suria

Pernah jaja selipar di kaki lima, founder muda tak kecil hati disamakan “Mat bangla”... kini bangga mampu jayakan lebih 20 usahawan

Bermula dengan motosikal, Yenash kini membantu usahawan muda untuk memiliki kereta idaman mereka sendiri.

PERJALANAN jejaka ini untuk bergelar usahawan pada usia muda tidaklah semudah yang disangka.

Bermula tanpa sebarang pengalaman, Muhamad Yenash Ismail, 26, yang juga pengasas jenama pakaian Yenz Exclusive Sdn Bhd perlahan-lahan membina empayar perniagaan sehingga memiliki premis sendiri di Sungai Buloh, Selangor.

Jika disoroti kisah hidupnya, dia yang mesra disapa Yenash mengakui sudah terbiasa membesar dalam keadaan serba kekurangan, malah cukup faham erti penat-lelah dalam mencari sesuap nasi buat keluarga.

Menurut Yenash, dia turut menjadikan ibunya, Latipah Omar, 56, sebagai salah satu inspirasi utama dalam perjalanan penuh getir itu, di mana ia telah bermula seawal tamat pengajiannya di bangku sekolah menengah lagi.

"Mak merupakan ibu tunggal yang membesarkan kami empat beradik. Saya pula anak bongsu. Masa tu, mak buat kuih muih seperti donat, karipap dan kuih lapis untuk mencari rezeki.

ye2

Antara selebriti yang menggayakan pakaian jenama itu.

"Dulu pergi sekolah mak hantar dengan motor, balik pula saya jalan kaki sejauh empat kilometer (km). Disebabkan itu, saya tak berhasrat untuk sambung belajar, sebaliknya saya terus nak buat bisnes selepas tamat Sijil Persekolahan Malaysia (SPM).

"Saya cuma fikir nak kurangkan beban mak. Bila sekarang dapat bawa mak naik kereta sendiri, saya rasa bersyukur sebab dah tak susah macam dulu," ujarnya ketika ditemui mStar.

Bercerita lanjut mengenai perjalanannya sebagai peniaga, Yenash mendedahkan dia bermula sebagai peniaga selipar di pasar malam dan kaki lima bank sahaja.

Tambah Yenash, fasa awal itu dilalui dengan penuh rintangan, tambahan pula dia mendirikan rumah tangga dengan pasangannya, Nurul Ain Natasha Mohamad Basri, 26, ketika usia masih muda pada tanggal 15 Januari 2015.

"Mula-mula saya hanya jual selipar di pasar malam dan kaki lima bank. Sejujurnya saya memang dah lama minat nak berniaga. Saya pilih selipar sebab ia barang kering. Selipar tak ada tarikh luput. Selepas itu saya juga ada jual kasut.

ye3

Syarikat itu berhasrat melahirkan lebih ramai usahawan muda pada masa akan datang.

"Kalau nak diimbas semula, memang pernah ada rasa nak putus asa. Awal-awal berniaga pasar malam, tak ramai yang beli. Saya ingat lagi naik motor sampai ke Kuala Lumpur untuk ambil stok kasut. Ada yang samakan saya dengan pekerja Bangladesh kerana bekerja siang malam.

"Saya dan isteri kahwin awal masa umur kami 20 tahun. Saya ingat lagi kami pernah bawa anak kecil ke pasar malam. Hanya keluarga yang jadi kekuatan," ujarnya yang bakal dikurniakan cahaya mata keempat tidak lama lagi.

Selepas puas berhempas pulas mengusahakan perniagaan selipar dan kasut, Yenash berjaya mengumpul modal sebelum mengambil keputusan membuka empayar Yenz Exclusive pada awal tahun 2019.

ye4

Yenash kini mampu tersenyum apabila dapat membahagiakan keluarga tercinta atas kejayaan jenama YENZ.

Menurut Yenash, syarikat sulungnya itu tidak mencatatkan sebarang keuntungan pada tiga bulan pertama, malah dia turut berhadapan kata-kata nakal insan sekeliling yang seolah-olah cuba merendahkan usaha dan matlamatnya.

"Tiga bulan pertama saya berniaga baju, langsung kami tak ada keuntungan. Baju Yenz semua orang tak percaya. Malah ada yang persoal, baju Yenz ada orang nak beli ke?

ye5

Yenash berusaha keras sebelum sampai ke tahap hari ini.

"Jual baju memang mencabar. Kami tak ambil untung selama setahun demi membina empayar Yenz. Dalam masa sama, saya juga ada ikuti kelas untuk mendalami bisnes.

"Kata-kata orang saya tak pernah simpan dendam, sebaliknya saya ambil sebagai pembakar semangat. Kerana kata-kata orang, saya mahu bekerja keras dan lalukan sesuatu sampai jadi untuk buktikan pada mereka," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Yenash kini mampu tersenyum apabila jenama pakaian itu memiliki lebih 7,000 ahli di seluruh Malaysia dan turut diedarkan ke negara jiran seperti Brunei, Singapura dan Indonesia.

Bercerita lanjut mengenai produk keluarannya, Yenash berkata dia biasanya akan mengeluarkan sekurang-kurangnya dua koleksi baharu setiap bulan bagi memenuhi permintaan semasa khususnya dalam kalangan anak muda.

"Sekarang baju Yenz dah diedarkan ke seluruh Malaysia. Kami sasarkan untuk menembusi Asia Tenggara pada tahun 2025 dan pergi ke peringkat global pada tahun 2030.

ye6

Baju keluaran mereka kini sudah menembusi pasaran ke negara jiran seperti Brunei, Singapura dan Indonesia.

"Sekarang kami ada keluarkan seleksi baju, hoodie dan aksesori seperti gelang. InsyaAllah pada tahun depan kami akan keluarkan beg dan seluar. Kami mahu cuba tampilkan kelainan dari segi konsep dan rekaan.

"Rekaan kita lebih terarah kepada abstrak, tapi mungkin kami akan buat rekaan doodle juga pada masa akan datang. Paling penting, pakaian kami unisex dan sesuai untuk pasangan ataupun kumpulan.

"Koleksi kita memang terhad. Sebulan biasanya kami keluarkan dua koleksi. Kadang-kadang koleksi yang dah lepas pun masih ada permintaan, jadi kami terpaksa tambah stok semula. Kami target pembeli usia 18 hingga 24 tahun," ujarnya lagi.

Lebih menggembirakan kata Yenash, koleksi pakaian keluarannya turut menjadi pilihan barisan selebriti tanah dan ia pernah digayakan pelawak Shuib Sepathu, YouTuber Alieff Irfan dan ramai lagi, sekaligus membuktikan kualiti jenama itu dalam industri fesyen.

Selain fokus dalam membina empayar ke puncak jaya, Yenash juga tak lupa terhadap tulang belakang yang banyak berbakti dalam menaikkan jenama keluarannya selama ini.

ye7

Antara baju keluaran jenama itu yang menjadi perhatian ramai.

Menurut Yenash, dia mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai syarikatnya dan dia bersedia melatih mereka untuk berdiri sebaris ahli yang lain sebagai usahawan muda berjaya.

Jelas Yenash lagi, dia mahu "BERJAYAKAN RAMAI USAHAWAN MUDA" dalam mengemudi jenama itu demi melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam bidang perniagaan, sekaligus dapat membantu golongan muda di negara ini.

"Saya ada sasaran untuk melahirkan lebih ramai usahawan. Kami menyediakan latihan kepada mereka yang nak sertai Yenz Exclusive, kita akan ajar A sampai Z. Kami sangat mementingkan ilmu.

ye8

Usahawan muda itu kini mampu tersenyum bangga dengan pencapaian yang diraih dan komited untuk pergi lebih jauh dalam bidang yang diceburi.

"Selain itu, saya juga akan beri ganjaran seperti gelang emas, wang tunai, peranti iPad dan iPhone untuk raikan ejen atau partner kami yang berjaya mencapai sasaran.

"Nasihat saya kepada mereka yang baru menceburi bisnes, jangan cepat putus asa dan kita perlu sentiasa sabar.

“Ada dalam kalangan anak muda yang menyertai syarikat kami sudah mampu memiliki simpanan sehingga lima angka serta membeli kereta idaman mereka sendiri. Saya nak ajar anak muda untuk ubah hidup dan berniaga.

“Malah, kami juga berjaya lahirkan usahawan yang menjana pendapatan RM10,000 hingga RM90,000 sebulan dengan berniaga online melalui platform kami,” ujarnya.

ye9

Yenash bangga telah “BERJAYAKAN RAMAI USAHAWAN MUDA”.

"Paling penting kita kena ada circle yang positif. Kena bertanya kepada mereka yang betul-betul arif dalam bidang ini.

"Saya juga nak ucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa memberikan sokongan buat jenama kami sejak dulu hingga kini, semoga sokongan anda berterusan pada masa akan datang," ujarnya ketika menutup bicara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain