TUJUANNYA hanya satu iaitu memberi pengajaran dan pesanan tentang jerit perih di sebalik tirai besi. Begitulah 'sumbangan' seorang bekas banduan dikenali sebagai Roy yang dilihat sering berkongsikan pengajaran hidupnya di media sosial selepas menjalani hukuman penjara keseluruhan selama lima tahun. Bergiat aktif di TikTok hingga memiliki lebih 266,000 pengikut, Roy atau Syed Barkath Amin, 33, kini tebal dengan penyesalan atas kesalahan lampau. Syed (tengah) sentiasa menyimpan azam untuk berada pada jalan kebaikan. Bercerita kepada mStar, Syed berkata pada tahun 2008 dia disabitkan dengan kesalahan samun bersenjata secara berkumpulan sehingga mencederakan dan melalui pengalaman berada dalam penjara selama lima tahun. "Saya jalani hukuman selama lima tahun. Dua tahun pertama saya dibuang daerah ke Perak, asalnya saya orang Selangor. Tiga tahun selepas tu saya dimasukkan ke penjara, sempat merasa duduk di penjara Penor, Kuantan dan penjara Taiping, Perak. "Saya mula terjebak dalam dunia jenayah ni sebab bahan terlarang, dadah. Waktu awal beli dadah dulu pakai duit gaji sendiri, tapi lama-kelamaan duit kita habis, dan sebab pengaruh dadah juga, saya jadi malas bekerja. ARTIKEL BERKAITAN: Anak meraung insaf lawat muzium penjara, rupanya mak ayah komplot dengan warden misai... ‘Taubat’ tak main handphone dah! ARTIKEL BERKAITAN: Macam penjara! Murid darjah 1 didakwa dikurung dalam bilik pagar besi, ada kotak elektrik undang bahaya "Supply 'barang' tetap kena berjalan sebab saya dah ketagih, jadi macam mana tu? Sebab tu mula timbul idea nak samun orang semua. Itulah kenakalan saya sewaktu awal umur 20-an. "Kini dah 10 tahun saya tinggalkan kegelapan masa silam saya di belakang, saya dah berjaya jadi 'orang' semula. Sekarang saya berniaga barangan komestik dengan kawan-kawan, dah tak buat benda jahat dah," kata Syed. Ramai yang salah faham, masuk penjara ni bukan untuk berehat ya. SYED BARKATH AMIN Syed yang dibebaskan dari penjara pada penghujung tahun 2013 memberitahu hatinya tergerak untuk berkongsi kisahnya di platform TikTok selepas melihat satu insiden yang menyebabkan hatinya panas. "Saya tengok orang sekarang ni mereka dah tak takut nak buat jenayah. Ada sekali tu, waktu ni saya baru lagi main TikTok, saya nampak ada budak muda buat live sambil hisap dadah. Syed menjual barangan kosmetik untuk menjana pendapatan. "Saya macam tertanya-tanya, mereka ni tak takut kena tangkap masuk penjara ke, dah 'keras' sangat ke? Jadi daripada situ saya mula share kisah hidup di TikTok. Biar mereka tahu yang penjara ni hanya indah khabar daripada rupa. "Bermula penghujung tahun 2022, saya mula buat content tentang hakikat hidup seorang banduan di penjara. Macam baru-baru ni waktu raya haji, saya buat video pasal beraya dalam penjara dan Alhamdulillah dapat sambutan. "Semoga dengan pencerahan yang saya bagi ni, penonton video saya dapat berfikir dua tiga kali sebelum nak lakukan jenayah," ujar Syed. Syed mahu memberi kesedaran kepada masyarakat untuk tidak terlibat dengan jenayah. Mengimbas kembali kehidupannya dalam penjara, Syed berkata hanya jerih perih yang tidak berkesudahan menjadi peneman. "Ramai yang salah faham, masuk penjara ni bukan tempat berehat dan makan percuma ya. Kita masuk penjara sebab menjalani hukuman, jadi sudah tentunya kita akan dihukum. "Barangan asas seperti makanan dan keperluan mandian adalah terhad. Jadi apabila kita masuk penjara, memang kita akan susahkan keluarga. "Saya selalu hantar surat ke kampung minta mereka datang melawat. Bawa makanan dan baju sebab dalam penjara ni serba serbi tak cukup," ujar Syed. Syed menginginkan permulaan hidup yang baharu selepas keluar dari penjara. Tambah Syed lagi, ketika di dalam penjara, kunjungan keluarga adalah masa yang sentiasa ditunggu-tunggu. "Syukur keluarga masih sayangkan saya. Mereka tetap datang lawat saya di penjara walaupun waktu saya lupa daratan dulu, saya tak ambil kisah pun tentang mereka. Saya belajar untuk menghargai orang yang tersayang. "Sekarang Alhamdulillah saya dah bertunang dan menjelang hujung tahun ni InsyaAllah saya akan bernikah," kata Syed menutup bicara. Semoga dengan perkongsian dan pengalaman hidup Syed ini akan menjadi pengajaran buat semua pembaca agar menjauhi najis dadah serta tidak terlibat dengan kegiatan jenayah yang akhirnya merosakkan diri sendiri. Hanya dengan mendekatkan diri dengan Allah dan mendalami ajaran Islam sebenar akan membantu seseorang itu terhindar daripada melakukan perbuatan keji. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube