suria

Geng ‘cedok’ kongsi suka duka rakan penghantar... Wanita jadi OKU lepas kemalangan gigih buat lesen demi nak berdikari

(Dari kiri) Mohd Afie, Juliawati dan Syarifah Zuhira ketika menghadiri acara tayangan perdana #CedokLife. -Gambar Izzrafiq Alias/The Star

TIGA kisah yang berbeza, namun mereka berkongsi matlamat yang sama iaitu menjana pendapatan bagi meningkatkan ekonomi keluarga.

Dalam situasi ketika ini di mana segala-galanya memerlukan kos, pekerjaan ekonomi gig dilihat sebagai peluang yang mudah diakses, fleksibel selain mampu memberikan pendapatan yang baik.

Memilih untuk menjadi pemandu e-hailing dengan sebuah syarikat e-hailing, Grab, wanita bernama Syarifah Zuhira Said Tahir melihat pekerjaan tersebut membuka peluang untuk dia berdikari di atas kaki sendiri selepas bergelar seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) sejak 2012.

Ditimpa kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan pada tulang belakang, wanita berusia 31 tahun ini pernah berdepan dengan kemurungan.

Dia mengambil masa selama beberapa tahun sebelum bangkit membina semangat baharu dengan memilih untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing.

ARTIKEL BERKAITAN: Rugi tak ambil peluang! Wanita ini dapat sokongan suami buat part time Lalamove... kerja fleksibel siap boleh jaga anak, paling best gaji masyuk

ARTIKEL BERKAITAN: Tewaskan peserta dari 16 negara, remaja Terengganu kongsi rahsia sehingga dinobat pendebat bahasa Arab terbaik dunia

"Saya berehat dari tahun 2012 hingga 2015 akibat kemalangan tersebut. Saya pernah depresi kerana kemalangan berkenaan menyebabkan saya alami kecacatan kekal.

"Doktor mencadangkan saya mencari sesuatu benda yang boleh buat diri happy. Dalam keadaan saya, tak semua majikan boleh menerima pekerja OKU.

"Jadi selepas pulih, saya ambil keputusan untuk buat lesen memandu. Dua tahun selepas tamatnya lesen P, terus saya mendaftar untuk menjadi pemandu e-hailing dengan Grab pada 2018.

"Alhamdulillah, inilah pekerjaan saya hingga sekarang," kata wanita berasal dari Gombak, Selangor ini.

cedok 4

Syarifah Zuhira Said Tahir.

Tambah Syarifah Zuhira, pada peringkat awal mengambil keputusan untuk menjadi pemandu e-hailing, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan bimbang lebih-lebih lagi dirinya seorang wanita berstatus OKU.

"Mulanya saya takut-takut, lagi pula OKU... nanti kalau dapat penumpang pelik, macam mana nak lari? Tapi saya ketepikan semuanya... tanam keyakinan dan berdoa.

"Alhamdulillah, saya bersyukur biarpun dalam keadaan OKU, saya boleh berdikari mencari wang untuk simpanan hari tua tanpa menyusahkan keluarga.

"Hasil pendapatan yang disimpan sejak mula buat Grab lima tahun lalu, saya berjaya membina sebuah rumah di atas tanah ayah saya. Inilah pencapaian yang tertinggi untuk saya," kongsinya kepada mStar.

Dia ditemui pada acara tayangan perdana #CedokLife, hasil kolaborasi antara iQIYI dan Grab Malaysia di Sunway Pyramid, pada Selasa.

Bagi Juliawati Hashim pula, dia mengambil keputusan untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing kerana mahu membantu meningkatkan ekonomi keluarga.

"Suami bekerja dalam bidang sales. Kita tahulah, sales ni kadang banyak kadang sikit. Sebelum ini, pendapatan keluarga hanya bergantung dengan suami. Apabila sama-sama ada pendapatan, setidak-tidaknya saya boleh membantu ekonomi keluarga.

"Saya mula menjadi pemandu e-hailing pada 2018 namun ketika itu secara suka-suka sahaja. Anak-anak pula sudah besar dan saya sendiri tak betah duduk sahaja, jadi saya fikir ada baiknya bekerja.

"Saya pilih jadi pemandu Grab, pertamanya sebab suka drive, keduanya dapat jana pendapatan dan ketiganya kerana fleksibiliti. Nak kerja makan gaji, susah kerana terikat," ujar wanita berusia 52 tahun ini.

cedok 3

Juliawati Hashim.

Mula serius bekerja sebagai pemandu e-hailing sejak 2021, Juliawati yang juga ibu kepada tiga cahaya mata berkata dia tidak berdepan dengan masalah untuk membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya.

"Waktu tengah hari, saya balik untuk memasak... lihat kepada keadaan. Kemudian, saya sambung kerja pada sebelah petang.

"Dulu lama juga saya fikir sebelum ambil keputusan nak bekerja sebagai pemandu e-hailing, lebih-lebih lagi bab keselamatan kerana kita ni wanita.

"Tapi kuatkan semangat, kita yakin boleh dan fikir positif. Cuma, kena beringat. Saya bersyukur, orang kita semua baik-baik," katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.

Sementara itu, Mohd Afie Ikmal Jamal pula berkata, dia sendiri tidak menyangka niat asalnya untuk bekerja sebagai penghantar makanan (rider) Grab secara sambilan (part-time) akhirnya bertukar menjadi pekerjaan tetap demi menyara keluarga.

"Saya mula jadi rider Grab secara part-time pada 2018... waktu itu saya bekerja dengan sebuah syarikat sebagai despatch. Nak dijadikan cerita, ketika Covid-19 melanda, syarikat shut down.

"Bermulalah perjalanan baharu dalam hidup iaitu menjadi rider Grab secara sepenuh masa," ujar lelaki berusia 33 tahun ini.

Hampir empat tahun bergelar rider sepenuh masa, Mohd Afie bersyukur hasil pendapatan yang diperoleh cukup untuk menyara keluarga kecilnya di samping dia turut menikmati pelbagai faedah yang ditawarkan Grab.

cedok 2

Mohd Afie Ikmal Jamal.

"Biarpun ramai yang mungkin pandang remeh pekerjaan ini, namun saya gembira kerana dapat seimbangkan antara pekerjaan dan keluarga.

"Saya pilih menjadi rider kerana fleksibiliti. Kita ada anak, kalau kerja makan gaji, terikat masa. Dengan Grab, saya boleh tengokkan anak juga. Jadi, seimbang antara keluarga dan kerja. Masa 'cedok' pun tak ada lah penat.

"Keduanya, dapat jana income lebih. Saya kahwin pun hasil kumpul duit kerja Grab.

"Di samping itu, bagi rider Grab, kami ada insurans. Kadang kalau kerja sendiri belum tentu kita ambil insurans perubatan. Selain itu ada benefit serta insentif lain yang ditawarkan untuk rider," kata bapa kepada seorang cahaya mata berusia empat tahun ini.

Tiga kisah individu ini hanyalah secebis daripada perkongsian pengalaman golongan yang pernah didendangkan sebagai antara 'barisan hadapan' satu ketika dahulu.

Bagi memaparkan lebih mendalam kisah serta pengalaman pemandu dan rakan kongsi penghantaran Grab, platform penstriman terkemuka Asia, iQIYI bekerjasama dengan Grab Malaysia menerusi siri mini bertema Malaysia baharu, #CedokLife.

Siri ini akan disiarkan secara eksklusif di iQIYI bermula 16 September ini, bersempena dengan sambutan Hari Malaysia.

Menyorot kisah beberapa watak utama, rancangan ini memaparkan harapan dan aspirasi individu-individu ini serta menonjolkan interaksi harian dan kes penipuan yang mereka hadapi sebagai pemandu atau penghantar Grab.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain