TIDAK dinafikan kehadiran haiwan peliharaan seperti kucing di rumah membuatkan kita berasa selesa terutamanya pada situasi sukar seperti sekarang. Mana tidaknya, sudah lebih sebulan kita duduk di rumah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu bagi mengekang penularan Covid-19. ARTIKEL BERKAITAN: PKP boleh jadi masa terbaik kenali haiwan peliharaan anda, ketahui caranya Memandangkan tempoh PKP dilanjutkan sehingga 12 Mei ini dan tidak mustahil ia berlarutan lebih lama, ramai mula berkira-kira untuk membela kucing sebagai peneman di rumah. Hendak pula golongan bujang yang tinggal seorang diri - kononnya sebagai teman kesunyian ketika Covid-19. Wajarkah membela kucing hanya sebagai teman di kala bosan? Pakar kesihatan haiwan mengingatkan agar individu yang tinggal seorang diri dan terfikir untuk membela haiwan sebagai jalan keluar daripada rasa sunyi agar tidak berbuat demikian. Melainkan jika seseorang itu benar-benar mampu dan bersedia untuk memikul tanggungjawab jangka panjang kerana memelihara haiwan adalah komitmen besar. Tanggungjawab membela kucing sangat besar. Sekiranya anda tidak terfikir untuk membela kucing buat selama-lamanya, anda dinasihatkan agar tidak membela haiwan ketika ini. "Apa akan jadi selepas tempoh berkurung tamat? Anda lepaskan tanggungjawab menjaga dan buang ia ke tepi jalan? "Haiwan bukan 'benda' untuk disimpan ketika anda bosan tetapi ia juga makhluk hidup yang perlu anda bertanggungjawab apabila membawanya pulang ke rumah," kata Hester Pommerening yang juga aktivis kebajikan haiwan. Sebaik-baiknya kata Hester, tunggu sehingga perintah kawalan pergerakan sebelum membuat keputusan membela haiwan di rumah. Ini kerana apabila kehidupan kembali kepada rutin normal, barulah kita boleh membuat pertimbangan wajar agar tidak menganiaya haiwan tersebut. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mstar!