HARNAAZ Sandhu, peserta dari India dinobatkan sebagai Miss Universe 2021 yang diadakan di Israel, 12 Disember lalu. Gadis ini menewaskan 79 peserta lain, selain Miss Paraguay, Nadia Ferreira dan Miss South Africa, Lalela Mswane yang bergelar naib juara dan tempat ketiga. ARTIKEL BERKAITAN: Parodi Upin & Ipin buat pemuda ini raih jutaan pengikut Malaysia dan Indonesia, pergi uji bakat berlakon ditawar jadi penyanyi Pencapaiannya pastinya disambut baik oleh penduduk negara asalnya yang menyaksikan acara sejagat ini, lebih-lebih lagi selepas kali terakhir gelaran Miss Universe dimenangi wakil India pada tahun 2000. Harnaaz Sandhu berhasil membawa pulang mahkota Miss Universe 2021. Jom ambil tahu 10 fakta menarik mengenai pemenang ini: 1. Lebih dikenali sebagai Harnaaz, dia adalah model yang baru mencecah usia 21 tahun, sekaligus peserta paling muda meraih gelaran Miss Universe. 2. Dilahirkan, dibesarkan dan menamatkan pendidikannya di Chandigarh, sebuah bandar di Punjab, India. Wajah comel Harnaaz semasa masih kecil. 3. Dalam kesibukannya, dia juga kini sedang menamatkan pengajian sarjana dalam bidang pentadbiran awam. 4. Sejak beberapa tahun lalu, dia telah berkecimpung dalam dunia fesyen serta membintangi beberapa filem Punjabi seperti Bai Ji Kuttange dan Yaara Diyan Poo Baran, sekaligus menunjukkan Haarnaz cuba mengikut jejak idolanya Priyanka Chopra. Harnaaz adalah wakil India ketiga dinobatkan sebagai Miss Universe. 5. Pada masa lapang, dia melakukan senaman yoga, menari, memasak, menunggang kuda dan bermain catur. 6. Harnaaz mempunyai beberapa gelaran pertandingan, termasuk LIVA Miss Diva Universe 2021, dan dinobatkan sebagai Times fresh face Miss Chandigarh pada 2017 juga pemenang Miss Max Emerging Star India pada 2018 dan menjadi Miss India Punjab Femina pada 2019. Harnaaz menyertai program Waste Management Drive demi memberikan kesedaran mengenai pengurusan bahan buangan pada November lalu. 7. Miss Universe 2021 ini juga dikenali sebagai penyokong isu-isu pemanasan global, pemuliharaan alam semula jadi dan juga sering terlibat dalam aktivisme yang berkait rapat dengan kesihatan.8. Menjadi lambang kebanggaan India apabila Harnaaz merupakan wanita ketiga pemenang Miss Universe mewakili India selepas Lara Dutta pada tahun 2000 dan Sushmita Sen pada tahun 1994. Harnaaz Sandhu telah mengikuti pertandingan ratu cantik sejak usianya 17 tahun. 9. Inspirasi terbesarnya datang dari ibunya, Ruby Sandhu, seorang pakar sakit puan walaupun profesion ini masih agak jarang dan ia sangat diperlukan di India. 10. Wawasan tinggi dan keprihatinan Harnaaz dalam beberapa isu penting turut dicerminkan keperibadian contohnya, memberikan sokongan kepada Smile Train, sebuah badan amal yang menumpukan pada penyediaan pembedahan bibir sumbing percuma di India. Harnaaz memberikan jawapan yang memuaskan hati juri serta masyarakat dunia. Steve Harvey, yang mengacarakan rancangan itu turut memberikan soalan terakhir sebelum para hakim memutuskan pemenang. “Nasihat apa yang akan anda berikan kepada wanita muda yang menonton bagaimana menangani tekanan yang mereka hadapi hari ini?” kata lelaki yang mencetuskan kontroversi pada malam final Miss Universe 2019. Harnaaz menjawab soalan itu serta menyampaikan mesej kepada wanita muda lain di seluruh dunia di mana katanya, cabaran terbesar yang dihadapi oleh golongan muda masa kini ialah kurang keyakinan diri. Kemenangan Harnaaz Sandhu di pentas Miss Universe 2021 menjadi berita indah untuk India. "Mengetahui bahawa anda unik menjadikan anda cantik. Berhenti membandingkan diri anda dengan orang lain dan mari bercakap tentang perkara lebih penting yang berlaku di seluruh dunia," jawabnya. Dia mengajak semua anak muda untuk lebih aktif dengan keluar dan menyuarakan pandangan demi kepentingan diri sendiri. "Keluar, bercakap untuk diri sendiri, kerana anda adalah pemimpin dalam hidup anda. Anda adalah suara anda sendiri. Saya percaya pada diri saya sendiri dan itulah sebabnya saya berdiri di sini hari ini," ujarnya. Dengan jawapan ini, Harnaaz Sandhu nampaknya berjaya menarik perhatian juri Miss Universe 2021 pada malam itu dan pada masa yang sama menyampaikan mesej positifnya kepada semua warga dunia. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI