SUDAH menjadi lumrah, setiap manusia pasti akan diuji dalam kehidupan mereka. Namun perjalanan hidup penuh liku dan cabaran itu juga yang membuatkan seseorang individu menjadi lebih matang dalam menempuh hari mendatang.ARTIKEL BERKAITAN: Pelembap bibir pemberian nenek buatkan kanak-kanak ini obses, kini pegang rekod dunia koleksi lip balm terbanyak! Begitu juga dengan wanita ini yang hebat diuji dengan pelbagai dugaan sebelum akhirnya berjaya merealisasikan hasrat menjadi usahawan berjaya yang sekian lama dipendam. Niza Atira Hasan berkata, segala rintangan yang terpaksa dilalui telah mengajarnya erti sebuah kehidupan dan sebagai seorang wanita berkerjaya dia berharap kisahnya dapat menjadi sumber inspirasi kepada semua. "Perjalanan perniagaan dan keinginan untuk berjaya sangat indah meskipun banyak cabaran dan rintangan tetapi saya tetap teruskan. Saya mulakan, saya perlu teruskan dan tamatkan," katanya kepada mStar. Suami Tira merupakan tulang belakang yang banyak membantu dirinya dalam perniagaan. Berhijrah ke Kuala Lumpur demi kelangsungan hidup Berkongsi liku kehidupannya, Niza Atira atau lebih mesra disapa sebagai Tira berkata cabaran dan rintangan hidupnya bermula selepas dia mengambil keputusan berkahwin dengan suaminya, Muhammad Sayed Putera Maskam, 30, sekitar enam tahun lalu. Ceritanya, sebelum berkahwin dia tidak mempunyai sebarang wang simpanan untuk membeli barang demi hari bahagianya tetapi bersyukur urusan perkahwinan dipermudahkan oleh-Nya. Suaminya sendiri juga tidak mempunyai pekerjaan pada ketika itu, membuatkan hidup mereka semakin tertekan. Tira memberitahu demi memperbaiki kehidupan, dia berhijrah ke Kuala Lumpur dari Johor setelah tiga minggu melangsungkan perkahwinan berbekalkan RM1,500 hasil daripada titik peluhnya bekerja sebelum itu. Peringkat permulaan hidup berumahtangga semestinya mempunyai banyak dugaan yang harus ditempuh, begitu juga dengan Tira sendiri yang merasakan kesempitan hidup termasuklah terpaksa tidur beralaskan toto selama empat tahun. Tira, 30, juga mengimbas kembali detik dia sampai di Kuala Lumpur dan tumpang berteduh di rumah sahabat baiknya sebelum rumah sewa yang bakal didudukinya sedia untuk dihuni. "Selama lima bulan kahwin suami saya masih tiada pekerjaan, boleh bayangkan tak macam mana kami survive ketika itu? "Alhamdulillah akhirnya Putera dapat kerja, perasaan gembira tu tak terungkap sebab Tira dekat ofis mohonkan kerja setiap hari untuk suami. Masa ni belum senang lagi," tambahnya lagi. Bahan mentah dibeli di pasaraya. Tekad untuk mengubah nasib kehidupan Sepanjang lebih enam tahun hidup di Kuala Lumpur dan melakukan pelbagai pekerjaan, Tira berazam untuk mengubah kehidupannya walaupun pada ketika itu dia bekerja di sebuah syarikat dengan gaji empat angka setiap bulan. "Gaji setiap bulan pun masih tak dapat bagi duit dekat parents rasa macam loser sangat. Siap minta lagi dekat mereka sampai rasa malu sangat." Keperitan hidupnya tidak terhenti di situ. Tira dan pasangannya pernah mencatu makanan dengan hanya menjamah 'roti john' yang dijual berhampiran rumah dek kerana jumlah gaji yang diterima tidak cukup.Lebih parah lagi Tira turut dihalau keluar hanya kerana terlambat untuk bayar sewa rumah mereka."Tira lambat bayar sewa rumah sebab kad bank masa malam itu rosak jadi tak dapat nak keluarkan wang," ujarnya.Walaupun sudah maklum kepada tuan rumah tetapi tiada belas kasihan. Sejak itu kata Tira, dia tekad untuk bekerja keras untuk memastikan kehidupannya terjamin dan dia mendapat apa diinginkan."Tira dah start, Tira perlu teruskan dan tamatkan" merupakan pegangan yang membakar semangat untuk terus berjaya. Tempahan diambil setiap hari oleh Tira melebihi 80 kotak pada satu masa. Nampak jalan tambah rezeki melalui perniagaan kecil-kecilan Bermodalkan kurang dari RM25 pada ketika itu, usahawan muda ini mengambil inisiatif untuk menggunakan baki gajinya itu menghasilkan lebih kurang 25 biji tauhu berlauk untuk dibawa ke tempat kerjanya. Katanya dia belajar untuk menghasilkan tauhu berlauk ini daripada rakannya yang berada di Johor dan sudah lama berkecimpung dalam bisnes ini. Walaupun kesemua hasil pendapatan untuk bulan itu telah digunakan untuk tauhu berlauk tersebut, berbaki lagi dua minggu sebelum menerima gaji berikutnya, Tira yakin dengan rezeki Allah. Tidak disangka, tauhu itu mendapat tempat di hati rakan-rakan sepejabat dan tempahan mula diterima. Bisnes ini tidak hanya dilakukan oleh Tira berseorangan sebaliknya dia turut dibantu oleh suaminya. Selain bekerja dan berniaga, Tira juga merupakan seorang pelajar di sebuah institusi Open University Malaysia jurusan Bachelor of Science in Project and Facility Management. Jualan tauhu berlauk semakin maju "Masa dan duit, saya pilih masa sebab duit boleh dicari. Masa tidak dijual di kedai," katanya. Perniagaan yang kian berkembang ini sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan dan kesihatan pasangan suami isteri ini kerana mereka terpaksa bergilir-gilir untuk berjaga pada setiap malam demi menyiapkan semua tempahan. "Kadang-kadang sampai tak cukup tidur. Suami tidur, saya siapkan tauhu. Bila saya tidur, suami pula siapkan tempahan sampaikan tak ada masa untuk buat kerja lain," ujarnya. Perkongsian oleh Tira ilustrasi stok untuk dihantar kepada agent yang dibuat setiap hari. Putera yang bekerja di sebuah kilang pada ketika itu telah mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan fokus 100 peratus kepada perniagaan yang semakin nampak pintu rezeki terbuka luas.Berkongsi kisah nasib yang tidak menyebelahi dirinya suatu ketika dahulu, Tira telah wujudkan satu platform di channel Telegram miliknya sebagai sumber inspirasi dan juga tauladan kepada semua. Selain itu, Tira juga menjelaskan bahawa dia tidak menang tangan untuk menguruskan kuantiti tempahan yang banyak sehinggakan dia membuka peluang untuk orang lain yang turut serta dalam perniagaan ini dengan mengambil tempahan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI TONTON VIDEO PILIHAN!