suria

Misi kerja amal eratkan hubungan ibu tunggal bersama 4 anak, kini lebih hargai erti kehidupan

Zarina bersama empat anak-anak kesayangannya sibuk membantu menyediakan makanan untuk gelandangan. Foto ART CHEN

SELEPAS rumah tangganya bersama bekas suami berakhir, Zarina Zainuddin perlu mencari sesuatu untuk melupakan kesedihan yang dialaminya akibat penceraian.

Atas sebab itu juga Zarina nekad meneruskan kehidupan dengan memberi fokus kepada golongan memerlukan.

"Ada kekosongan dalam hidup saya selepas bercerai. Untuk membuatkan diri sibuk, saya mengambil keputusan untuk mendaftar sebagai sukarelawan kerana menganggap kerja-kerja kebajikan dapat memulihkan semangat saya," kata wanita berusia 46 tahun ini kepada The Star.

ARTIKEL BERKAITAN: Gigih ubah nasib komuniti Orang Asli, Hanim Apeng tetap junjung prinsip "Sejauh mana pergi, jangan lupa asal usul"

Ia terbukti terapi terbaik bagi membantunya melupakan kesedihan dan setahun selepas itu Zarina mengajak empat anak kesayangannya untuk turut serta dalam kerja-kerja kebajikan.

Anak-beranak ini sibuk menyediakan makanan untuk diserahkan kepada gelandangan. 

Kini sudah empat tahun Abdullah Ahmad Farouk, 21, Firdaus, 18, Zubayr, 16 dan Maisarah, 12, membantu ibunya sebagai sukarelawan dengan sebuah organisasi bukan kerajaan iaitu Feeding The Needy (FTN) yang membantu mengagihkan makanan kepada gelandangan dan fakir miskin di Chow Kit, Kuala Lumpur.

Zubayr yang baru berusia 12 tahun ketika mula berjinak-jinak dalam kerja amal dan membantu ibunya mengakui pada awalnya berasa takut untuk ke kawasan gelap pada waktu malam walaupun ditemani ibunya.

"Kebimbangan saya adalah keselamatan, namun prespektif saya berubah apabila saya melihat banyak keluarga yang tiada rumah, orang kurang upaya dan warga emas yang beratur untuk mendapatkan makanan.

"Ia membuatkan saya tersedar betapa beruntungnya hidup saya, malahan saya percaya sesiapa sahaja tanpa mengira usia boleh menyumbangkan sedikit tenaga untuk kerja-kerja kebajikan.

Zubayr memberikan belon kepada kanak-kanak.

"Kita boleh mulakan dengan menderma barang main, buku dan pakaian kepada anak-anak yatim," katanya yang kini berada di tingkatan empat.

Puas gembirakan orang lain

Setiap minggu, Zubayr dan adik-beradiknya akan menyertai 30 sukarelawan lain untuk mengagihkan 500 bungkusan makanan kepada golongan memerlukan.

Zubayr bersama dua abang dan adik perempuannya turut membantu memantau barisan gelandangan yang beratur mengambil makanan, selain membersihkan kawasan selepas kerja-kerja agihan selesai.

"Satu sesi boleh ambil masa selama tiga jam. Bebanan kerja akan semakin ringan sekiranya lebih ramai sukarelawan datang membantu dan kepuasan itu akan datang apabila kita tahu ia dapat menggembirakan orang lain," ujarnya.

Aktiviti sukarelawan mengeratkan hubungan Zarina dan anak-anak.

Sementara itu, Zarina memberitahu penglibatan anak-anaknya dalam kerja-kerja sukarelawan banyak memberi impak positif kepada keluarganya.

Kata Zarina, aktiviti itu banyak mengubah cara pemikiran anak-anaknya termasuk menghargai kehidupan mereka.

"Mereka lebih merendah diri serta menghargai setiap perkara kecil yang mereka miliki. Mereka tidak membazir makanan, membelanjakan wang dengan bijak malah suka membantu orang lain," katanya yang bangga dengan empat anaknya.

Bagi Abdullah pula, penglibatannya adalah pelajaran paling besar dalam memupuk rasa rendah diri selain menilai kehidupan seseorang.

Setiap daripada mereka mempunyai kisah tersendiri untuk diceritakan, namun semuanya melalui pelbagai kepayahan untuk memenuhi keperluan seharian.

ABDULLAH AHMAD FAROUK

Malah ia mengajarnya untuk bersabar dan mendengar kisah gelandangan di jalanan juga membuatkan dia tidak taksub terhadap kebendaan.

"Setiap daripada mereka mempunyai kisah tersendiri untuk diceritakan, namun semuanya melalui pelbagai kepayahan untuk memenuhi keperluan seharian.

"Daripada membandingkan diri sendiri dengan orang lain, saya belajar untuk menghargai apa yang saya ada," jelasnya.

Selain membantu gelandangan, Zarina berkata dia dan anak-anaknya turut melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti dianjurkan FTN seperti Free Market yang menyediakan pelbagai keperluan asas seperti pakaian, mainan, produk penjagaan diri dan sebagainya.

Zarina dan dan Abdullah ketika misi membantu mangsa gempa bumi di Lombok, Indonesia.

Hadiah hari lahir 

Malah pada November tahun lalu, mereka sekeluarga terbang ke Lombok, Indonesia untuk membantu mangsa gempa bumi.

"Misi itu diadakan sehari sebelum hari jadi saya. Saya pilih tarikh itu kerana saya mahu memberi sesuatu kepada golongan memerlukan pada hari istimewa saya dan ia adalah hadiah terbaik yang pernah saya dapat," kongsinya.

Melibatkan diri dalam aktiviti seumpama itu turut merapatkan hubungan mereka anak-beranak.

"Kami bekerja sebagai sebuah pasukan. Ia saat menggembirkan terutamanya apabila kami berjaya menyelesaikan misi yang diberikan.

Zarina mahu menjadi contoh yang baik untuk anak-anaknya.

"Kerja kebajikan juga membantu membentuk personaliti anak-anak saya sebagai penyayang dan pemurah kepada orang lain dan berharap sikap itu akan menjadi tabiat sehingga mereka dewasa," jelasnya.

Zarina bagaimanapun berkata, dia turut memastikan anak-anaknya tetap fokus kepada pelajaran dan aktiviti sukarelawan ini juga banyak membantu mendisiplinkan mereka ketika di sekolah.

"Saya bersyukur kerana mereka tidak pernah merungut dan sebagai ibu saya perlu memainkan peranan dan contoh baik kepada mereka.

"Kebaikan, belas kasihan antara sifat yang perlu dipamerkan oleh ibu bapa dan anak-anak akan belajar daripadanya," katanya.

Artikel Lain