suria

Anak tak lupa momen bapa cuba nasib minta sign Tunku Abdul Rahman - “Sampai hujung usia ayah cerita kat orang”

Wang kertas yang ditandatangani Tunku Abdul Rahman menjadi kebanggaan lelaki ini.

TUNKU Abdul Rahman Putra Al-Haj akan terus dikenang sebagai Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia.

Bapa Kemerdekaan kerana perjuangan beliau membebaskan tanah air dari kuasa British dan Bapa Malaysia kerana menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura di bawah satu bendera.

Sumbangan Almarhum Tunku Abdul Rahman adalah sangat besar dan namanya akan kekal terpahat dalam lipatan sejarah Malaysia.

Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. -Gambar hiasan The Star

Menjelang ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-66, seorang lelaki tampil bangga kerana menyimpan sehelai wang kertas RM1 yang ditandatangani bekas Perdana Menteri pertama itu.

Senang disapa sebagai Man atau nama sebenarnya adalah Syed Azman Syel Alwi, 44, dia berkata duit kertas 'bertuah' itu adalah peninggalan arwah bapanya.

"Masih segar dalam memori macam mana ayah saya dapat tandatangan tu. Waktu tu saya dimasukkan ke Tadika Perkim Pulau Pinang pada tahun 1985, saya umur enam tahun ketika itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu pencen tolak tawaran RM5,000 jual surat khabar Malaya Merdeka cetakan 31 Ogos 1957... Salinan dokumen kemerdekaan pun ada!

"Tadika Perkim ni antara yang top masa saya kecil, mak saudara saya yang recommend. Itu yang ibu ayah sanggup hantar saya ke tadika Perkim walaupun jauh dari rumah.

"Waktu saya masuk tadika ni, ia baru dibuka dan belum lagi dirasmikan. Jadi untuk perasmian Tadika Perkim, mereka anjurkan hari terbuka yang dihadiri Tunku Abdul Rahman.

"Arwah ayah saya pun gunakan kesempatan ini untuk dapatkan tandatangan beliau," ujar Man ketika dihubungi mStar.

Arwah ayah saya memang minat tandatangan dari very important person (VIP) ni.

SYED AZMAN SYED ALWI

Menurut Man, Tunku Abdul Rahman adalah seorang yang berjiwa rakyat dan memberikan kerjasama yang baik ketika bapanya meminta tandatangan.

"Pada hari kejadian, 23 Ogos 1985, pukul 10:30 pagi, ayah saya pun mencuba nasib menghulurkan wang kertas kepada Tunku Abdul Rahman untuk ditandatangani.

"Dan Alhamdulillah hajat ayah saya berjaya dipenuhi. Ayah saya gembira tak terkata dan sampai ke penghujung usianya dia bercerita kat orang tentang momen tu.

"Ayah meninggal pada 22 Oktober 2016 kerana sakit tua ketika dia berumur 67 tahun, ini antara peninggalannya yang berharga dan sentimental untuk saya.

Perincian yang dicatatkan oleh bapa Man selepas mendapat tandatangan Tunku Abdul Rahman.

"Ayah mungkin dah tak ada tapi memorinya masih hidup dalam wang kertas ini," kata Man yang menetap di Kampung Melayu, Air Itam, Pulau Pinang.

Tambah Man lagi, bapanya merupakan 'pemburu' tandatangan daripada mereka yang berstatus orang kenamaan (VIP).

"Arwah ayah saya memang minat tandatangan dari very important person (VIP) ni, dia ada berbalas kad hari raya dengan beberapa Perdana Menteri Malaysia, dah jadi macam koleksi.

"Antara tandatangan yang arwah ayah ada seingat saya, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Ghafar Baba, bekas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan bekas Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Man menunjukkan wang kertas yang disimpan di dalam fail.

"Saya sampai sekarang pun masih sambung legasi arwah ayah untuk hantar kad hari raya kepada orang kenamaan, dan mereka masih balas lagi seperti di zaman arwah ayah saya," kata Man.

Bahan bersejarah seperti itu pastinya bernilai tinggi, Man tidak menafikan ada yang menawarkan kepada bapanya untuk membeli wang kertas tersebut dengan harga lumayan.

"Kawan arwah ayah pernah beritahu yang memang ada orang offer untuk beli wang kertas tu ketika dia masih hidup, tapi ditolak.

"Dan untuk saya, kalau ada orang offer nak beli untuk masa sekarang ni, saya akan tolak sebab ini adalah lebih dari sekadar produk jual beli.

"Tapi tak tahu la kalau ke depan nanti mungkin keadaan ekonomi mendesak, itu lain cerita," ujar Man menutup bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain