MENJADI impian setiap yang bergelar umat Islam untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Tidak terkecuali buat dua lelaki ini yang sudah lama menyimpan cita-cita untuk menunaikan rukun Islam kelima itu. Kisah Mohamad Al Bukhari Ellia, 26, dan Mohamad Azizul Abdullah, 34, yang cuba merealisasikan impian mereka mengundang perhatian warga maya kerana memilih untuk mengembara ke Tanah Suci dengan berjalan kaki. ARTIKEL BERKAITAN: Jutawan kaki perempuan Danny Lambo peluk Islam selepas kejadian sesat di Jeddah, menangis depan Kaabah Berkongsi dengan mStar, Al Bukhari dan Azizul yang mempunyai talian persaudaraan berkata, hasrat untuk mengembara ke Tanah Suci dengan berjalan kaki itu tercetus sejak tiga tahun lalu. "Namun disebabkan kekangan-kekangan tertentu, pada tahun ketiga inilah rezeki untuk mengembara tercapai. Alhamdulillah, hari ini (3 Disember) adalah hari ketiga misi kami," ujar Al Bukhari. Penduduk kampung beramai-ramai mengiringi 'pelepasan' Al Bukhari dan Azizul ke Tanah Suci. Dua bersaudara itu yang memulakan pengembaraan pada Ahad lalu dari Kampung Changkat Lobak, Bagan Serai, Perak menambah, mereka sudah membuat pelbagai persediaan sejak 2022 sebagai persiapan untuk menjayakan misi berkenaan. "Persediaan yang dilakukan adalah daripada segi fizikal dan mental. Antaranya, kami berjalan kaki dari Kampung Changkat Lobak ke Cameron Highlands yang mempunyai jarak kira-kira 200 kilometer (km). "Selain itu, kami banyakkan latihan fitness seperti berjoging dan mendaki (hiking). Latihan-latihan ini dilakukan secara konsisten. "Satu lagi persediaan penting, kami juga buat research mengenai laluan yang bakal diambil, cuaca dan sebagainya. Kami banyak bertanya kepada orang yang berpengalaman mengembara secara berbasikal dan berjalan kaki," ujar Azizul yang merupakan seorang penternak ayam kampung. Menurut Azizul lagi, mereka menyasarkan untuk tiba di Riyadh, Arab Saudi ketika Ramadan sekali gus meraikan Aidilfitri di negara berkenaan. Mudahan kisah kami ini diambil sebagai ibrah untuk mengajar erti pengorbanan, kasih sayang, kegigihan, erti persahabatan dan nilai-nilai murni lain. MOHAMAD AL BUKHARI "Pengembaraan ini bukan direct berjalan kaki. Kami akan meneruskan berjalan kaki hingga ke Bangkok, sebelum menaiki penerbangan ke India. Dari India, kami menyambung pengembaraan dengan berjalan kaki semula ke Arab Saudi. "InsyaAllah, kami menyasarkan untuk melakukan perjalanan antara 30km hingga 50km sehari. "Kami lazimnya akan berhenti berehat untuk solat dan jika cuaca tidak mengizinkan. Segala-galanya bergantung kepada cuaca. Alhamdulillah, setakat ini, kesihatan kami dalam keadaan yang baik," ujarnya. Berjalan kaki ke Cameron Highlands dan Genting Highlands sebagai latihan sebelum memulakan misi pengembaraan ke Tanah Suci. Dalam pada itu Al Bukhari yang merupakan peniaga dalam talian meluahkan rasa terharu dengan sokongan padu yang bukan sahaja diterima daripada keluarga, malah rakyat Malaysia. "Apabila kami kongsikan pengembaraan ini di TikTok, terlalu banyak doa dan kata-kata semangat daripada warga maya. Begitu juga ketika terserempak dengan kami ketika dalam perjalanan. "Kami juga terharu dapat undangan daripada Pak Mat Western yang mahu sama-sama meraikan. Alhamdulillah, jutaan terima kasih buat keluarga, saudara mara, orang kampung, dan semua yang tak putus-putus memberikan semangat. "Apa yang diharapkan, mudahan kisah kami ini diambil sebagai ibrah untuk mengajar erti pengorbanan, kasih sayang, kegigihan, erti persahabatan dan nilai-nilai murni yang lain. "Tak lupa, moga doakan misi Haji 2025 kami ini tercapai," akhiri Al Bukhari. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube