suria

Tewaskan peserta dari 16 negara, remaja Terengganu kongsi rahsia sehingga dinobat pendebat bahasa Arab terbaik dunia

Amzar merangkul gelaran Pendebat Terbaik (kategori bukan penutur jati Bahasa Arab) di Doha, Qatar, baru-baru ini.

SEPANJANG kira-kira tujuh tahun terlibat aktif dalam pertandingan debat, kejayaan yang dilakar baru-baru ini adalah kenangan termanis buat remaja ini.

Wan Amzar Izzuddin Wan Mohd Azlan, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Batu Buruk, Terengganu berjaya merangkul gelaran Pendebat Terbaik (kategori bukan penutur jati Bahasa Arab) di Kejohanan Debat Bahasa Arab Sekolah-Sekolah Antarabangsa di Doha, Qatar.

Turut cemerlang pada pertandingan yang berlangsung dari 1 hingga 6 September lalu, adalah rakan sekolahnya, Abdul Muizz Hasanulddin yang meraih gelaran pendebat kedua terbaik.

Kedua-duanya berjaya menewaskan peserta lain dari 34 negara yang mengambil bahagian.

Selain Amzar dan Abdul Muizz, turut berada dalam kumpulan pendebat negara adalah dua pelajar Maahad Pontian Johor, Daing Muhammad Hasbi Daing Armey dan Khatib Sulaiman Mustafa, yang dibimbing pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) diketuai Mohamad Ikmal Hakimi Mohamad Helni.

Kejayaan dua pendebat kategori bukan penutur jati bahasa Arab itu secara tidak langsung mengubat kekecewaan pasukan negara yang tidak berjaya ke pentas final selepas tumpas kepada pendebat Bahrain pada pusingan ketiga.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu budak pembantu dapur, umur 30 tahun dah bergelar Head Chef... Selia 3 restoran barat premium

ARTIKEL BERKAITAN: Naik bas seorang diri dari Taiping ke Putrajaya demi sambut merdeka, wanita menangis depan Tunku Azizah

"Syukur kepada Allah, atas izin-Nya saya mendapat pengiktirafan tersebut. Saya yakin ramai dalam kalangan rakyat negara kita yang bercita-cita mahu mengharumkan nama negara.

"Bila ke sana (Doha), kita ibarat orang asing yang pergi ke sebuah tempat... kita susah nak bergaul atas kekangan bahasa kerana mereka sememangnya fasih bahasa Arab kerana ia bahasa mereka.

amzar 2

Amzar (kanan) bersama rakan sepasukan dan jurulatih.

"Sedikit sebanyak rasa macam rendah diri juga. Namun atas kejayaan yang diperoleh ini, ia membuktikan semangat 'Malaysia Boleh!'," katanya kepada mStar.

Berkongsi serba sedikit mengenai kejohanan debat berkenaan, remaja yang senang disapa sebagai Amzar ini berkata, dia dan pasukannya dengan bimbingan jurulatih sudah membuat persediaan sejak Jun.

"Kami menyertai pusingan kelayakan pada Jun lalu secara dalam talian (online).

"Alhamdulillah, ketika pusingan tersebut, kami berjaya mendapat tempat pertama bagi kategori bukan penutur jati. Susulan kejayaan tersebut, kami ke Doha baru-baru ini untuk berentap dengan 16 pasukan lain dari pelbagai negara.

"Cabaran paling utama adalah kita bersaing dengan peserta yang bahasa Arab mereka 'berkepuk' contohnya dari Bahrain, Algeria, Jordan.

"Ketika mereka berdebat, kami struggle untuk memahami apa yang disampaikan sebab terlalu advance. Masa itulah kami main ramal ala-ala ahli nujum. Alhamdulillah walaupun begitu, dapat juga kami 'tangkap'," ujarnya lagi.

Saya memegang prinsip, kalau kita jadi rumput, jadilah rumput yang terbaik di bumi. Kalau jadi bintang, jadilah bintang terbaik di langit.

WAN AMZAR IZZUDIN

Mula menyertai pertandingan debat sejak berusia 11 tahun, kejohanan di Doha adalah penyertaan ketiganya di peringkat antarabangsa.

"Saya memegang prinsip, kalau kita jadi rumput, jadilah rumput yang terbaik di bumi. Kalau jadi bintang, jadilah bintang terbaik di langit.

"Buat masa ini, saya mahu fokus kepada pelajaran pula memandangkan akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Namun dalam masa sama, saya sedang membimbing junior yang akan sertai pertandingan debat bahasa Arab untuk tempoh terdekat," kata remaja yang sangat mengagumi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

amzar 3

Amzar (kiri) dan rakan sepasukan mewakili Malaysia dalam Kejohanan Debat Bahasa Arab Sekolah-Sekolah Antarabangsa di Doha, Qatar.

Amzar dalam pada itu menambah, kejayaan yang diperolehinya adalah berkat sokongan yang tidak berbelah bahagi keluarga serta pihak yang turut sama mencurah bakti demi membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada ibu bapa, guru-guru serta ustazah, pensyarah jurulatih dan rakan-rakan. Mereka inilah yang banyak memberikan tunjuk ajar.

"Tidak dilupakan entiti UIA, Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, warga sekolah dan akhirnya rakyat Malaysia yang menghujani ucapan tahniah.

"Saya berharap agar aktiviti debat diketengahkan lagi di sekolah, universiti serta ditambah baik dengan penilaian dan bimbingan kepada guru.

"Daripada aktiviti seperti ini, kita dapat melahirkan pelapis kepimpinan negara yang matang," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain