak saya tiba-tiba tak sihat dan dimasukkan ke wad. 

"Kemudian saya ambil botol susu kat rumah pengasuh sebab bimbang kalau ditahan lama, jadi ada botol susu lebih.

"Apabila buka puting tu, nampak kotor berlumut... saya tak rasa dia akan sanitize tapi tak jangka akan berlumut," luahnya yang terkejut melihat keadaan puting botol berkenaan.

Keadaan puting botol susu anaknya yang diambil dari rumah pengasuh.

Keadaan puting botol susu anaknya yang diambil dari rumah pengasuh.

Situasi yang berlaku itu membuatkan dia enggan menghantar anaknya kepada pengasuh itu lagi dan menamatkan kontrak perkhidmatan.

"Pengasuh tanya kenapa tak hantar, tapi saya tak jelaskan apa-apa sebab sakit hati.

"Dia jaga agak ramai, jadi rasa macam dia lebih tahu... bayaran pun mahal, tapi kena macam ni," luahnya lagi.

Dalam pada itu, seorang jururawat terlatih, Nur Nabiila Masfuzah Abdullah berkongsi dalam majalah Pa&Ma tentang penjagaan kebersihan yang perlu dilakukan demi kesihatan anak-anak.

1. Kerap mencuci puting botol susu anak

Semasa mencuci puting susu, anda perlu bersihkan ia dengan span lembut supaya tidak mengoyakkan puting. 

Pastikan setiap sudut dicapai hingga ke hujung puting susu. 

Kemudian, asingkan setiap bahagian dan komponen botol susu.

2. Elak biarkan sisa susu tidak habis lama di dalam botol

Sisa susu perlu terus dibuang kerana ia boleh menjadi medium pembiakan kuman dan bakteria.

Apabila susu menjadi basi, ia akan menimbulkan bau yang kurang enak. 

Ini secara automatik akan menyebabkan kebersihan botol susu menjadi terganggu.

Puting botol susu perlu dibuka dan dibersihkan dengan teliti.

Puting botol susu perlu dibuka dan dibersihkan dengan teliti.

3. Pastikan botol susu sentiasa kering

Jangan simpan dalam keadaan basah dan tertutup kerana ia boleh menjadi perumah bakteria dan kuman.

Segera keringkan botol setelah dibersihkan atau anginkan ia dengan meletakkan di tempat rak yang dikhaskan bagi mengeringkan botol dan puting.

4. Sterilkan botol dan puting secara berkala

Bagi menyahkuman botol dan puting, pensterilan boleh dilakukan dengan menggunakan alat khas atau merebus botol susu serta puting setelah dibersihkan.

Pastikan keseluruhan botol dan puting susu terendam di dalam air.

Rebus cukup setakat air mendidih dan biarkan sekurang-kurang dua hingga tiga minit setelah mendidih.

Keluarkan botol menggunakan penyepit khas agar kesterilannya terjaga.

Artikel Lain