suria

Selesa cakap Kedah, TikToker staf ‘gomen’ ini tak sangka ‘content’ ulas filem boleh dapat duit! Siap berangan nak berlakon komedi

Azmir merupakan content creator yang sering membincangkan filem dalam dan luar negara.

SAMA seperti kebanyakan pencipta kandungan yang lain, Azmir Akmar Sobry mula membabitkan diri dalam bidang ini ketika pandemik Covid-19 melanda negara tiga tahun lalu.

Azmir, 31, kini mempunyai hampir setengah juta pengikut di TikTok atas kesungguhannya berkongsi pelbagai maklumat tentang karya-karya filem dari dalam dan luar negara.

"Kebanyakan content creator cakap Covid-19 jadi punca, saya salah seorang yang terkesan dengan Covid-19. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya ada banyak masa terluang di rumah.

azmir4

Azmir berasal dari Kedah dan kini bekerja sebagai penjawat awam di negeri kelahirannya.

"Saya pula memang suka tonton movie. Saya tengok ada seorang TikToker luar negara buat perkongsian tentang filem di TikTok. Cara penyampaiannya sangat menarik. Di situ saya dapat idea untuk buat perkara sama.

"Video pertama biasa-biasa saja. Namun video kedua dan ketiga saya blow up di TikTok. Selepas dapat feedback yang positif daripada netizen, saya rasa tak salah untuk saya teruskan," ujar Azmir kepada mStar.

Bukan pengkritik filem

Penjawat awam yang menetap di Jitra, Kedah itu turut memberi penjelasan bahawa dia bukanlah seorang pengkritik filem, sebagaimana yang disangka kebanyakan orang.

Menurut Azmir, istilah itu kurang tepat memandangkan dia hanya berkongsi maklumat tentang sesebuah karya serta memberi markah mengikut cita rasa sendiri sahaja.

"Saya bukan pembikin filem atau orang dalam bidang seni. Saya juga bukan pengkritik filem. Saya tak kritik karya dan bercerita secara detail. Saya hanya kongsi tentang jalan cerita dan pelakonnya sahaja.

"Saya akan beri rating ikut kriteria pemarkahan saya sendiri. Jadi kalau ada yang tak dapat terima, saya faham selera mereka. Selera setiap orang itu sangat subjektif. Sama juga dengan selera makan manusia yang berbeza-beza," ujarnya lagi.

Meskipun wujud ramai pencipta kandungan yang lain, nama Azmir tetap diingati ramai kerana dia lebih gemar berceloteh menggunakan dielek Kedah.

azmir2

Kesungguhan Azmir membuat content membawa pulangan rezeki buatnya.

Azmir juga pernah mendapat teguran tentang gaya penyampaiannya yang tidak difahami segelintir individu, namun dia tetap berkeras untuk mengekalkan identiti yang menebal dalam jiwanya itu.

"Awal-awal dulu ada orang mengadu mereka tak faham apa saya cakap. Mereka suruh letak sari kata atau bercakap bahasa Melayu baku. Tapi saya mahu bawa budaya negeri saya.

"Dalam 10 orang, ada seorang la yang cakap tak faham. Tapi ramai juga yang puji, mereka seronok dengar saya cakap Kedah. Lama kelamaan benda tu dah tak jadi satu masalah. Alhamdulillah, penerimaan makin lama makin baik," ceritanya lagi.

Rezeki bertambah

Semakin dikenali ramai, rezeki Azmir juga semakin luas sehingga namanya mula meniti di bibir-bibir orang industri.

Menurut Azmir, dia bersyukur dengan peluang yang diberi, sekali gus membuatkan dia terus bersemangat untuk meneruskan usaha yang dimulakan sejak PKP itu.

"Kalau ikutkan, saya hanya buat video untuk isi masa lapang. Alhamdulillah, selain pengikut yang semakin meningkat, saya juga dapat perhatian pihak produksi. Jika mereka ada keluarkan karya baharu, saya diberi peluang untuk tonton tayangan awal.

azmir3

Azmir pasang cita-cita untuk bergelar pelakon suatu hari nanti.

"Mereka juga minta saya war-warkan kepada orang ramai tentang filem yang baru diterbitkan. Saya tak pernah menyangka dapat rezeki macam ni. Saya hanyalah penjawat awam yang guna TikTok untuk buat content.

"Ia mengubah 360 darjah daripada segi rezeki saya. Pendapatan tu, Alhamdulillah saya boleh cakap. Produksi filem tempatan kita sanggup melabur untuk seseorang bercakap tentang filem mereka," ujarnya lagi.

Impian ceburi bidang seni

Dalam temu bual sama, Azmir turut meluahkan hasrat untuk berkecimpung dalam dunia seni sekiranya dia mendapat tawaran bertepatan pada masa akan datang.

Jelas Azmir, dia teringin untuk berlakon dalam karya bergenre komedi yang dilihat jauh berbeza dengan kerjaya hakikinya yang serius.

"Kalau ada peluang, saya juga nak cuba jadi pelakon. Tapi setakat ini belum ada orang panggil. Saya bekerja dalam bidang yang serius, jadi kalau dapat peluang untuk berlakon, saya nak bawa watak ringan dan penuh dengan jenaka.

"Teringin nak bekerjasama dengan pelawak, masuk tempat yang gelak-gelak. Kalau tak jadi pelakon, cuba jadi kru produksi pun saya okey. Tak salah nak bercita-cita, saya sekadar nak cuba," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain