MERAKAM gambar menggunakan kamera sudah menjadi perkara biasa dalam seni fotografi, namun jika menggunakan dron ia pastinya beri kelainan tersendiri. Hobi merakam gambar menggunakan dron mungkin dianggap mewah bagi segelintir orang, hakikatnya ia boleh memberi pendapatan sampingan jika hasil yang dirakam itu lain daripada kamera yang sering digunakan. Ia telah dibuktikan oleh Nazarizal Mohammad apabila hobinya ini mampu pergi jauh, malah menjadi tumpuan dalam kalangan penggemar dron lain sehingga ke peringkat antarabangsa.ARTIKEL BERKAITAN: Dari potret sulaman ke kulit buku, lakaran 'rare' pereka grafik diterima penggemar buku Fixi Sekadar hobi Menurut Nazarizal atau lebih mesra disapa Heri, dia menjadikan bidang fotografi menggunakan dron ini sekadar hobi sahaja. "Saya suka melihat pemandangan keseluruhan dari atas di sekitar Kuala Lumpur sekaligus dapat mempromosikan pelancongan Malaysia di mata dunia. "Namun saya tidak menduga ia mula menjadi perhatian peminat fotografi lain di seluruh dunia. Rakaman menggunakan dron di Kuala Lumpur. Foto kredit: Instagram Nazahery "Bermula dari situ saya mula mengumpul wang menambah koleksi dron dari bersaiz kecil hingga besar. Setakat ini saya mempunyai empat dron "Kos keseluruhannya lebih kurang RM25,000. Tetapi pelaburan saya membeli peralatan dron itu tidak sia-sia apabila ramai yang berminat dan membelinya. "Kebanyakkannya adalah pembeli dari luar negara. Manakala rakaman paling popular adalah di Menara Berkembar Petronas dan KLCC," ujarnya kepada mStar. Rakaman di Bukit Kodiang, Kedah. Foto kredit: Instagram Nazahery Pengiktirafan Menurut jurutera berusia 41 tahun ini, hobinya itu tidak sia-sia memandangkan turut mendapat pengiktirafan daripada dron pilot dunia. Malah dia juga turut terpilih antara 20 juruterbang dron terbaik dunia pada tahun 2018 dan 2019. "Saya tidak meletak had dalam hobi ini dan turut menjadi moderator untuk DJIMalayasia. Sekinchan, Selangor. Foto kredit: Instagram Nazahery "Selain itu, dengan hobi sampingan ini juga saya terlibat dengan pelbagai program pelancongan Malaysia," ujarnya. Prancangan masa depan Menurut Heri, dia merancang untuk mengadakan bengkel akademi pengendalian dron bagi berkongsi minat dengan orang lain. "Bengkel ini akan memberi peluang peserta berkongsi idea dari segi suntingan fotografi, pengendalian dan sebagainya. Antara koleksi rakaman Heri. Foto kredit: Instagram Nazahery "Saya tahu ramai yang berminat dengan hobi ini, namun masih ada stigma bahawa ianya 'hobi mahal'. Mungkin ia memerlukan modal yang agak besar, lebih kurang RM1,000 hingga RM1,500 untuk mendapatkan dron kecil buat permulaan. "Kita bermula dari bawah, dan jika ada minat hobi ini boleh dikembangkan sebagai kerjaya," katanya yang sering mendapat jemputan ke luar negara untuk bekerjasama dalam bidang yang diminati ramai itu.Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!