MENGUNDI dalam pilihan raya merupakan tanggungjawab bersama rakyat di sebuah negara berdemokrasi. Setiap rakyat termasuk golongan orang kelainan upaya (OKU) mempunyai hak untuk menentukan siapa yang wajar mentadbir negara atau kerajaan sama ada diperingkat negeri mahupun persekutuan. Begitulah perspektif Shafarizan Ramly, 47, atau senang disapa Izan yang mahu melihat anak istimewanya, Hazril Haqeem, 19, turut menggalas amanah tersebut. Hazril tiba di pusat mengundi sambil ditolak abang sulungnya, Haiqal Hakeem. Bercerita kepada mStar, Sharafizan berkata anaknya merupakan seorang OKU yang terlantar kerana menghidap Cerebral Palcy (CP), satu kondisi yang melibatkan saraf pada tubuh. "Hazril menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-18 pada November tahun lepas, jadi dia tak sempat nak mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). "Pilihan Raya Negeri (PRN) ini adalah undiannya yang pertama. Kami mahu lihat bagaimana proses pengundian untuk seorang OKU terlantar, itu antara sebab kami bawa Hazril mengundi walaupun dengan keadaan dia begitu. Kembar Hazril, Hazriq Haqeem menolong adiknya membuang kertas undi ke dalam kotak. "Kami belum pernah lihat lagi OKU seperti Hazril dibawa mengundi, iaitu terlantar, tidak boleh bercakap dan kurang upaya daripada segi intelektual. "Kami rasa Hazril juga berhak diberi peluang untuk mengundi. Seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, setiap undi itu adalah berharga," ujar izan yang menetap di Hulu Langat, Selangor. Izan dan suaminya, Hasnol Hady, 49, berharap dengan inisiatif mereka itu, ia dapat memberi pendedahan kepada masyarakat khususnya keluarga yang mempunyai anak OKU seperti mereka. Kesan dakwat pada jari Hazril selepas selesai mengundi. "Apabila kami bawa Hazril mengundi kali ini, kami dapat berikan maklumat tentang bagaimana proses pengundian untuk golongan OKU. "Kami pun ada kawan-kawan yang anaknya kurang upaya dari segi fizikal, penglihatan dan pendengaran, tapi masih belum berumur 18 tahun untuk mengundi, "Apa kami buat ni boleh jadi rujukan mereka di kemudian hari, seperti apa prosedurnya dan borang apa yang perlu diisi," ujar Izan. Izan (kiri) bersama Hazril dan keluarga di hadapan Masjid Nabawi ketika menunaikan umrah. Bercakap mengenai proses pengundian, Izan memberitahu Hazril dibawa ke pusat mengundi di Sekolah Rendah Agama Pekan Hulu Langat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua pada pukul 10 pagi. "Hazril ada seorang abang kembar, Hazriq Haqeem. Besar kemungkinan dia yang akan tolak adiknya di atas kerusi roda masuk ke pusat pengundian, untuk menolong Hazril menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai seorang pengundi. "Memandangkan Hazril tak boleh menulis dengan sendiri, jadi Hazriq yang akan bantu dia untuk isikan maklumat diri seperti tunjuk kad pengenalan dan seterusnya celup jari dalam dakwat. Izan bersama Hazril dan keluarga melancong ke luar negara. "Lagi satu, sebab Hazril tak mampu buat tandatangan, jadi kena gunakan cap jari untuk pengesahan diri. Tiba masa untuk mengundi, Hazriq juga yang akan membantu Hazril untuk memilih calon yang bertanding. "Selepas itu, Hazriq akan wakilkan Hazril untuk buang kertas undi ke dalam kotak undi dan kemudian tolak adiknya keluar semula," jelas Izan. Secara berseloroh, Izan mengatakan Hazriq mempunyai kelebihan dua undi di tangannya, satu untuk adiknya dan lagi satu untuk dirinya sendiri. Sekeluarga ketika Hari Raya Aidilfitri. "Apabila Hazril dah selesai mengundi, selepas itu Hazriq pula yang akan masuk mengundi. Hazriq akan pergi mengundi di saluran lain sebab OKU ada saluran khas. "Saya percaya Hazriq selaku belia yang sudah didedahkan dengan maklumat, dia tahu untuk pilih pemimpin yang boleh membawa manfaat kepada dirinya dan adiknya. "Dengan kami bawa Hazril mengundi ni, kami harap dapat utarakan dan ketengahkan keperluan OKU dalam tadbir urus negara daripada peringkat akar umbi. Sesi bergambar seisi keluarga selepas Hazril selesai mengundi. "Keluar mengundi adalah peluang untuk menjamin masa depan negara yang lebih baik, kami tak mahu Hazril dan golongan OKU yang lain disisihkan dalam hal ini," kata Izan menutup bicara. Pada hari kejadian, Izan memaklumkan semuanya berjalan lancar dan kagum dengan kecekapan sistem pengundian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). "Alhamdulillah senang sangat proses semua. Tak perlu isi borang apa sebab Hazril dah siap-siap diletakkan dalam saluran 1 untuk warga emas dan OKU. "Rasanya SPR ada berhubungan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mereka boleh tahu status Hazril lebih awal," kata Izan ringkas. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube