suria

KWSP bukan ‘ubat tahan sakit’, elak pengeluaran demi hari tua... Parah jika wang susut masa muda!

Faiz berpendapat pengeluaran KWSP secara one-off bukan satu langkah yang baik.

ANDAI kata ada yang terlupa, pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disarankan untuk mempunyai kuantum simpanan asas sebanyak RM240,000 ketika mencapai umur 55 tahun.

Angka itu dicongak sebagai jumlah simpanan minimum yang diperlukan untuk menampung keperluan asas persaraan selama 20 tahun sehingga mencapai usia 75 tahun selaras dengan jangkaan jangka hayat rakyat Malaysia.

Persoalannya sekarang, mampukah kita mencapai sasaran itu setelah kerajaan membenarkan empat pusingan pengeluaran KWSP sebelum ini menerusi pelbagai jenama iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas?

WhatsApp Image 2023-03-31 at 12.05.14 PM

Faiz aktif memberi ceramah berkaitan kewangan.

Bagi sesetengah pihak, KWSP dilihat sebagai talian hayat yang berfungsi sebagai simpanan tunai kecemasan untuk digunakan dalam menangani kos sara hidup semasa.

Adakah generasi muda bakal berdepan kesan jangka panjang dari segi ekonomi dan sosial sekiranya caruman KWSP dibenarkan keluar sekali atau beberapa kali lagi?

Perancang kewangan berlesen, Faiz Wahab, meluahkan keraguannya tentang penyelesaian bersifat sementara seperti ‘painkiller’ itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat minta keluarkan wang KWSP, kerajaan tambah RM500 dalam Akaun 1 untuk 2 juta ahli

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan terus berharap... Ahmad Maslan tegaskan tiada lagi pengeluaran KWSP

Ikuti soal jawab bersama Faiz yang juga ahli Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) tentang kepentingan sistem persaraan KWSP untuk jangka masa panjang.

Adakah wajar pengeluaran KWSP dibuat oleh golongan muda?

Semua tahu terdapat beberapa jenis pengeluaran KWSP yang dibenarkan. Pengeluaran dimaksudkan di sini adalah secara one-off daripada Akaun satu. Ketika pandemik Covid-19 melanda, ada golongan muda terkesan dengan kehilangan pekerjaan dan perlu menampung kos sara hidup mereka.

WhatsApp Image 2023-03-31 at 4.38.22 PM

Faiz juga merupakan ahli Majlis Perancangan Kewangan Malaysia.

Maka ia adalah salah satu langkah yang terpaksa diambil untuk meneruskan kelangsungan hidup. Walaubagaimanapun, selepas keadaan ekonomi kembali stabil dan peluang pekerjaan dibuka semula, pengeluaran one-off ini dilihat bukanlah satu langkah yang baik.

Ia akan membebankan kita apabila mencapai umur bersara kelak apatah lagi jika pengeluaran ini bukan untuk tujuan mendesak.

Apa kesan jangka panjang jika simpanan KWSP terus 'ditebuk'?

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, KWSP adalah bagi tujuan persaraan. Jika kita menggunakan simpanan ini sekarang sebelum tiba waktunya, ia ibarat kita 'mencuri' duit persaraan kita sendiri. Akibatnya tidak dilihat sekarang, tetapi ia akan memberi kesan pada jangka masa panjang.

Nurwaniza Chang,26 ,(Left) and Nur Afeesya Zainal ,25, (Right)  looking at their latest epf statement after  printed out  at  Epf Hedaquaters in Jalan Raja Laut.(December 02 ,2020).  — AZHAR MAHFOF/The Star

Pengeluaran KWSP pasca pandemik Covid-19 dibenarkan kerajaan bagi membantu aliran tunai pencarum.

Hakikatnya bagi ramai rakyat Malaysia, ramai yang tidak mempunyai simpanan persaraan mencukupi. Keadaan ini akan menjadi lebih parah apabila kita menggunakan KWSP pada usia muda. Jadi jika tidak ada keperluan mendesak, maka dinasihatkan untuk tidak menggunakan simpanan KWSP.

Bagaimana pula dengan cadangan KWSP dijadikan cagaran pinjaman bank, adakah ia satu langkah baik?

Cagaran KWSP ini masih di peringkat cadangan dan belum dilaksanakan. Kita perlu menilai secara menyeluruh jika ia dilaksanakan kelak.

Penting bagi kita untuk menyelesaikan kebanyakan hutang-hutang sebelum umur persaraan.

FAIZ WAHAB

PERANCANG KEWANGAN

Antara perkara boleh kita fokuskan adalah bagaimana cagaran ini boleh merendahkan kadar faedah dikenakan dan boleh membantu mereka yang memerlukan bagi mendapatkan pinjaman bercagar ini.

Wajarkah KWSP meningkatkan kadar pengeluaran daripada Akaun 2 khusus untuk menunaikan haji?

Pengeluaran untuk menampung kos bergantung kepada individu kerana setiap orang mempunyai situasi yang berbeza-beza. Sebagai contoh seorang yang masih muda dan mampu untuk menyimpan setiap bulan, maka dia boleh untuk tidak menggunakan KWSP bagi tujuan menunaikan haji.

People  lined up at kwsp kepong to register as kwsp i -sinar preparation after goverment announce yesterday at Parliment ( 27 Nov 2020)—KAMARUL ARIFFIN/The Star

KWSP adalah simpanan bagi menampung keperluan asas persaraan.

Walaubagaimanapun, jika seseorang agak berumur dan tidak mempunyai kemampuan untuk menyimpan bagi tujuan menunaikan haji, tidak ada masalah untuk menggunakan KWSP bagi tujuan ini.

Akan tetapi, individu ini perlu menilai risiko yang akan ditanggung apabila menggunakan simpanan KWSP ke atas kebolehupayaan simpanannya menanggung kehidupannya selepas bersara.

Apa perlu dilakukan untuk pulihkan aliran tunai?

Keadaan simpanan menyusut ini berlaku kerana ada defisit dalam aliran tunai seseorang. Defisit ini boleh berlaku jika perbelanjaan melebihi pendapatan semasa.

Maka dalam keadaan ini, individu tersebut perlulah menilai semula perbelanjaan semasa dan mengurangkan perbelanjaan-perbelanjaan yang kurang mustahak.

Jika tidak ada perbelanjaan yang dapat dikurangkan, maka kaedah seterusnya adalah dengan meningkatkan pendapatan semasa.

An Epf member is seen at Epf counter at  Jalan Raja Laut.(December 02 ,2020).  — AZHAR MAHFOF/The Star

Pencarum KWSP disarankan untuk mempunyai kuantum simpanan asas sebanyak RM240,000 ketika mencapai umur 55 tahun.

Apakah persediaan yang perlu dilakukan sebelum bersara?

Adalah penting bagi kita untuk menyelesaikan kebanyakan hutang-hutang sebelum umur persaraan. Ini bagi memastikan komitmen bulanan selepas bersara adalah lebih rendah. Selain itu pada umur yang lanjut, kita sering terdedah dengan risiko ditimpa masalah kesihatan yang memerlukan perbelanjaan yang agak besar.

Oleh itu, bagi golongan masih muda, dinasihatkan untuk mendapatkan perlindungan insurans atau takaful yang mencukupi terutamanya bagi menampung perbelanjaan perubatan di usia persaraan.

Jadi, untuk mereka yang masih belum mencapai usia persaraan, anda masih mampu untuk membina tabung persaraan agar anda dapat bersara dengan keadaan yang selesa.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain