HIDUP di zaman sosial media, sesiapa sahaja boleh menjadi pempengaruh atau influencer dengan menghasilkan pelbagai kandungan mengikut kepakaran masing-masing. Namun lain pula dengan seorang doktor perubatan ini apabila dia aktif di TikTok dengan menghasilkan content berunsur humor. Sering membuatkan warga maya tak kering gusi, Dr Muhammad Aliff Md Zaki, 30, kini mengumpul hampir 200,000 pengikut di TikTok menggunakan akaun @alepza11. Pernah melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Moscow, Rusia, Dr Aliff kini bergelar pegawai perubatan di sebuah klinik kesihatan kerajaan yang antara mengendalikan kes di unit pesakit luar serta sakit puan dan kanak-kanak. Dr Aliff pada mulanya tidak menyangka kandungannya di TikTok akan mendapat sambutan. Menurut Dr Aliff yang berkhidmat di Temerloh, Pahang, dia hanya berjinak-jinak di TikTok atas dasar perasaan ingin tahu dan tidak pernah berniat menjadikannya sebagai kerjaya. "Segalanya bermula apabila ayah saya meninggal dunia pada bulan Mac tahun lepas. "Waktu tu saya macam lost dan dalam fasa bersedih, jadi saya pun mencari sumber hiburan dan nak healing, itu yang saya cuba buat akaun TikTok. Dr Aliff berkerjaya sebagai doktor perubatan di Temerloh, Pahang. "Apabila saya tengok-tengok content orang, saya macam teringin nak buat content sendiri. Tak sangka diterima baik dan saya pun terjebak sampai sekarang. "Tapi saya tak menjadikan TikTok ini sebagai komitmen sepenuh masa, kalau ada idea saya akan buat. Saya tak set kuota untuk keluarkan content," kata Dr Aliff ketika dihubungi mStar. Ketika ditanyakan bagaimana dia mencari buah fikiran untuk menghasilkan kandungan lawak pecah perut, Dr Aliff mengatakan semuanya diinspirasikan daripada kehidupanya sendiri. Dr Aliff di Moscow, Rusia ketika bergelar pelajar jurusan perubatan. "Saya merupakan seorang yang observant dan sering perhatikan gelagat mereka di sekeliling saya. Kemudian saya juga kerap berurusan dengan orang apabila saya bertugas di klinik. "Perangai-perangai pesakit saya yang kelakar dan menghiburkan, itu yang saya gunakan sebagai pencetus idea. "Seterusnya dari apa yang saya lihat di media sosial yang melucukan, saya gunakannya sebagai modal untuk berkarya di TikTok saya," ujar Dr Aliff yang merupakan anak jati Dungun, Terengganu. Dr Aliff mahu memberikan sesuatu yang positif kepada penonton dari videonya di TikTok. Umpama sambil menyelam minum air, selain menghasilkan video ringan dan santai, Dr Aliff yang berpengalaman selama tiga tahun sebagai pegawai perubatan juga tidak melepaskan peluang untuk menyelitkan pengajaran dalam karyanya. "Video atau parodi saya kebanyakannya bertemakan social criticism iaitu untuk memberikan kritikan yang membina kepada masyarakat. Tak direct kritikan tu, ada orang akan ingat saya buat lawak kosong, tapi sebenarnya ada isi. ARTIKEL BERKAITAN: Masakan buat orang terliur, ramai tertunggu-tunggu resipi daripada pemuda ini... tak sia-sia rajin tolong ayah masa kecil ARTIKEL BERKAITAN: Rugi tak ambil peluang! Wanita ini dapat sokongan suami buat part time Lalamove... kerja fleksibel siap boleh jaga anak, paling best gaji masyuk "Kita menghentam benda yang bermasalah dalam masyarakat kita. Contohnya penduduk rumah flat yang suka buang sampah dari tingkap, air basuhan baju kena orang bawah dan pasang jeriji sampai menghalang laluan kebakaran. "Lagi satu saya suka buat parodi tentang penunggang agama. Misalnya minta derma kononnya untuk anak yatim tapi pergi beli kereta baharu. Lepas tu scammer dan golongan menjual air liur iaitu Multi-level Marketing (MLM). "Kita menegur secara berkias, itu cara saya. Ada sesetengah yang tengok content saya anggap itu sebagai hiburan semata-mata, tapi kalau yang tengok sambil berfikir, mereka akan faham," terang Dr Aliff. Isteri Dr Aliff sering membantunya dalam proses penghasilan video. Dr Aliff menyatakan teguran secara terus seperti berceramah dan bersyarah mungkin kurang berkesan kerana sudah ramai yang menggunakan pendekatan sedemikian. "Tetapi saya ada batasan dalam apa yang saya tegur. Saya tak akan langgar etika moral dan undang-undang negara, seperti sentuh isu perkauman, sistem beraja dan kesucian agama. "Lagi satu saya tak akan buat content yang menjatuhkan air muka orang, bercakap mengenai hal peribadi dan mengaibkan," kata Dr Aliff. Selain membuat video lucu parodi dengan tujuan untuk menegur masyarakat, Dr Aliff juga kerap menggunakan platform TikTok untuk memperbetulkan mitos kesihatan yang berlegar-legar dalam sosial media. Dr Aliff dan isterinya dikurniakan dua cahaya mata iaitu Airis dan Airil. "Saya banyak kupaskan mitos kesihatan berkaitan pemakanan semasa berpantang, aktiviti ibu semasa mengandung dan makanan yang sesuai untuk kanak-kanak. "Antara mitos yang saya pernah betulkan adalah mengenai isu usus perut, isu selaput bayi baru lahir dan isu sakit tulang belakang. Ini antara isu yang dapat engagement tinggi. "Ini apa yang saya katakan sebagai naluri seorang doktor, rasa tanggungjawab. Setiap kali kita tengok ada benda yang salah fakta di media sosial, kita terpanggil untuk memberikan penjelasan dan betulkan apa yang batil. "Lagi-lagi kalau isu itu berat, sampai boleh membawa kepada mudarat umum contohnya macam buat air bateri untuk suplemen vitamin C dan produk pemutihan kulit yang melampau, itu saya akan bersuara dan tegur," kata Dr Aliff. Sebagai manusia biasa, Dr Aliff mengakui tidak terlepas daripada tohmahan dan kecaman warga maya yang tajam mata mencari kesalahannya. Dr Aliff sempat melancong merentasi benua Eropah ketika menyambung pengajian di negara orang. "Ada yang datang dekat saya dan bagi kata-kata jelik. Cakap saya tak kelakar, cakap saya ni hambar, minta saya jangan main TikTok dan duduk klinik je jaga pesakit, semua ini saya dapat. "Tapi benda ni tak beri kesan apa-apa pun dekat saya. Kita jalan tegak! Paling teruk saya kena pun apabila dia libatkan family, saya terus block mereka ni. "Mereka hanya cybertroopers yang berkata-kata di sebalik akaun tanpa identiti," ujar Dr Aliff. Bercakap mengenai perancangan masa hadapan, Dr Aliff mengatakan dia ada cita-cita untuk membuat drama bersiri di platform media sosialnya. Dr Aliff mempunyai visi untuk mengembangkan konsep kandungannya di TikTok kepada drama bersiri. "Saya berhasrat nak buat drama bersiri mungkin dalam satu season ada 10 episod, satu episod dalam 15 minit. Drama berseri genre komedi yang dekat dengan hati masyarakat. "Penglipur lara di kala duka, orang boleh tengok sambil balik kerja ketika tersekat dalam traffic jam atau ketika sedang tunggu waktu berbuka puasa. Inilah apa yang saya impikan untuk jangka masa panjang. "Buat masa sekarang saya hanya follow the flow, InsyaAllah kalau ada rezeki yang menanti, ada la tu. Team saya pun ada seorang je setakat ni, isteri saya, dialah videographer say. Dia banyak bantu saya. "Apa yang penting sekarang adalah untuk saya terus memberikan content yang bermanfaat kepada pengikut saya," kata Dr Aliff menoktahkan bicara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube