suria

‘Pikachu’ usia 10 tahun sanggup berpeluh tunggu pelanggan, nak kumpul duit beli kek birthday... bayar seikhlas hati

Riska sanggup menahan panas dalam maskot Pikachu untuk mencari rezeki.

JIKA berkunjung ke Kundasang, anda mungkin berpeluang merakam gambar kenang-kenangan dengan maskot Pikachu yang mencari rezeki di lokasi pelancongan itu.

Namun siapa sangka, di sebalik maskot besar berwarna kuning yang kelihatan ceria, tersembunyi seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang gigih mencari rezeki buat keluarga.

Si kecil bercita-cita besar

Dikenali sebagai Riska, dia baru sahaja beberapa bulan bekerja secara sambilan sebagai maskot di lokasi pelancongan terkenal negeri Sabah itu.

Pada waktu pagi, Riska akan ke sekolah seperti kanak-kanak yang lain demi mengejar cita-citanya untuk bergelar doktor suatu hari nanti.

Sekembalinya dari sekolah, dia terus menyarungkan maskot itu untuk mencari rezeki sehingga waktu petang.

riska4

Riska dibantu ibunya ketika memakai maskot itu.

Jika tuah berpihak kepadanya, maka banyaklah wang yang dapat dikumpul Riska. Tetapi sesiapa yang mahu bergambar dengan maskot itu hanya perlu membayar seikhlas hati sahaja.

Ibu Riska juga berada berdekatan, bekerja sebagai tukang cuci pinggan di sebuah kedai di kawasan berkenaan.

Rezeki di bawah terik mentari

Menurut Riska, ada tiga sebab dia sanggup menahan panas dan dahaga bekerja beberapa jam sehari sebagai maskot Pikachu.

Pertamanya, dia mahu mengumpul wang untuk membayar yuran persekolahan. Yang kedua, dia mahu membeli telefon bimbit idamannya dan yang ketiga, dia mahu mengumpul wang untuk meraikan hari ulang tahun kelahirannya pada 20 September depan.

Kisah sedih Riska yang juga anak bongsu daripada enam beradik diceritakan semula oleh aktivis kebajikan, Adrian Edy yang datang menyantuninya pada Khamis lalu.

riska3

Edy bertemu dengan Riska Khamis lalu.

"Riska datang dari keluarga susah. Masa jumpa Riska, ibunya memaklumkan kepada saya dia tak mampu nak beli kek hari lahir Riska. Sebab itu Riska nak jadi maskot, dia nak cari duit untuk beli hadiah sendiri.

"Yang lagi sedih, dia dah lama nak beli telefon. Dia juga kumpul wang untuk bayar yuran sekolah. Sebab tu dia ambil upah jadi maskot di Kundasang, tak jauh dari tempat kerja ibunya.

"Sebelum jadi maskot, Riska pernah kerja part-time jual sayur, tolong-tolong kedai di kawasan itu. Dia memang rajin membantu," cerita Edy ketika dihubungi mStar.

Kuat demi rezeki

Biarpun cuaca di Kundasang agak sejuk, Edy melihat Riska seolah-olah bergelut dalam maskot besar itu yang terasa bahang panasnya apabila dipakai dalam tempoh masa yang lama.

ARTIKEL BERKAITAN: Perempuan ‘reject’ gara-gara terlalu kurus, jejaka ini nekad perbaiki fizikal diri... “Dia cakap nak peluk pun rasa kayu”

Biarpun berdepan cabaran dalam mencari rezeki, Edy menyifatkan Riska sebagai kanak-kanak yang ceria, kental dan peramah biarpun waktu pertama kali berjumpa orang tidak dikenali.

"Ketika saya jumpa Riska, dia baru saja pakai maskot tu tak sampai lima minit. Lepas tu bila dia buka maskot, boleh nampak dia berpeluh. Memang panas pakai maskot tu walaupun cuaca agak sejuk di Kundasang.

riska2

Riska teruja dihadiahkan sebuah telefon bimbit.

"Riska merupakan seorang kanak-kanak yang mempunyai hati kental. Dia memang rajin berusaha dan pandai berdikari. Walaupun baru saja berjumpa dengannya, dia sangat ramah. Dia cepat 'masuk' dengan orang ramai," ujar Edy lagi.

Impian jadi realiti

Di sebalik pertemuan penuh bermakna itu, Edy juga sempat membelikan sebuah telefon bimbit buat Riska, sekali gus merealisasikan salah satu impiannya.

"Sebenarnya video Riska jadi maskot dah viral. Jadi ramai yang tag saya agar cari dan bantu dia. Ketika buat misi bantuan di sana, saya cari Riska dan berikan sebuah telefon bimbit untuknya.

"Bila dia dapat telefon, dia melompat-lompat sambil berpusing, dia nampak sangat gembira," cerita Edy lagi.

Edy turut berkongsi video pertemuannya dengan Riska menerusi media sosial sehingga menjentik emosi netizen.

Malah, ramai yang turut menitipkan ucapan penghargaan buat Edy atas usaha murninya menggembirakan si kecil itu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain