suria

Bukan sekadar pertaruhkan rupa, 3 ‘Bachelor of Malaysia’ ini ada misi harumkan nama negara di peringkat antarabangsa

(dari kiri) Muhammad Irfan Aiman, Hariz Othman dan Aiman Minsi bakal berentap di pentas antarabangsa. Foto YAP CHEE HONG/The Star

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, pertandingan ratu cantik lelaki semakin mendapat tempat dan perhatian masyarakat sehingga pelbagai kejuaraan diadakan di dalam dan luar negara.

Malah semakin ramai kaum lelaki yang terbuka menyertai pertandingan seumpama itu yang bukan sahaja mampu mencabar kredibiliti diri tetapi mengubah presepsi mereka terhadap bidang yang biasanya dipelopori kaum wanita.

ARTIKEL BERKAITAN: Usia 25 tahun sudah terajui syarikat milik bapa, pemuda ini mahu bawa jenama mewah jam tangan ke mata dunia!

Tiga peserta Bachelor of Malaysia 2020 iaitu Muhammad Irfan Aiman, Hariz Othman dan Aiman Minsi mempunyai satu persamaan iaitu pemalu dan kurang keyakinan diri dalam berhadapan dengan masyarakat.

Namun penyertaan dalam pertandingan itu telah mengubah diri mereka menjadi seorang lelaki yang berkarisma dan berkeyakinan tinggi.



Ketiga-tiga pemuda ini tidak hanya menyandarkan rupa semata-mata tetapi hadir dengan pakej lengkap.

Tidak hanya bersandarkan kepada rupa paras kacak dan fizikal idaman ramai lelaki, ketiga-tiga mereka kini mempunyai misi untuk mengharumkan nama Malaysia apabila terpilih mewakili negara di pentas dunia.

Hariz minat dunia model sejak bangku sekolah

Bagi Hariz Othman yang berasal dari Miri, Sarawak, percubaannya menyertai Bachelor of Malaysia berlaku secara tidak sengaja apabila bakatnya dikesan oleh seorang jurusolek selebriti yang memintanya mencuba nasib.

Mengakui dirinya seorang pemalu dan kurang keyakinan diri namun Hariz memberitahu dia memberanikan diri untuk mencuba sehingga melayakkan dirinya menyandang gelaran Mister Tourism Malaysia.

"Sejak di bangku sekolah saya memang minat bergelar seorang model dan gemar menonton pertandingan Miss World setiap kali ia berlangsung tetapi tidak pula saya terfikir akan menyertai pertandingan seumpamanya.



Hariz mengakui penyertaan dalam Bachelor of Malaysia banyak membina keyakinan dirinya.

"Pada awalnya saya takut dan gementar tetapi pengalaman menyertai pertandingan itu banyak mengajar saya mengenali bakat diri, selain memperbaiki keyakinan dan komunikasi di hadapan orang ramai.

"Ia bukan mudah tetapi Alhamdulillah percubaan saya membuahkan hasil," katanya.

Hariz, 25, bakal berentap merebut gelaran juara Mister Tourism International dalam sebuah pertandingan yang bakal berlangsung di Puerto Rico sekitar Disember depan.

Mengulas mengenai pemilihannya itu, Hariz berkata dia langsung tidak menyangka dapat mewakili negara namun menganggap ia peluang terbaik baginya memperkenalkan pelbagai budaya serta sektor pelancongan menarik di negara ini.

"InsyaAllah jika tiada aral melintang, saya akan ke Puerto Rico pada Disember dan ketika ini pelbagai persiapan sedang dilakukan terutamanya dalam mempelajari dan menambahkan ilmu mengenai budaya dan pelancongan selain memastikan fizikal berada dalam keadaan terbaik," katanya yang juga seorang pelatih kecergasan dan model.



Irfan sudah bergelar pelakon iklan televisyen dan model sejak berusia enam tahun.

Irfan persiap diri dengan ilmu

Sementara itu, bagi Muhammad Irfan Aiman, 21, pendedahan terhadap dunia lakonan dan peragaan sejak usianya enam tahun sedikit sebanyak memberikannya keberanian untuk cuba berentap dalam Bachelor of Malaysia.

Seperti Hariz, bakatnya juga dikesan menerusi Instagram apabila dia dipelawa oleh pihak penganjur untuk menyertai uji bakat pertandingan itu sebelum terpilih sebagai pemenang Mister International Malaysia.

"Walaupun ada pengalaman dalam bidang seni, rasa takut itu tetap ada tetapi saya ambil sebagai cabaran dan ketika usia masih muda ini saya ingin mencuba pelbagai perkara baharu dan mengutip pengalaman," katanya.

Namun baginya, penyertaannya itu bukan semata-mata bersandarkan kepada rupa dan fizikal yang mantap tetapi ia perlu hadir dengan pakej lengkap termasuk pengetahuan meluas dalam pelbagai bidang.



Irfan, Aiman dan Hariz mengakui berdebar untuk bertanding di luar negara.

Irfan menjelaskan sekiranya tiada ilmu dan pengetahuan, pakej fizikal tidak akan memberi apa-apa makna dan ia elemen sangat penting dalam pertandingan seperti itu.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Berkongsi persediaannya yang bakal berentap di Filipina pada Ogos depan, Irfan memberitahu harapannya cuma satu, iaitu ingin membanggakan nama Malaysia di mata dunia.

Tidak mengharapkan kemenangan sebaliknya Irfan sedar tanggungjawabnya lebih besar berbanding kemenangan dan ingin memastikan peserta luar memandang tinggi kepada negaranya yang tercinta.

"Orang mungkin salah faham bahawa pertandingan seumpama ini hanya berdasarkan fizikal tetapi sebenarnya ia lebih daripada itu.

"Selepas melaluinya sendiri saya sendiri tidak menyangka kepercayaan diberikan adalah tanggungjawab yang berat kerana semua aspek perlu saya titik beratkan," kata anak kelahiran Selangor ini.



Aiman sangat terbuka dengan kritikan membina bagi memperbaiki dirinya.

Aiman positif dengan kritikan negatif netizen

Senada dengan dua lagi rakannya, Aiman Minsi, 25, yang juga penyandang gelaran Man of The World bagaimanapun mengakui penglibatan dalam bidang tersebut turut datang dengan pelbagai cabaran.

Kata Aiman yang turut bakal berentap di Filipina pada Ogos ini, sejak bergiat aktif dalam dunia peragaan dan menyertai pertandingan ratu cantik lelaki, ada segelintir yang memandang serong terhadap perkara itu.

Ini termasuklah dia banyak menerima pelbagai komen negatif dan mesej peribadi yang mengecam tindakannya menyertai pertandingan itu.

"Sejak buat keputusan menyertai Bachelor of Malaysia, saya sudah sedia maklum tidak semua akan suka dengan apa kita lakukan. Biasanya apabila menerima komen negatif, saya sedaya upaya membalas dengan kata-kata positif dan memahamkan mereka apa sebenarnya tujuan pertandingan itu diadakan.

"Pada saya ini perkara biasa yang perlu dilalui dan saya sendiri sudah bersiap sedia sejak awal terhadap sebarang kemungkinan," katanya.



Irfan, Hariz dan Aiman tidak menolak sekiranya diberi peluang menceburi bidang seni selepas ini.

Jelas Aiman, dia sentiasa berpegang pada niatnya menyertai pertandingan itu dan bukan semata-mata mengejar glamour.

Malah katanya dia sangat bertuah kerana keluarga dan kenalan sangat memahami keputusannya itu dan memberi sokongan penuh terhadap pilihannya.

"Apabila diberi peluang mewakili negara, saya tidak hanya membawa diri sendiri tetapi suara seluruh masyarakat dan ini adalah peluang saya perbaiki diri dalam pelbagai aspek termasuk membuka peluang ke pelbagai platform berbeza pada masa hadapan.

"Saya juga ingin ubah presepsi segelintir masyarakat terhadap ratu cantik lelaki dan paling penting platform ini saya lihat adalah medan untuk saya bantu lebih banyak orang pada masa hadapan," ujarnya yang turut aktif memberi motivasi mengenai kecergasan, pemakanan dan kesihatan mental di Instagram miliknya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain