suria

MokCik Gemok kongsi kisah suka duka jadi artis manga, ada tip mudah bagi peminat karya komik

Fazlina mengukir nama sebagai artis manga tempatan yang sangat dikenali ramai.

BAGI sesetengah orang, komik atau bahan yang bercorak kartun dianggap tidak mempunyai nilai sastera tinggi.

Namun tidak bagi pelukis ilustrasi atau artis manga bebas (freelance) Fazlina Saffiq, yang mahu mengubah persepsi sedemikian melalui karyanya.

Pada 2019, sebuah syarikat penerbitan tempatan menggunakan khidmat ibu anak satu itu untuk mencipta ilustrasi manga bagi buku rujukan Matematik kanak-kanak (Tahun Empat hingga Tahun Enam).

Sebahagian daripada tugas wanita berusia 34 tahun ini adalah memastikan buku-buku berkenaan berwarna-warni dan cantik untuk menarik perhatian kanak-kanak.

"Bagi sesetengah orang, komik adalah bahan yang tidak berguna. Tetapi jika kandungannya ditambah baik, ia boleh memberi keajaiban dan membantu menyemai tabiat membaca dalam kalangan generasi muda.

"Bayangkan betapa seronoknya subjek Sejarah jika ia dalam bentuk komik dan bukannya sekadar teks? Atau betapa seronoknya Matematik dengan ilustrasi watak manga?" kata Fazlina dipetik The Star.



Ilustrasi Fazlina menghiasi buku rujukan Matematik.

Fazlina yang menggunakan nama pena MokCik Gemok, merupakan seorang pelukis ilustrasi berbakat yang begitu dikenali dalam kalangan komuniti komik Malaysia.

Dia sememangnya terkenal dengan karya watak fiksyen bernama Sayanghae Sally di laman Instagramnya yang kini mempunyai lebih daripada 63,000 pengikut.

Baru-baru ini artis dari Selangor itu melancarkan buku aktiviti melukis pertamanya, Jom Melukis Bersama Mokcik Gemok di Himpunan Doodle 2021 di KL Gateway Mall, Kuala Lumpur.

Pelancaran buku tersebut begitu memberi bermakna bagi pelukis ilustrasi ini yang tidak pernah menyangka mampu melangkah jauh bergelar seorang artis manga.

Bermula dari bawah

"Buku itu diterbitkan di bawah label penerbitan saya, Mokcik G Publications. Saya berasa sangat bangga kerana akhirnya saya menerbitkan buku aktiviti manga sempena nama saya.

"Saya bermula sebagai artis manga berskala kecil. Selama bertahun-tahun, saya berjaya mengembangkan kebolehan saya dalam pelbagai bidang seni lain seperti ilustrasi dan animasi kanak-kanak.



Untuk kandungan cerita, Fazlina menggunakan medium media sosial untuk sorotan hal ehwal semasa.

"Saya terutamanya suka menghasilkan ilustrasi untuk membantu membina kreativiti kanak-kanak dan kecintaan mereka terhadap komik," kata Fazlina yang menggunakan alatan aplikasi digital untuk mencipta ilustrasinya.

Fazlina meminati komik sejak kecil. Dia merupakan peminat majalah komik seperti Gila Gila, Ujang, dan Gempak.

Selain itu, dia turut menonton siri TV anime Jepun seperti Sailor Moon, Detective Conan dan Dragon Ball Z.

"Saya memupuk minat dalam lukisan manga selepas membaca komik Sailor Moon. Tahun 1990-an menyaksikan ledakan besar dalam komik manga dan siri anime. Saya antara ramai rakyat Malaysia yang terpengaruh dengan kegilaan tersebut," jelas Fazlina, yang juga peminat artis tempatan Ujang dan artis manga Jepun, Naoko Takeuchi dan Yoshihiro Togashi.

Semakin banyak komik yang dibaca dan semakin banyak siri anime yang ditonton, minat wanita ini terhadap melukis dan menulis semakin bercambah.

"Pada mulanya, ibu bapa tidak menyokong minat saya melukis komik dan ilustrasi manga.

"Kebimbangan terbesar mereka ialah saya terlalu taksub dengan lukisan, dan mereka takut pelajaran saya akan diabaikan.

"Tetapi tanggapan mereka berubah selepas saya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan di sekolah dan juga pertandingan seni peringkat daerah.

"Akhirnya, ibu bapa memahami minat sebenar saya dan mereka turut menyokong kerjaya saya," kongsi Fazlina, yang merupakan graduan Seni Lukis dan Seni Reka dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).



Karakter 'Sayanghae Sally' sangat digemari peminat Mokcik Gemok.

Fazlina telah berkecimpung dalam bidang berkenaan selama bertahun-tahun malah mempunyai pengalaman bekerja sebagai pelukis ilutrasi untuk penerbitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Dawama, Blue T dan Utusan Publications.

Pada 2014, dia mengambil keputusan berhenti kerja untuk menjaga anak lelakinya yang baru lahir.

Bertitik tolak daripada itulah dia kemudiannya menjadi pelukis ilustrasi bebas dari rumah.

Fazlina menggalakkan pelukis ilustrasi manga untuk meneruskan minat mereka dan tidak mengenal erti putus asa dalam mengejar impian masing-masing.

"Adalah penting untuk sentiasa berfikiran positif dan mempunyai keinginan serta keazaman untuk cemerlang dalam usaha anda. Saya bermula sebagai seorang artis yang pemalu dan introvert.

"Tetapi hari ini, saya mempunyai buku manga sempena nama sendiri. Anda perlu bersabar dan bersemangat.

"Kongsi ilustrasi anda di media sosial dan jika orang suka, pasti segalanya akan mudah untuk perjalanan anda seterusnya," katanya lagi. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain