suria

Hias pokok hidup dalam rumah memang cantik, tapi awas... beri perhatian 4 tanda ini

Pokok juga seperti manusia, ia memerlukan makanan, penjagaan dan perhatian.

SEJAK kebelakangan ini, ramai di antara kita yang cukup 'gilakan' pokok hiasan hijau untuk menyerikan ruang dalam rumah seperti daun pokok pisang, skybird, monstera, fiddle leaf fig dan lidah jin.

Tapi berapa ramai sebenarnya yang betul-betul menjaga pokok yang dibeli? Atau sekadar mengikut trend semasa agar tidak ketinggalan.

ARTIKEL BERKAITAN: Musim pokok lidah jin... tapi awas ada sebab anak kecil, haiwan peliharaan tak boleh dekat!

Seperti makhluk bernyawa yang lainnya, tanaman juga mempunyai 'bahasa' tersendiri untuk memberitahu keperluan mereka termasuklah apabila ia sakit.

Beberapa tanda berikut boleh dijadikan panduan terutamanya buat mereka yang baharu berjinak-jinak membela pokok.

1. Tumbuh tinggi dan kurus

Kita pasti seronok melihat tanaman yang tumbuh tinggi, namun keadaan itu bukannya sentiasa bermaksud ia sihat tetapi ia cuba memberitahu sesuatu kepada anda.

Apatah lagi jika ia kurus dan tidak rata - Anda perlu lakukan sesuatu kepada tanaman anda.

Lazimnya situasi itu disebabkan tanaman anda tidak mendapat pancaran matahari yang mencukupi dan ia menjadi kurus disebabkan kurang nutrisi.

Demi mencari pancaran matahari, ia lebih cenderung untuk tumbuh lebih tinggi.

2. Tidak berbunga

Apabila menaman sesuatu pokok, pasti kita akan ternanti-nantikan ia berbunga tapi malangnya ia langsung tidak menunjukkan tanda-tanda akan berbunga.

Ini mungkin disebabkan ketidakseimbangan nitrogen. Sebaiknya, kurangkan penggunaan baja yang mengandungi nitrogen dan cukup sekadar sebulan sekali.

Letakkan ia ditempat yang lebih banyak sinaran matahari.

3. Daun bertukar menjadi kuning

Ia tanda tanaman anda memerlukan perhatian dan kasih sayang yang lebih. Ia boleh disebabkan anda menyiramnya terlalu kerap dan akar yang membusuk.

Sebaiknya, tetapkan jadual dan rutin menyiram pokok. Sebelum siram, semak kelembapan tanah.

4. Daun kering

Daun pokok yang kering sehingga bertukar warna cokelat adalah tanda ia mendapat pancaran matahari berlebihan. Sebaiknya, pindahkan tanaman ke tempat yang teduh dan pastikan ia mendapat cukup air.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Pokok, Tanaman, Baja, Matahari

Artikel Lain