"MUZIUM kami di dalam hutan, buruan kami adalah bangkai pesawat pejuang." Demikian kata-kata seorang peminat sejarah yang aktif di TikTok berkongsi pelbagai kandungan berkonsepkan 'dahulu dan kini'. Antara video yang menjadi tular adalah detik bersejarah ketika tentera Jepun menawan Slim River, Perak dan merampas jentera ketenteraan British ketika peristiwa Perang Dunia Kedua. Antara perkongsian yang tular di TikTok. Dikenali sebagai Kerol, atau nama sebenarnya Hairul Alias, 48, dia menggunakan platform TikTok untuk menjadikan perkongsian ilmu sejarah lebih menarik kepada masyarakat. Bercerita kepada mStar, Kerol berkata hobi sampingannya itu walaupun lain daripada yang lain, tetapi ia berbaloi kerana dapat mempelajari tentang masa lalu. "Semuanya bermula sebab minat pada sejarah, saya dan kumpulan sanggup keluar masuk hutan dan turun ke laut, hanya demi mencari bangkai pesawat pejuang dari era Perang Dunia Kedua. Kerol bersama bangkai pesawat pejuang C47b Dakota United States Army Air Forces (USAAF), ditemui di sekitar hutan Beruas, Perak. "Kumpulan kami dinamakan sebagai Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya, ditubuhkan pada tahun 1996. Saya sangat bersyukur dengan kewujudan platform media sosial seperti Facebook dan TikTok. "Mudah untuk kami meluaskan lagi pengetahuan sejarah kepada masyarakat, menonjolkan semula kisah Perang Dunia Kedua kepada orang ramai. "Kita perlu tahu, dalam sungai, hutan dan laut negara kita ni, pernah berlaku pertempuran yang hebat, hanya tunggu masa untuk dirungkai saja," kata Kerol yang memiliki sebuah restoran di Seri Manjung, Perak. Sepanjang 30 tahun berada di lapangan, Kerol sudah menemukan dan mengenal pasti 11 buah bangkai pesawat pejuang termasuk helikopter lama dari zaman Darurat Tanah Melayu. Kerol dan pasukan bersama bangkai pesawat pejuang Royal Air Force (RAF) Vickers Valetta milik British, ditemui di hutan Cameron Highlands, Pahang. Menurut Kerol, proses untuk menemukan bangkai pesawat pejuang zaman Perang Dunia Kedua bukannya mudah dan memerlukan proses penyelidikan yang mendalam. "Kalau kami nak cari info tentang bangkai pesawat pejuang, kami akan masuk ke kampung orang asli dan tanya kalau mereka pernah jumpa apa-apa petunjuk tinggalan sejarah yang berharga. "Orang asli atau pembalak ni, mereka biasanya ada je terserempak dengan bangkai pesawat pejuang dalam hutan tapi sering kali dibiarkan sebab mereka tak tahu itu apa. "Akhirnya apabila kawasan hutan itu diteroka kelak, kebanyakan tinggalan sejarah ini diangkat sebagai besi buruk dan dijual, sangat rugi. Sebab itu kami cuba sedaya-upaya untuk selamatkan warisan negara kita. Kerol menemukan helikopter jenis Westland Whirlwind Royal Air Force (RAF) British, ditemui di sekitar hutan Bukit Tinker, Sandakan, Sabah. "Apabila kami jumpa bangkai pesawat pejuang, kami akan berkolaborasi dengan muzium tentera dan Jabatan Warisan Negara untuk ambil sebahagian pesawat itu, baik pulih dan pamerkan di dalam muzium," kata Kerol. Selain turun ke padang, Kerol dan rakan sepasukannya juga mengambil rujukan daripada jurnal ketenteraan British dan memetik maklumat daripada waris mendiang anggota tentera British. Tambah Kerol lagi, kemanisan di dalam hobinya adalah apabila mereka menemukan bangkai pesawat pejuang yang tidak pernah direkodkan dan berjaya menyiasat asal-usulnya. "Rasa seronok tu bukan kepalang apabila kami jumpa pesawat yang unknown, dan kami dapat 'korek' maklumat seperti ia asal daripada negara mana, model apa dan apa kargo yang ia bawa. Kerol memeriksa serpihan bahagian pesawat pejuang, rangka utama sudah diambil oleh mereka yang menemuinya lebih awal. "Siasat sampai kami boleh tutup buku... case closed tentang pesawat tu, itu yang puas. Kami nak jumpa bangkai pesawat pejuang ni kena keluar masuk hutan berkali-kali, sekali masuk hutan tu mahu dekat seminggu juga "Akhirnya apabila ada hasil, ia adalah momen yang tidak terungkap dengan kata-kata,. "Rasa terubat segala kesusahan kami, selepas titik peluh dikerah, duit poket dikeluarkan, masa dikorbankan dan keluarga ditinggalkan," kata Kerol. Kerol juga ada membuat video tentang penjajahan Jepun di Malaya yang mendapat sambutan hangat daripada penontonnya. Kerol bersedia untuk menghadapi risiko yang hadir bersama hobinya. "Seperti yang kita tahu, Jepun mendarat di Kota Bharu, dan kemudian bergerak sepanjang semenanjung untuk ke Singapura. Apabila tumpasnya Singapura, maka jatuhlah seluruh Malaya ke tangan Jepun. "Dalam perjalanan Jepun untuk tiba ke Singapura itu, mereka banyak melewati negeri, daerah dan kampung. Setiap tempat yang Jepun lalui itu, mereka akan buat rekod secara bertulis atau bergambar, "Daripada situ la kami jejak dan buat resesarch, betul ke pernah berlaku kejadian ini di tempat ini. Menarik untuk difikirkan, di tempat yang kita berpijak hari ini, pernah berlakunya sesuatu yang mengubah sejarah. "Seperti dalam video Slim River kami tu, kedai yang menyaksikan kemaraan tentera Jepun masih teguh berdiri walaupun dengan peredaran zaman," jelas Kerol. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube