SETIAP rakyat di negara ini pasti mempunyai memori atau kenangan masing-masing sempena Hari Kemerdekaan. Mungkin ada yang masih ingat kenangan ketika dibawa oleh ibu bapa menonton perarakan sewaktu masih kecil, menyertai apa jua pertandingan sempena Merdeka, atau menjadi penonton setia di hadapan televisyen pada waktu pagi setiap kali tibanya 31 Ogos. Begitu juga dengan wanita ini yang akhirnya dapat merealisasikan impian untuk menonton sambutan kemerdekaan secara langsung ketika berusia 31 tahun. Mumtaz sempat berswafoto bersama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Apa yang menariknya, wanita ini mencipta satu lagi memori indah untuk dikenang sepanjang hayat apabila dapat bersalaman dan bertentang mata dengan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Berkongsi cerita dengan mStar, Mumtaz Diana Mohammed Arshad, 31, berkata dia bertolak dari Taiping, Perak ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas seorang diri demi meraikan sambutan kemerdekaan di Dataran Putrajaya, 31 Ogos lalu. "Saya bertolak pada pukul 11.30 malam pada malam sebelum sambutan dan sampai di Kuala Lumpur sekitar pukul 4 pagi. Selepas berehat seketika di hotel, saya bergerak selepas Subuh untuk menaiki tren ke Putrajaya pula. "Terlalu teruja sampai tak sempat pun nak bersarapan sebab nak sampai awal di sana. ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu pencen tolak tawaran RM5,000 jual surat khabar Malaya Merdeka cetakan 31 Ogos 1957... Salinan dokumen kemerdekaan pun ada! ARTIKEL BERKAITAN: Anak tak lupa momen bapa cuba nasib minta sign Tunku Abdul Rahman - “Sampai hujung usia ayah cerita kat orang” "Saya nekad nak hadir ke sambutan kemerdekaan peringkat kebangsaan bersama rakyat yang lain sebab tak pernah rasa. Saya teringin untuk rasai pengalaman itu. "Selama ini saya hanya menonton televisyen saja. Tapi rupa-rupanya 'vibes' dan 'feel' bila menonton secara live sangat tak terungkap... gembira bercampur sebak lebih-lebih lagi tonton persembahan wira-wira negara," ujarnya. Mumtaz turut mengabadikan kenangan dengan anggota PDRM. Sanggup berpanas dan setia menonton dari awal pagi sehingga sambutan tamat, ternyata kunjungan Mumtaz benar-benar berbaloi apabila dia menjadi antara ratusan ribu rakyat yang bertuah kerana dapat bersalaman dengan Raja Permaisuri Agong. Detik ketika dia mengalirkan air mata gembira saat tangannya disambut oleh Tunku Azizah dirakam dan dimuat naik di laman Instagram rasmi Istana Negara, sekali gus membuatkan dirinya menjadi 'terkenal' secara tidak sengaja. Ada komen 'akak India menangis sebab terharu'. Lucu pun iya juga. Tapi yang penting, kenangan tu takkan dapat dilupakan hingga akhir hayat. MUMTAZ DIANA MOHAMMED ARSHAD "Bila acara dah hampir tamat, saya nampak orang macam berebut-rebut nak ke depan. Hairan juga dan akhirnya ada beritahu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan menyantuni rakyat. "Saya yang memang dah lama teringin dan pasang niat untuk jumpa Seri Paduka Baginda secara bersemuka terus bergerak dan meminta laluan orang ramai yang berasak-asak nak ke depan. "Alhamdulillah dapat juga bersalaman dengan Tunku Azizah... saya sendiri tak sedar sampai mengalir air mata sebab terharu. Tak sangka detik itu dirakam dan dimuat naik di media sosial hingga viral. Bersama seorang rakan baharu yang ditemui ketika sambutan Hari Kemerdekaan tempoh hari. "Ramai orang komen, mereka fikir saya wanita India. Mungkin sebab raut wajah dan warna kulit. Ada komen 'akak India menangis sebab terharu'. Lucu pun ya juga. "Tapi yang penting, kenangan tu takkan dapat dilupakan hingga akhir hayat," ujarnya yang menjalankan bisnes secara dalam talian (online). Untuk rekod, video tersebut yang dimuat naik di laman Instagram Istana Negara meraih 531,000 jumlah tontonan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube