suria

Parodi Upin & Ipin buat pemuda ini raih jutaan pengikut Malaysia dan Indonesia, pergi uji bakat berlakon ditawar jadi penyanyi

Bermula dengan video parodi, kini Hasif mula dikenali netizen apabila menceburi industri hiburan pula.

NIAT asal hanya ingin buat content parodi suka-suka tetapi siapa sangka tindakannya telah mengubah nasib hidup pemuda ini.

Begitulah apa yang berlaku kepada pemuda berusia 29 tahun ini apabila berkongsi mengenai hasil video parodi Upin & Ipin hanya menggunakan peralatan dalam rumahnya sahaja sebagai props.

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah jaja selipar di kaki lima, founder muda tak kecil hati disamakan “Mat bangla”... kini bangga mampu jayakan lebih 20 usahawan

Hampir semua video dihasilkan mencuri perhatian netizen sehingga tular menembusi negara Indonesia dan dia sehingga kini memiliki 2.6 juta pengikut di akaun TikTok.

Muhammad Hasif yang lebih mesra disapa Hasif menceritakan kisah hidupnya ketika dihubungi mStar dan memberitahu semua video yang dihasilkan merupakan usahanya sendiri bermula Ramadan tahun lalu.

Buat video parodi bermula 2020

Menurut content creator ini, idea pertama tercetus semasa selepas sahur Ramadan tahun lalu, yang mana dia membuat video parodi Upin & Ipin dan tidak menyangka video tersebut akan tular.



Hasif sudah terbiasa mengangkat objek berat untuk dijadikan props video parodinya.

"Semua saya buat hasil usaha sendiri tak ada bantuan orang lain. Angkat mesin basuh pun boleh dan tak terasa berat sebab sudah terbiasa angkat dari kecil.

"Segala batu lesung ke tong gas atau mesin basuh saya guna dalam video adalah barang dalam rumah sahaja.

"Untuk satu video saya cuma ambil masa lebih kurang 10 minit, kadang-kadang satu hari saya buat tiga video sebagai simpanan stok content di TikTok dan YouTube.

"Saya rekod diri sendiri kadang-kadang sampai patah stand tripod terpaksa beli baru banyak kali," tambahnya lagi.

Menurut anak jati Kota Tinggi, Johor ini, sebelum menghasilkan video dia mengambil masa untuk merangka story board kerana jika terus buat secara spontan ia tidak akan menjadi.

Manakala props atau alatan peraga digunakan dalam penghasilan video parodi kreatif ini tidak dibeli sebaliknya hanya menggunakan segala barangan yang ada di dalam rumah sahaja.



Hasif menghadiri sesi uji bakat dalam bidang lakonan kerana impiannya untuk jadi seorang pelakon terkenal.

Bukan hanya bakat parodi

Bercerita lanjut, anak bongsu daripada lima beradik ini bersyukur kerana rezekinya semakin luas apabila kini dia juga merupakan seorang penyanyi di sebuah syarikat rakaman terkemuka Armani Entertainment.

"Saya baru sahaja terima tawaran daripada sebuah syarikat rakaman ini melalui uji bakat bulan November lalu.

"Semasa saya pergi ke sana sebenarnya uji bakat untuk lakonan tetapi diminta oleh juri untuk menyanyi.

"Setelah dengar saya menyanyi, saya ditawarkan sebagai penyanyi bukan berlakon, saya terus terima tawaran tersebut.

"Saya sangat minat berlakon sebenarnya, sampai saya cakap dekat juri tolong la ambil saya berlakon.

"Saya tidak minat watak yang serius atau romantik tapi saya suka watak kelakar atau orang gila pun okay juga. Paling saya nak lakonkan adalah watak hantu kerana saya rasa ia mencabar," tambahnya lagi.



Melalui video parodi Upin & Ipin, Hasif kini memiliki lebih 2.6 juta pengikut di akaun Tiktok dan rata-ratanya dari Indonesia.

Peminat Malaysia dan Indonesia

Walaupun berdarah kacukan Indonesia yang diwarisi daripada arwah bapanya tetapi Hasif tidak pernah menjejakkan kaki ke negara itu, namun dia mengakui akan ke sana jika berkesempatan.

Menjadi satu kelebihan bagi Hasif mendekati peminat dari Indonesia disebabkan dia fasih berbahasa itu kerana selalu mendengar perbualan bapanya dengan kawan-kawan sewaktu kecil.

Menurut Hasif semasa uji bakat tempoh hari dia menyatakan kepada juri bahawa pengikut di laman sosialnya yang berjumlah 2.6 juta itu kebanyakan dari Indonesia.

"Saya pun mungkin famous bukan sebab memiliki darah kacukan Indonesia tetapi cerita Upin & Ipin itu sendiri memang sudah terkenal di sana.

"Sebab itulah saya mahu masuk industri Malaysia supaya lebih dikenali oleh masyarakat di sini," katanya.

Berkat jaga ibunya menjadikan Hasif lebih berjaya

Imbas Hasif, pada awalnya tujuan dia menghasilkan content adalah demi menggembirakan hati ibunya dengan hasil pendapatannya, tetapi ibunya baru sahaja meninggal hujung Oktober lalu.



Ibu Hasif baru sahaja meninggal hujung Oktober lalu.

"Sebelum mak 'pergi' pun mak pesan pada saya, bila mak dah tak ada ni kau kena jaga diri, cari bakal isteri, part cari pasangan itu yang buat lemah tu," ujarnya.

Hasif juga pernah tular suatu ketika dahulu kerana membuat kejutan dengan membawa ibunya ke Pulau Tioman setelah memenangi RM10,000 dalam satu program realiti di televisyen.

Pada masa itu, tumpuannya adalah menanggung kos ubat-ubatan dan rawatan ibunya yang sakit walaupun tidak mempunyai kerja tetap.

"Tujuan saya buat semua ini adalah untuk beri contoh dan tauladan kepada semua orang supaya utamakan ibu bapa dan keluarga dahulu dalam apa juga perkara.

"Hasilnya tengoklah saya yang dahulunya tidak ada pekerjaan tetapi kini semuanya telah berubah berkat hasil doa dari ibu saya dahulu," ujarnya.

Lagu terbaru bawa makna besar dalam hidup

Matlamat Hasif sekarang telah bertukar untuk fokus kepada diri sendiri dan mengumpul wang untuk membeli rumah hasil daripada content YouTube dan sebagai artis tempatan.

Antara pencapaian paling besar pemuda ini untuk tahun ini sahaja adalah menjadi penyanyi OST sebuah drama televisyen 'I Promise, Janji Anaqi' yang baru sahaja ditayangkan di televisyen.



Lagu berjudul Janji Sampai Mati nyanyian Hasif mengingatkannya kepada arwah ibu.

Mengenai lagu baharu yang berjudul Janji Sampai Mati ada sebuah kisah yang Hasif kaitkan dengan kehidupan dan perkara yang berlaku dalam hidupnya.

"Sebenarnya lagu tu menceritakan tentang pasangan kekasih tapi saya tak boleh nak bayangkan pasal pasangan kekasih sebab saya hidup sebatang kara je.

"Jadi lagu tu untuk arwah ibu saya sebab masa rakaman lagu tu pun saya macam nak nangis sebab lirik lagu "biar aku jaga sampai kau menua" tu saya tujukan kepada arwah ibu saya," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain