BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Ramai dalam kalangan kita yang sudah tidak asing lagi dengan istilah ekzema, iaitu satu keadaan kulit yang meradang, namun hanya mereka yang pernah melaluinya sahaja akan faham kesengsaraan pesakit. Bergiat aktif di TikTok, Hasya Jasmin, 25, sering berkongsikan tentang kehidupannya sebagai seorang penghidap ekzema sejak berusia 7 tahun. Hasya berbicara mengenai pengalaman hidap ekzema di TikTok. Bercerita kepada mStar, Hasya berkata ekzema adalah satu ujian yang perlu dihadapi dengan penuh kesabaran kerana ia boleh menjejaskan kualiti kehidupan seseorang. "Saya mempunyai ekzema kerana genetik ibu saya yang mempunyai asma. Pada awal rawatan, saya pergi ke klinik biasa dan doktor berikan saya ubat sapu dan ubat makan tahan gatal. "Apabila umur meningkat, doktor sarankan saya ambil steroid iaitu ubat yang dikatakan berkesan dan mampu merawat ekzema dalam masa yang singkat. Walaupun begitu, steroid ini ada kesan sampingannya. ARTIKEL BERKAITAN: Kesan darah, kuping luka di cadar! Isteri tak sanggup tidur dengan suami ekzema, bising menggaru sampai katil bergegar "Keadaan kulit saya jadi semakin teruk dan merebak ke seluruh badan termasuk muka. Akhirnya, saya nekad untuk berhenti bergantung pada ubat klinik. "Setelah belajar serba sedikit, saya mulakan inisaitif rawatan saya sendiri yang berteraskan rutin dan makanan semula jadi untuk elakkan pengambilan steroid supaya badan saya tidak bergantung kepadanya lagi," jelas Hasya. Menurut Hasya, antara cabaran terbesar sebagai seorang penghidap ekzema adalah kehidupan yang sentiasa disulami dengan kesakitan. Saya juga selalu ditegur oleh stranger ke mana saja saya pergi sebab keadaan muka saya yang terkesan dengan alahan steroid. HASYA JASMIN "Kehidupan saya dengan ekzema boleh digambarkan sebagai sunyi, saya sentiasa sakit dan tak ada sesiapa yang tahu tentang keadaan saya terutamanya waktu sekolah menengah. "Saya masih boleh jalani kehidupan macam orang biasa, tapi ia tak akan pernah sama. Dalam hari-hari saya, kalau nak mandi pun rasa sakit, nak tidur pun sakit, sampai nak bergerak pun sakit. "Saya rasa sakit sebab kebanyakan kulit saya terkoyak pada bahagian badan seperti pelipat kaki dan tangan, tempat yang orang tak nampak dari luar. "Bayangkan sakit yang saya lalui, saya terpaksa tempuhi semua itu ketika saya nak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ketika saya nak masuk kolej dan juga ketika saya nak bekerja," ujar Hasya. Antara kesan pada kulit Hasya akibat dari ekzema. Hasya juga sempat mendedahkan dia perlu memakai 'sut khas' ketika hendak tidur malam, demikian antara kesulitan yang perlu dihadapinya sebagai seorang penghidap ekzema. "Kalau nak rawat ekzema, selain kena jaga pemakanan dan kuatkan mental, kami juga kena elakkan garu kalau ada rasa kegatalan sebab boleh tambah luka. "Jadi sebelum saya tidur malam, saya akan pakai sarung tangan (glove) yang dikeluarkan khusus untuk pesakit ekzema. Ini bertujuan untuk mengelakkan tangan saya dari garu kulit secara tak sedar ketika tidur malam. "Pendekatan ni Alhamdulillah dapat bantu saya pada keadaan ketika itu. Tapi saya belum pulih sepenuhnya, ekzema akan sentiasa datang dan pergi. Sut khas untuk ekzema yang dipakai oleh Hasya. "Ditambah pula dengan keadaan cuaca Malaysia yang ada kalanya terlalu panas dan juga boleh menjadi sejuk. Bila-bila masa saja kulit saya boleh meradang, jadi kering dan koyak semula," kata Hasya. Dalam pada itu Hasya menzahirkan rasa syukur kerana mempunyai sistem sokongan yang kukuh di belakangnya ketika diri diuji hebat. "Alhamdulillah penerimaan keluarga dan kawan positif sahaja, walaupun ini sesuatu yang sukar untuk mereka fahami. "Saya juga selalu ditegur oleh stranger ke mana saja saya pergi sebab keadaan muka saya yang terkesan dengan alahan steroid. Sarung tangan untuk menghalang Hasya daripada menggaru kulitnya. "17 tahun perjalanan saya berdamping dengan ekzema, saya mampu teruskan perjuangan ini kerana sokongan daripada orang terdekat, syukur keadaan sekarang jauh lebih baik," kata Hasya. Menitipkan pesanan, Hasya mengesyorkan sesiapa sahaja yang senasib dengan dirinya untuk mengenal pasti punca yang boleh mencetuskan alahan ekzema. "Saya nasihatkan agar pesakit ekzema cuba kenali root cause (punca) ekzema anda, kita harus kenal dah tahu ciri-ciri ekzema kita ini, sebab susah untuk hadapi sesuatu yang kita tak faham. "Setiap pesakit ekzema adalah berbeza dan unik. Jika berkemampuan, dinasihatkan juga untuk ambil allergic test. Semoga kita sentiasa kuat untuk menghadapi ekzema ini," ujar Hasya menutup bicara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube