suria

Jejaka ini seronok masuk dapur! Sanggup tinggal kerjaya arkitek demi buat kek... “Saya fleksibel, minta design merepek pun tak apa”

Zuhair berhenti kerja sebagai arkitek dan kini menumpukan sepenuh perhatian terhadap perniagaan membuat kek.

LUAR biasa indah!

Mungkin itulah perkataan yang tepat untuk menggambarkan betapa tingginya kreativiti yang dicurahkan jejaka ini dalam menghasilkan kek perkahwinan buat pelanggannya.

Muhamad Zuhair Mohd Shaid, 31, merupakan seorang arkitek yang baru sahaja berhenti kerja demi meneruskan minat dan memberikan 100 peratus perhatian terhadap impian dan cita-citanya.

zuhair1

Zuhair tak pernah menyesal berhenti kerja untuk meneruskan perniagaan.

"Saya mula buat kek ketika belajar di Universiti Malaya (UM). Masa tu saya ambil Master in Architecture. Sekadar suka-suka, saya buat kek untuk kawan dan pensyarah. Kemudian ada kawan yang minta saya buat kek kahwin untuknya.

"Bermula di situ, saya dapat permintaan berterusan. Tapi saya buat secara kecil-kecilan saja. Selepas tamat belajar pada tahun 2016, saya terus bekerja sebagai arkitek. Tapi pada masa sama, saya tetap buat kek jika ada permintaan.

zuhair4

Zuhair memulakan perniagaan itu secara kecil-kecilan pada tahun 2016.

"Siang hari kerja di pejabat, malam saya akan buat kek. Kadang-kadang balik kerja pun dah lewat, kemudian nak kena buat kek. Memang saya tidur lambat setiap hari. Tak ada keseimbangan antara kerja dan kehidupan. Pada saya ia sangat tak sihat.

"Akhirnya pada Mei 2022, selepas raya, saya buat keputusan untuk berhenti kerja dan fokus kepada kek saja. Kiranya baru tiga bulan saya buat kek secara sepenuh masa," ujarnya kepada mStar.

Tambah Zuhair, dia tidak pernah menyesali keputusan itu, sebaliknya optimis dengan diri sendiri untuk pergi lebih jauh dalam bidang yang diminatinya.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Pikachu’ usia 10 tahun sanggup berpeluh tunggu pelanggan, nak kumpul duit beli kek birthday... bayar seikhlas hati

"Saya belajar bidang seni bina dalam enam ke tujuh tahun. Segala ilmu yang dipelajari dalam bidang itu masih boleh diguna pakai dalam bidang pembuatan kek dan perniagaan.

"Rugi atau tidak ia bergantung pada diri sendiri. Saya tak rasa rugi," ujarnya yang membuat kek di kediamannya yang terletak di Subang Jaya, Selangor.

Cabaran pelanggan

Bercerita lanjut, Zuhair berkata dia sentiasa terbuka dengan permintaan para pelanggannya yang dianggap sebagai cabaran utama sebagai pembuat kek.

zuhair2

Zuhair terbuka dengan segala permintaan pelanggan yang dianggap sebagai cabaran dalam kerjayanya.

"Saya belajar sendiri melalui internet. Saya juga ada masuk kursus pendek. Paling penting kena banyak eksperimen sendiri. Kita kena sentiasa ada sifat ingin tahu.

"Kadang-kadang pelanggan minta kita buat design yang belum pernah kita buat. Walaupun rasa pening, ia akan memacu saya untuk meneroka dan hasilkan yang terbaik untuk mereka.

"Saya pula jenis fleksibel. Cakap la nak design apa pun, saya okey kan je. Kalau permintaan itu merepek pun, saya kata tak apa, kita cuba je. Setakat ini Alhamdulillah, pelanggan pun suka," ujarnya lagi.

zuhair2

Kata Zuhair, setiap usaha dan minat perlu diiringi dengan kesungguhan.

Tambah Zuhair, dia turut memasang impian untuk beroperasi dalam skala lebih besar dan mempunyai premis perniagaan sendiri suatu hari nanti.

Sokongan keluarga

Di sebalik perjalanan yang penuh dengan harapan itu, Zuhair berkata dia kuat kerana sokongan keluarga serta rakan-rakan yang sentiasa faham akan kehendak dan minatnya.

"Saya suka buat kuih sejak kecil. Kalau bulan puasa, saya la yang pertama bising mengenai biskut raya. Hari pertama puasa dah sibuk nak buat kuih raya. Sejak kecil suka masuk dapur.

zuhair3

Sentuhan magis Zuhair menjadi kenangan terindah buat pasangan pengantin yang menempah kek dengannya.

"Saya sangat bersyukur dengan sokongan keluarga. Ibu bapa saya backrground bidang perubatan. Mereka cadang supaya saya belajar bidang farmasi tapi saya tak minat. Akhirnya saya ambil bidang seni bina.

"Apabila saya kata nak berhenti jadi arkitek dan buat kek sepenuh masa baru-baru ini, mestilah mereka risau. Tapi mereka tetap sokong dan doakan yang terbaik untuk saya. Apa yang saya boleh buat hanyalah buktikan kemampuan pada mereka.

"Selain sokongan keluarga, saya juga bersyukur dikelilingi rakan-rakan yang baik. Sokongan mereka memberi semangat kepada saya," ujar anak bongsu daripada lima beradik itu.

Menurut Zuhair yang masih bujang, dia belum terfikir mengenai kek perkahwinan sendiri, namun merancang untuk 'lepas tangan' pada hari bahagianya kelak.

zuhair5

Semua kek ini dihasilkan di rumah Zuhair.

"Saya belum terfikir mengenai kek kahwin untuk diri sendiri. Tapi kalau saya kahwin, rasanya nak bagi orang luar untuk buat kek saya, ujarnya berseloroh.

Mengakhiri bicara, Zuhair menitipkan pesan kepada anak muda di luar sana agar terus bersungguh-sungguh seandainya mereka juga mahu menceburi bidang yang sama dengannya.

"Nak buat apa-apa sekalipun, kita kena bersungguh-sungguh, buat sampai jadi. Kenali kelemahan dan kelebihan diri. Gunakan kelebihan kita sebaiknya.

"Kena make sure boleh capai apa yang kita naik. Jangan hari ni semangat, esok dah malas. Kesungguhan itu penting. Tak boleh malas," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain