suria

Apa harus anda lakukan jika bakal hadiri temuduga secara sidang video? Ikuti 7 tip ini

Menghadiri temuduga secara dalam talian cara paling selamat ketika penularan wabak Covid-19.

SEMENJAK penularan wabak Covid-19, banyak aktiviti yang tidak dapat dilakukan secara bersemuka termasuklah temuduga kerja dan disebabkan itu juga banyak syarikat mengambil pendekatan berbeza bagi menemuduga calon secara maya.

Situasi itu mungkin luar biasa dan bagi yang pertama kali bakal menjalani temuduga secara dalam talian, berikut ada beberapa tip yang boleh digunakan bagi memastikan kita berada dalam keadaan bersedia.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak salah nak shopping online, tapi sebaik-baiknya elak beli 5 barang ini!

1. Talian internet

Pastikan talian Internet anda berada dalam keadaan baik untuk mengelakkan gangguan ketika temuduga berlangsung. Jika berkesempatan, lakukan panggilan latihan dengan teman atau keluarga bagi memeriksa kualiti audio dan visual.

2. Lokasi

Pilih tempat yang tenang dan jauh daripada gangguan. Sebaik-baiknya, elak latar dinding berwarna putih, tetapi pilih tempat yang ideal dan membolehkan bakal majikan memberi fokus kepada anda ketika sesi tersebut.

"Cuba tengok pemilihan latar belakang oleh YouTubers kegemaran anda? Sebahagian besar daripada mereka memilih latar belakang menyenangkan seperti terdapat tumbuhan hijau atau bilik tidur yang bersih dan teratur selain pencahayaan terang," kata ejen pengambilan kerja, Deana Zafir.

3. Pemilihan pakaian

Harus diingat, temuduga secara sidang video masih proses profesional, jadi kita perlu berpakaian kemas dan elakkan memilih gaya kasual.

Bagaimanapun, tidak perlu berpakaian terlalu 'over' dan cukup sekadar kemas, memakai solekan ringkas (untuk wanita) dan tampil yakin.

4. Tepati waktu

Bagi mengelakkan sebarang masalah dan kelewatan, pastikan anda mulakan sidang video 10 minit lebih awal. Ia bukan sahaja tanda menepati waktu tetapi hormat kepada bakal majikan anda.

5. Jangan mencelah

Perbualan secara sidang video mungkin akan mengalami tertunda dan sebaik-baiknya anda tunggu sehingga penemuduga benar-benar menghabiskan soalan sebelum menjawab.

Jangan mencelah jika tidak pasti dan mendengar dengan teliti dan hemat setiap maklumat diberikan sebelum bertanya sebarang soalan.

6. Jangan gelisah

Temuduga secara dalam talian boleh jadi pengalaman menakutkan - tapi sebaik-baiknya jangan tunjukkan perasaan gelisah atau tidak selesa kerana setiap ekspresi anda dapat dilihat dengan jelas.

Tenang dan sentiasa pastikan anda melakukan 'eye contact' dengan penemuduga selain duduk tegak.

7. Pertanyaan penutup

Akhiri temuduga itu dengan mengucapkan terima kasih kepada penemuduga atas kesudiaan mereka meluangkan masa bersama anda. Pastikan ia ringkas dan tidak meleret selain selitkan sentuhan peribadi kepada ucapan anda bagi memberikan tanggapan baik kepada mereka.

Tentunya senarai tip ini dapat memberi keyakinan kepada anda untuk berdepan situasi itu nanti. Good Luck!

Baru-baru ini bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan keputusan untuk membenarkan temuduga bersemuka tetapi prosedur standard operasi (SOP) masih dirangka dan belum diumumkan untuk dipatuhi semua pihak.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain