suria

‘Tembak’ api pada badan pesakit, padam guna tangan! Wanita kongsi kaedah terapi bakar... Ramai seriau, tak percaya fungsi rawatan

Saidah sedang melakukan rawatan terapi bakar pada pesakitnya.

PERNAH mengalami masalah kesihatan berkaitan kerohanian untuk tempoh yang lama, siapa sangka ia adalah asbab untuk wanita ini terjebak dalam bidang rawatan alternatif.

Menurut Saidah Ahmad, dia tergerak hati untuk mencuba kaedah rawatan secara alternatif selepas disarankan oleh seorang rakan,

"Saya ada masalah dalaman berkaitan gangguan emosi, jiwa tak tenang serta gangguan fikiran sehingga menjejaskan kehidupan seharian.

"Sudah pergi berubat kaedah lain di samping mendekatkan diri dengan Tuhan, tapi seperti tidak juga sembuh. Akhirnya saya cuba saranan kawan agar cuba rawatan alternatif yang menjurus kepada energi kesihatan," ujar wanita berusia 53 tahun ini.

Pulih daripada penyakitnya, Saidah berkata dia sama sekali tidak terfikir untuk bergelar perawat namun galakan dan sokongan daripada guru membuatkan fikirannya berubah.

bakar 3

Rawatan terapi bakar dikatakan bertujuan untuk mencairkan darah beku dan menghancurkan kekuatan negatif.

"Saya pernah berada di dalam situasi yang sebegitu... jadi saya terbuka hati untuk membantu lebih ramai orang.

"Kadang kala penyakit-penyakit yang wujud seperti darah tinggi, gangguan mental dan sebagainya berkaitan dengan dalaman kita.

"Sebab itu apabila pergi dapatkan rawatan ke sana, ke sini namun masih juga sakit. Ia adalah berkaitan jasmani, rohani dan mental," katanya yang menetap di Taman Daya, Johor Bahru.

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri air berbau aneh dalam liang lahad, mengalir perlahan... Penggali kubur tenang teruskan tugas - “Mungkin Allah nak uji”

ARTIKEL BERKAITAN: Geng ‘cedok’ kongsi suka duka rakan penghantar... Wanita jadi OKU lepas kemalangan gigih buat lesen demi nak berdikari

Bergelar perawat alternatif sejak hampir lima tahun lalu, kaedah rawatan yang dilakukan Saidah terhadap pesakitnya agak unik.

Salah satu kaedah rawatan dalam pakej yang ditawarkan adalah terapi bakar, di mana api dinyalakan di atas tuala kecil pada bahagian anggota tubuh pesakit.

Dia kemudian akan menepuk api tersebut menggunakan tapak tangan, seolah-olah 'menyalurkan' energi ke dalam tubuh pesakit.

Saya sedar ada kata-kata kurang enak mengenai rawatan ini. Bagi saya, mereka yang 'condemn' ini jangan cepat berburuk sangka, tapi cuba dahulu.

SAIDAH AHMAD

PERAWAT RAWATAN ALTERNATIF

"Terapi bakar adalah untuk mencairkan darah beku, menghancurkan kekuatan negatif makhluk halus yang bersarang dalam sel-sel penyakit, melancarkan peredaran darah, menghidupkan kembali sel-sel darah yang tidak berfungsi agar ia aktif kembali.

"Apabila energi kotor dihancurkan, darah beku mencair maka aliran darah mulai aktif dan lancar, penyakit berkurangan sekali gus tubuh semakin sihat.

"Biasanya saya akan mencadangkan pesakit ambil pakej. Bermula dengan mandi atom untuk bersihkan energi negatif, terapi bakar untuk hancurkan kekuatan negatif makhluk halus, terapi bekam untuk sedut sel penyakit, diakhiri dengan hipno terapi untuk upgrage kesedaran spiritual.

"Rawatan ini boleh untuk mereka yang menghidap gangguan mental, penyakit saraf, kanser dan sebagainya. Insya-Allah, pesakit akan merasai perubahannya," ujar ibu kepada lima cahaya mata ini lagi.

bakar 1

Rawatan terapi bekam turut termasuk dalam pakej rawatan Saidah.

Banyak berkongsi video di TikTok, Saidah berkata ia bertujuan untuk menyebarkan mengenai kaedah rawatan yang dilakukannya memandangkan masih ramai yang tidak tahu mengenainya.

"Dah nak dekat lima tahun saya buat rawatan ini. Namun hanya akhir-akhir ini barulah mendapat perhatian ramai apabila video meraih jumlah tontonan yang banyak.

"Alhamdulillah, ramai yang nak cuba kaedah rawatan ini sehingga mesej bertalu-talu masuk. Tapi saya terpaksa hadkan sebab hanya saya seorang yang jadi perawat, malah masih melakukan rawatan di rumah sahaja.

"Dalam pada itu, saya sedar ada kata-kata kurang enak mengenai rawatan ini. Bagi saya, mereka yang 'condemn' ini jangan cepat berburuk sangka, tapi cuba dahulu,"akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain