suria

Dulu budak pembantu dapur, umur 30 tahun dah bergelar Head Chef... Selia 3 restoran barat premium

Cef Haziedi mempunyai pengalaman selama 13 tahun dalam penyediaan hidangan barat.

MEMULAKAN kerjaya dalam industri makanan dan minuman (F&B) sebagai pembantu dapur (kitchen helper), pemuda ini mengakui bukan mudah untuk dia berada pada tahap sekarang.

Namun menurut Haziedi Ahmad, semuanya didorong oleh minat yang mendalam dalam bidang kulinari.

Berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang tersebut, Haziedi kini merupakan cef eksekutif di restoran yang menyajikan hidangan signatur enak udang galah dan daging premium.

"Sejak kecil saya dah ada minat dengan bidang masakan sebab selalu ikut bapa ke pasar. Disebabkan itu, saya melanjutkan pelajaran dalam bidang kulinari di universiti.

"Saya menjalani internship di sebuah restoran berkonsepkan hidangan Kelantan. Itulah saja pengalaman saya dalam masakan tempatan (local) kerana selepas itu, saya berkecimpung dalam masakan berkonsepkan western.

"Dalam tempoh itu, saya bekerja di beberapa restoran sebelum memulakan kerjaya di Kay's Steak & Lobster pada 2020. Sehingga kini, sudah 13 tahun saya berkecimpung dalam masakan western," ujarnya yang berusia 36 tahun.

Berkongsi serba ringkas perjalanan kerjayanya, Haziedi berkata dia pada mulanya bekerja sebagai seorang cef secara separuh masa.

cef 2

Lobster thermidor dan Beef Wellington antara menu signatur di Kay's Stek & Lobster.

"Sehinggalah satu ketika, saya ditawarkan untuk posisi pembantu cef. Kemudian apabila ada kekosongan jawatan Head Chef (Ketua Cef), pihak pengurusan atasan tawarkan kepada saya selepas meneliti resume memandangkan saya pernah menjawat posisi itu di restoran sebelum ini.

"Alhamdulillah, semuanya rezeki atas usaha dan pengalaman selama ini," ujarnya yang kini merupakan cef eksekutif dan berperanan menyelia tiga cawangan restoran itu.

Sepanjang berkecimpung dalam bidang masakan barat, Haziedi tidak lokek berkongsi pengalaman khususnya dalam penyediaan menu premium seperti Beef Wellington, lobster dan juga wagyu.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ini miliki hobi ‘mahal’, jejak bangkai pesawat pejuang Perang Dunia Kedua... Hampir 30 tahun keluar masuk hutan

ARTIKEL BERKAITAN: Anak yatim diberi layanan VIP, ‘big boss’ restoran awal-awal ingatkan staf ‘wajib’ hidang wagyu tomahawk dan lobster thermidor!

"Seperti yang kita tahu, hidangan Beef Wellington padanannya adalah red wine. Tetapi team kami buat research & development (R&D) selama sebulan untuk mendapatkan rasa yang sesuai.

"Kita menggunakan bahan lain iaitu grape reduction sebagai pengganti kepada red wine. Ini kerana kami sangat mementingkan konsep penyediaan makanan halalan thoiyyiban untuk memenuhi cita rasa pelanggan Islam.

"Tambahan pula, restoran ini juga dimiliki oleh orang Islam. Bukan itu sahaja, semua bahan mentah termasuk pembekal daging wagyu adalah sumber halal.

"Jadi memang usah ragu-ragu untuk menikmati hidangan di restoran tempat saya bekerja," ujarnya lagi.

Kalau minat, semua menjadi. Tak kisah makanan biasa atau premium. Tiga perkara iaitu minat, passion dan suka belajar benda baharu.

CEF HAZIEDI AHMAD

Berpengalaman hampir dua dekad dalam industri makanan dan minuman, Haziedi berkata prinsip yang dipegang selama ini membuatkan dia terus bertahan dalam lapangan tersebut.

"Bagi saya, apa pun yang kita buat kena minat. Kalau minat, semua menjadi. Tak kisah makanan biasa atau premium. Tiga perkara iaitu minat, passion dan suka belajar benda baharu," katanya.

cef 3

Cef melakukan demonstrasi memotong daging tomahawk (kiri) dan Beef Wellington.

Kay's Steak & Lobster kini mempunyai empat cawangan.

Selain Beef Wellington, restoran ini juga terkenal dengan keenakan Lobster thermidor dan tomahawk yang merupakan antara hidangan signatur bertaraf bintang daripada 30 menu utama yang disajikan.

Kelembutan dalam setiap hirisan daging tomahawk dan Beef Wellington serta isi lobster yang segar, dinikmati pula dalam restoran yang cantik dekorasi dalamannya, menjadikan ia 'hidden gem' buat pencinta daging dan lobster.

Pendek kata, pengalaman yang akan anda nikmati di restoran ini memang tidak dapat dilupakan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain