LEBIH 15 tahun menjadi seorang penggali kubur, ternyata ia bukanlah satu tempoh yang singkat. Namun disebabkan minat serta bakti yang ingin ditabur kepada masyarakat setempat, lelaki ini memilih untuk terus bertahan selagi hayat dikandung badan. Berkongsi cerita mengenai kerjaya itu, Ramdzan Razali berkata segala-galanya bermula dengan perasaan ingin tahu sekali gus mendorongnya untuk cuba-cuba menimba ilmu daripada orang yang lebih berpengalaman. "Sebenarnya minat ini bermula sejak sekolah menengah lagi. Mula-mula ikut orang ke kubur apabila terdengar berlaku kematian. Minat dan mahu mencurah bakti adalah sebab utama Ramdzan bergelar penggali kubur. "Disebabkan selalu ikut, saya terasa nak ambil tahu. Takkan nak tengok saja. Saya ringankan mulut bertanya orang yang lebih berpengalaman. "Mungkin juga disebabkan arwah datuk, bapa dan pakcik juga pernah bergelar seorang penggali kubur, jadi ia seperti kerjaya turun-temurun. Sekarang giliran saya pula. "Dua adik lelaki pun saya 'heret' juga apabila mereka ada kelapangan waktu," ujarnya kepada mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Penggali kubur terkejut dipilih Tokoh Ma'al Hijrah, tak hadir terima anugerah bimbang sebar wabak - “Setiap hari saya pegang, peluk jenazah” ARTIKEL BERKAITAN: Jumpa pocong tak pernah, tapi kain kafan lama perkara biasa! Penggali kubur viral tak sangka jadi perhatian ketika beraya Tambah Ramdzan yang juga seorang penjual burger di kampungnya iaitu Kampung Pisang, Air Itam, Pulau Pinang, rutinnya setiap kali menerima tugasan adalah mengenal pasti lokasi tapak yang sesuai sebelum menggali kubur. "Apabila terima berita kematian, team yang incharge akan maklumkan. Kemudian saya pergi ke kubur, periksa kelengkapan perkakas dan mengenal pasti tempat untuk digali. Bersama 'team' penggali kubur yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia. "Seeloknya, kawasan tanah yang lapang. Kalau ada request daripada waris yang nak kebumi si mati berdekatan dengan ahli keluarga, kena tengok kesesuaian dahulu. Sebab takut tak ada tanah kosong... bimbang bertindan dengan mayat lain. "Yang pasti, sebelum mulakan tugas, bacaan doa memang dah jadi rutin. Saya panjatkan doa mohon Allah permudahkan tugas daripada awal sehingga akhir," ujar lelaki berusia 37 tahun ini. Belasan tahun berpengalaman sebagai penggali kubur, Ramdzan turut berkongsi kisah yang tidak dapat dilupakan olehnya sehingga kini. Ingatkan ada kayu atau papan keranda lama... apabila kuis-kuis, rupanya tengkorak orang! RAMDZAN RAZALI "Bagi penggali kubur, ternampak kain putih itu perkara normal. Ia adalah kain kafan daripada kubur bersebelahan. Tapi satu kisah ini, ketika tengah mencangkul, tiba-tiba ada air mengalir di kiri dan kanan liang. "Aliran air itu tidaklah laju... ia sekejap-sekejap keluar. Namun disertai dengan bau yang sukar untuk saya gambarkan. Pendek kata, saya tak pernah hidu bau seperti itu. "Saya hanya teruskan dan berdoa moga dilancarkan. Kalau ada benda macam ni, jangan takut atau jangan lari. Mungkin Allah nak uji. "Kisah kedua, mata cangkul saya tersangkut. Ingatkan ada kayu atau papan keranda lama. Bila kuis-kuis, rupanya tengkorak orang. Tergamam kejap. "Selain itu, saya sangat tersentuh kalau gali kubur untuk bayi. Pernah satu ketika, dua bayi meninggal dunia pada hari yang sama. Perasaan saya sukar digambarkan kalau libatkan jenazah bayi... sedihnya lain macam sebab kita tahu, tempatnya pasti di syurga," ujar bapa kepada dua orang anak ini. Bekerja sendiri sebagai penjual burger memudahkan Ramdzan memperuntukkan masa untuk tugas menggali kubur. Dalam pada itu, Ramdzan sempat menitipkan pesanan khususnya buat generasi muda agar memanfaatkan masa lapang dengan menimba ilmu berkaitan pengurusan jenzah mahupun mencari pengalaman sebagai penggali kubur. "Satunya, ia secara tidak langsung menginsafkan dan membuatkan kita berfikir mengenai mati. Keduanya, sedikit sebanyak kita boleh menjadi pelapis untuk generasi yang sudah tua. "Ilmu yang kita dapat, nanti kita perturun pula dekat anak atau adik-adik. Tak rugi pun belajar perkara yang bermanfaat," akhirinya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube