suria

Pensyarah sanggup angkut papan putih ke mahkamah, singsing kaki seluar dalam sungai... segalanya kerana mahu pelajar fokus belajar!

Mohd Faisal sanggup masuk ke dalam sungai dan ke mahkamah demi menyampaikan ilmu kepada pelajar.

SEJAK pandemik Covid-19 melanda dunia, sistem pembelajaran di sekolah dan universiti juga turut berubah apabila mereka tidak lagi belajar secara bersemuka sebaliknya melalui dalam talian ataupun Open and Distance Learning (ODL).

Meskipun pada awalnya ramai masih tidak dapat menyesuaikan diri termasuk pelbagai masalah seperti ketiadaan komputer riba dan sambungan internet selain guru dan pensyarah mencuba pelbagai perkara dalam menarik minat pelajar mengikut kelas secara dalam talian.

ARTIKEL BERKAITAN: Parodi Upin & Ipin buat pemuda ini raih jutaan pengikut Malaysia dan Indonesia, pergi uji bakat berlakon ditawar jadi penyanyi

Bagi seorang pensyarah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau, beliau juga tidak ketinggalan berhadapan cabaran dalam cuba menarik minat pelajar mengikuti kuliahnya.

Faisal

Mohd Faisal membuat kelainan demi menarik minat pelajar.

Namun pensyarah dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Mohd Faisal Md Noor, 36, ini tidak pernah berputus asa mencurahkan ilmu kepada penuntutnya malah sentiasa mencari pendekatan lebih vibrant bagi mendekati pelajar-pelajarnya.

Bawa papan putih ke mahkamah, singsing kaki seluar dalam sungai

Sanggup mengenepikan statusnya sebagai pensyarah, Mohd Faisal berkata, dia sanggup meredah ke kawasan seperti air terjun, pekarangan mahkamah serta lokasi-lokasi lain berkaitan dengan subjek kewartawanan yang diajarnya bagi memastikan pelajar mendapat gambaran lebih jelas dan mendalami subjek meskipun sekadar atas talian.

"Niat saya bukan sahaja ingin memberi kelainan pada pelajar tetapi juga nak beri mereka merasai situasi di lapangan tempat melaporkan sesuatu berita.

"Saya mahu mereka merasai suasana itu, seperti contoh saya mengajar tentang penulisan berita mahkamah. Jadi saya ke mahkamah untuk memberi gambaran sebenar kepada mereka.

Kelas berkaitan penulisan makhamah diadaptasi dengan suasana di perkarangan makhamah shariah.

Menarik... Mohd Faisal membuat kelas secara online langsung dari mahkamah.

"Tidak hanya ke mahkamah, saya buat kelas depan pekarangan mahkamah dan bawa papan putih untuk mengajar," katanya kepada mStar.

Bukan hanya ke mahkamah, Mohd Faisal juga turut membawa pelajar-pelajarnya ke dalam hutan dan sungai bagi mengajar penulisan pelancongan dan rencana sehingga sanggup singsing kaki seluar dan masuk ke dalam sungai.

Jelas Mohd Faisal lagi, pembelajaran menerusi talian tidak sama berbanding pembelajaran secara bersemuka malah terdapat pelbagai rintangan dan cabaran terpaksa dihadapi oleh pelajar mahupun pengajar.

Dia juga berkata bahawa kekangan internet, hilang tumpuan disebabkan hal-hal di rumah, serta perkara lain boleh mengganggu fokus dan minat pelajar ketika mereka menduduki kelas secara maya.

Faisal2

Mohd Faisal tidak pernah rasa terbeban dengan apa dilakukan malah seronok dapat mencurahkan ilmu.

"Sedikit sebanyak dengan cara ini boleh membantu pelajar mengurangkan tekanan dan menjaga kesihatan mental dalam kalangan pelajar untuk lebih fokus.

"Oleh itu, sebagai tenaga pengajar, saya mengambil langkah-langkah yang proaktif bagi membantu pelajar saya supaya lebih fokus secara tidak langsung dapat menarik minat mereka untuk belajar walaupun secara atas talian," katanya.

Fasih berbahasa Perancis, Jerman

Tidak hanya itu, Mohd Faisal juga sebenarnya cukup fasih berbahasa Perancis dan Jerman sehingga menjadikan laman sosialnya sebagai medium mengajar pengikutnya bahasa itu.

Meskipun tidak mengajar subjek itu di UiTM, namun kata Mohd Faisal dia mengambil inisiatif untuk mengajar pelajarnya dua bahasa itu sebagai menambah ilmu pengetahuan mereka.

Remini20211108150324228

Bersama pelajar-pelajar sebelum pandemik.

"Bahasa asing ini inisiatif sendiri... Saya tidak hanya mengajar tetapi tetap berusaha membeli rambut palsu, pakai mata biru untuk nampak seperti zaman renaissance agar penonton bersemangat belajar bahasa asing.

"Alhamdulillah baik mengajar bahasa asing atau pun usaha mengadakan kelas online di pekarangan mahkamah atau di hutan, pelajar-pelajar sangat menghargainya dan teruja setiap kali menyertai zoom kelas saya," katanya.

Mohd Faisal memberitahu dia belajar bahasa Perancis dan Jerman ketika menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) disebabkan minat mendalam terhadap kedua-dua bahasa itu.

Tidak terhenti di situ, bakatnya itu turut memberinya peluang untuk bergelar sebagai pegawai pengiring kepada deligasi dan menteri dari luar negara ketika berkunjung ke Malaysia sebagai jurubahasa.

"Saya memang minat terhadap bahasa dan perhubungan antarabangsa, jadi apabila diberi peluang sebagai jurubahasa dan pengiring deligasi luar negara seperti Tunisia, Belgium, Jerman dan Perancis memang cukup menyeronokkan," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain