APABILA seharian berpuasa, boleh dikatakan semua makanan yang terhidang di depan mata nampak sedap dan mengiurkan. Tapi sebenarnya, ketika berpuasa inilah kita perlu lebih berhati-hati memilih makanan ketika bersahur dan berbuka puasa kerana ia boleh memberi kesan kepada tubuh badan. Bagi penggemar makanan pedas, ia bukan sahaja menambah selera tapi memberi rasa berbeza kepada makanan. ARTIKEL BERKAITAN: Puasa tapi berat badan tetap naik... ini sebabnya! Malah kajian turut mendapati kandungan capsaicin pada cili dapat meningkatkan tenaga yang dikeluarkan tubuh dan mampu mengurangkan berat badan. Bagaimanapun, ketika berpuasa, makanan pedas ketika waktu sahur mahupun berbuka perlu dielakkan. Ini kerana saluran pencernaan ketika kita berpuasa sangat sensitif dengan makanan pedas. Ini termasuklah gangguan pencernaan seperti sembelit, cirit birit dan sebagainya. Terdapat beberapa masalah lain boleh timbul sekiranya anda mengambil makanan pedas di bulan puasa termasuk; 1. Cepat rasa haus Seperti makanan yang tinggi kandungan garam, pedas juga boleh membuatkan anda mudah berasa haus. Ini kerana sensasi pedas pada lidah mendorong anda minum lebih banyak air dan menyebabkan suhu tubuh meningkat terutamanya jika menjamah hidangan pedas ketika sahur. Apa yang berlaku? Keadaan itu akan menyebabkan anda lebih mudah berpeluh. Akibatnya, kandungan air dalam badan akan berkurangan dan boleh menyebabkan rasa haus. 2. Menyebabkan sakit perut Pengambilan makanan pedas ketika sahur dan berbuka puasa boleh menyebabkan sakit perut atau rasa panas dalam perut. Perkara ini terjadi sekiranya sesuatu hidangan yang anda jamah terlalu pedas. Faham-faham sahaja, apabila sudah sakit perut dan berulang-alik ke tandas memang membuatkan anda rasa penat dan lemah. Jika berlarutan, barangkali anda terpaksa berbuka puasa kerana perlu mengambil ubat. 3. Meningkatkan risiko gastrik Gastrik adalah radang pada bahagian dalam dinding perut. Ia berlaku disebabkan oleh jangkitan bakteria tetapi ia boleh berlaku disebabkan tabiat makan makanan pedas. Kandungan capsaicin pada rasa pedas itu menyebabkan kerengsaan pada dinding perut. Apatah lagi ketika perut kosong dan anda menjamah makanan pedas. Dinding perut boleh menipis disebabkan rembesan asid perut sehingga menyebabkan keradangan. Jika dibiarkan, dinding perut boleh luka. 4. Kerap buang air besar Tabiat makan pedas ketika sahur dan berbuka puasa juga berisiko menyebabkan anda lebih kerap membuang air besar. Situasi itu berlaku apabila kandungan capsaicin dapat memicu usus kecil sehingga membuat perut berasa memulas. Capsaicin ini juga mengaktifkan reseptor pada tubuh sehingga menyebabkan makanan bergerak ke usus besar dengan lebih cepat. Apabila kerap membuang air besar badan akan kehilangan cecair dengan lebih cepat dan keadaan ini boleh menyebabkan anda mengalami dehidrasi yang bukan sahaja melemahkan badan tetapi membuatkan anda cepat dahaga.