suria

Siapa Musy Mustakim yang kononnya berangan nak jadi Bretman Rock Malaysia? Wajah disamakan dengan PU Abu

Segelintir pelayar media sosial menuduh Musy cuba meniru gaya personaliti terkenal, Bretman Rock yang pernah ditemuinya beberapa tahun lalu.

MENJADI perbualan ramai kerana video-video membebel secara spontan, kelibat jejaka ini di media sosial turut disamakan dengan personaliti terkenal dunia, Bretman Rock.

Sekali imbas, ada sedikit persamaan namun Musy Mustakim menolak dakwaan kononnya dia terlalu mencuba untuk meniru gaya bintang kelahiran Filipina itu.

Selain video-video 'bermulut lahar' yang menjadi sajian di media sosial, pemilik nama Muhammad Musyawwir Mustakim itu turut berbakat dalam penghasilan lagu.

ARTIKEL BERKAITAN: Gila-gila orangnya, Sean LJE dedah sering bawa boxer Batman ke luar negara sebab rasa selamat

Malah, semenjak dua menjak ini, banyak pula video miliknya yang ditularkan semula menerusi laman Twitter sehingga dia menjadi jenaka warga maya.

Ada yang menuduh dia terlalu mencuba untuk menjadi Bretman Rock, ada pula yang menyamakan wajahnya dengan ustaz kontroversi, Pencetus Ummah (PU) Abu.

Tak hirau pandangan orang

Namun segalanya ibarat masuk telinga kiri keluar telinga kanan buat anak kelahiran Subang Jaya, Selangor yang berusia 25 tahun ini.

Musy sudah dua tahun berpindah ke Amerika Syarikat.

Mesra disapa Mussy, dia merupakan seorang yang jujur dan sentiasa menjadi dirinya dalam setiap perkara yang dilakukan.

Tambahnya lagi, sifat yang menjadi pegangan dirinya itu banyak diwarisi daripada ibunya, Yasmin Saulnier, 62, yang sudah 19 tahun berhijrah ke Amerika Syarikat (AS).

"Saya baru dua tahun berpindah ke AS. Sekarang saya cuti dua bulan di Malaysia dan akan kembali ke sana pada awal September.

"Buat video ni sebenarnya dah lama, dari Bigo, Instagram, sehinggalah ke Twitter. Saya suka membebel cakap pasal diri sendiri, buat secara suka-suka sahaja.

"Saya pun memang minat Bretman Rock dan pernah jumpa serta selfie dengannya. Nak cakap saya tiru tu, tak kot. Cuma terinspirasi sikit dengan dia.

"Ada juga yang samakan muka saya dengan PU Abu, saya memang tergelak. OK la kalau muka nak sama, personaliti tak sama kot," katanya secara berseloroh.

Bretman Rock merupakan personaliti terkenal yang mencipta kemahsyuran menerusi media sosial. Selain video-video tutorial mekap dan parodi di Instagram, dia juga menggunakan platform Youtube untuk berkongsi segala aktivitinya.

Bila dah dedahkan diri di media sosial, kena la terima apa orang nak cakap. Kena faham, ada orang suka, ada orang tak suka.

MUSSY

PERSONALITI MEDIA SOSIAL

Dia mula meraih perhatian global dengan penghasilan video-video bersahaja yang memaparkan sifatnya yang bermulut celupar. Sehingga kini, dia mempunyai lebih 13 juta pengikut Instagram.

Pertemuan Musy dengan Bretman Rock, beberapa tahun lalu.

Mengulas cakap-cakap mengenai dirinya di laman sosial kerana sering tampil bermulut lahar dan bersahaja setiap kali berceloteh, Musy mengakui dia tenang berdepan perkara itu.

Malah, tidak ada satu pun yang melekat dan memberi kesan memandangkan dia seorang yang sangat terbuka dan tidak pernah kisah dengan tohmahan ramai.

"Saya buat semuanya untuk suka-suka je, bukan untuk popular. Saya pun tak kisah orang nak cakap apa.

"Bila dah dedahkan diri di media sosial, kena la terima apa orang nak cakap. Kena faham, ada orang suka, ada orang tak suka.

"Setiap video yang saya hasilkan, semuanya spontan. Ada yang saya bangun tidur, terus rakam video. Tak try hard sangat pun.

"Saya pegang kata-kata, kalau nak cakap apa pun cakaplah, yang penting saya cari duit sendiri," katanya lagi.

Tuju lagu buat haters

Bercerita mengenai karya seni yang dihasilkannya, Musy memiliki lebih 10 lagu dalam katalog peribadinya yang mana ia sebelum ini dikongsi menerusi Youtube dan Soundcloud.

Paling mendapat perhatian tentunya lagu berjudul Sawi yang dicipta Musy, ditujukan buat mereka di luar sana yang sering berpandangan negatif terhadap dirinya.

Antar paparan skrin video-video bebelan Musy yang dimuat naik olehnya ke media sosial.

"Ada la beberapa lagu yang saya hasilkan secara suka-suka. Ada yang saya tujukan buat haters. Lagu Sawi tu pula sebenarnya saya buat untuk seorang individu yang suka viralkan saya dulu. Nama dia dekat-dekat dengan perkataan Sawi. Ibarat diss track juga lah.

"Tapi saya tak adalah serius nak marah sampai depresi, apa yang orang kutuk, saya ubah jadi karya seni.

"Video klip lagu Sawi tu mak saya yang rakam, sekitar tiga minggu lepas di Dorchester, Massachusets," ujarnya yang meminati penyanyi rap Nicki Minaj.

Menetap di Boston, Mussy kini menyambung pelajaran dalam bidang Komunikasi dan Perhubungan Awam di Kolej Komuniti Banker Hill yang mana dia akan menyambung pengajiannya ke Universiti Suffolk pada tahun hadapan.

Musy bersama ibunya, Yasmin Saulnier

Turut berkongsi tip dalam menguasai bahasa Inggeris, Musy berkata dia banyak belajar menerusi lagu-lagu yang digemarinya.

Berkongsi pengalamannya sendiri, dia mengakui agak takut untuk berbahasa Inggeris sewaktu berpindah ke AS sekitar dua tahun lalu.

"Masa tu nak order Starbucks pun rasa takut. Saya faham bahasa Inggeris tapi takut nak bercakap.  Tapi sebenarnya kena banyakkan latihan dan belajar dari kesilapan.

"Mak saya selalu ajar, berfikir pun dalam bahasa Inggeris. Yang ni memang sangat membantu. Kalau dengar lagu pula, saya cuba fahami semua lirik," ujarnya mengakhiri bicara.

Artikel Lain