suria

Cerita rakan Grab musim pandemik... kena rajin kerja, baru boleh buat duit

Bagi mereka yang rajin berusaha, Grab boleh menjadi sumber pendapatan.

SERANGAN pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak awal tahun lalu telah meninggalkan kesan yang cukup besar dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia.

Paling ketara, sudah tentunya ramai dilaporkan telah kehilangan pekerjaan apabila syarikat yang menjadi tempat bergantung kebanyakannya kini sudah gulung tikar.

Dalam keadaan serba kusut memikirkan apakah peluang pekerjaan yang boleh dilakukan untuk kembali bernafas seperti biasa, perkhidmatan e-hailing dan ekonomi gig dilihat mampu memberikan pendapatan lumayan sekiranya anda bijak meraih peluang tersebut.

Antara pekerjaan yang 'laku keras' di kala ini sudah tentunya perkhidmatan penghantaran makanan GrabFood yang juga diiktiraf sebagai petugas barisan hadapan.

Bukan calang-calang apabila ada di antara rakan penghantar (GrabFood Delivery Rider) mampu menjana pendapatan bersih lebih RM7,000 sebulan!

Semua itu pastinya bukan mustahil jika berbekalkan dengan azam yang kuat.



Fakhrullah terharu dengan 'bonding' rapat di antara rider GrabFood Delivery.

Sebagai contoh, rakan penghantar, Muhammad Fakhrullah Harizz Masnawi, 26, cukup menghargai pekerjaan yang dilakukannya kini. Pada mulanya dia hanya menjadi seorang rakan penghantar sebagai pendapatan sampingan sementara bekerja sebagai CAD designer di sebuah syarikat minyak dan gas.

“Selepas kontrak kerja saya tidak disambung bila PKP dilaksanakan, saya ambil keputusan untuk meneruskan pekerjaan sebagai rakan penghantar Grab secara sepenuh masa supaya tetap dapat menjana pendapatan dalam tempoh yang sukar ini, ” katanya.

Menurut Fakhrullah, kepuasan sepanjang menggalas tugas sebagai rakan penghantar GrabFood berbayar apabila melihat 'slip gaji' pada setiap bulan yang mampu mencecah angka lumayan.

"Pendapatan purata saya setiap bulan boleh mencecah antara RM3,000 hingga RM4,000. Malah yang paling tinggi saya pernah dapat sebanyak RM6,000 hingga RM7,000 sebelum PKP dilaksanakan pada bulan Mac tahun lalu.

"Saya tahu ramai yang terkesan dengan pandemik Covid-19, jadi saya ingin mengalu-alukan semua untuk mencuba menjadi penghantar makanan Grab sebagai salah satu cara untuk menjana pendapatan.

"Kepada yang baru nak mula, pertama sekali yang ingin saya nasihatkan ialah kita kena sentiasa utamakan keselamatan diri dalam menjalankan tugas, itu yang paling penting," katanya.

Pendapatan purata saya setiap bulan boleh mencecah antara RM3,000 hingga RM4,000. Malah yang paling tinggi saya pernah dapat sebanyak RM6,000 hingga RM7,000 sebelum PKP dilaksanakan pada bulan Mac tahun lalu.

MUHAMMAD FAKHRULLAH HARIZZ MASNAWI

RAKAN PENGHANTAR GRABFOOD DELIVERY

Menceritakan lebih lanjut cabaran yang pernah dihadapinya sepanjang menjadi rakan penghantar, Fakhrullah mengakui pernah berhadapan dengan insiden mencemaskan, namun dia sangat berterima kasih di atas pertolongan sesama rider yang diberikan terhadapnya.

"Bonding di antara kami kuat walaupun tak kenal rapat. Pernah sebelum ini, semasa buat penghantaran tiba-tiba rantai motor saya terputus, mujur ada rider yang sudi menolong.

"Kalau ada rider yang terlibat kemalangan, kami akan segera bantu sebaik mendapat maklumat yang disebarkan menerusi WhatsApp Group.

"Tak kira kenal atau tidak, bila seseorang rider ada masalah mesti kami akan cuba bantu yang mana boleh," katanya.

Selain itu, Fakhrullah turut menambah yang dia pernah diuji menghantar makanan ke tempat sunyi, tanpa lampu jalan namun bersyukur tiada perkara buruk berlaku sepanjang perjalanan tersebut.

"Dalam banyak-banyak cabaran tu, yang paling buat saya risau kalau terlibat kemalangan, tapi Alhamdulillah saya tak pernah lagi berdepan sebarang malapetaka," katanya.

Eric rela melepaskan jawatan bergaji besar demi melakukan kerja yang kurang tekanan.

Sepanjang tempoh pandemik ini juga, Fakhrullah dan rider yang lain turut mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang cukup ketat antaranya tidak berhubung secara langsung dengan pelanggan.

"Masa Covid ini, saya dan rider yang lain memang amalkan contactless delivery mengikut saranan SOP yang ketat," ujarnya yang mengakui berasa berbesar hati dengan gelaran Abang Grab yang diberikan pelanggan kepadanya.

Jika Fakhrullah seronok digelar 'Abang Grab', berlainan pula kisah lelaki berusia 53 tahun ini yang pernah memegang jawatan tinggi dalam sebuah syarikat korporat tetapi akhirnya merasakan kepuasan selepas melepaskan jawatannya untuk menjadi pemandu Grab.

Eric Siao Kok Wah, mengambil keputusan drastik meletakkan jawatan sebagai ketua jabatan di sebuah syarikat besar bagi mendapatkan keseimbangan dalam kehidupannya.

Eric yang berasal dari Ipoh, Perak dengan rela hati melepaskan jawatan yang sudah bertahun digalasnya bagi mencuba suatu pekerjaan baharu dengan tahap tekanan yang lebih rendah.

"Sebelum saya buat kerja Grab, saya pernah bekerja sebagai ketua jabatan di sebuah syarikat korporat. Namun seperti yang kita tahu, kerja di sektor korporat sangat memberikan tekanan, jadi saya ambil keputusan untuk berhenti kerja.

"Sejak saya menyertai Grab, saya rasa kurang tekanan dan ada masa seimbang untuk keluarga dan diri sendiri.

"Dengan Grab, kita jadi bos sendiri, walaupun pendapatan tidak sebanyak semasa saya bekerja di syarikat lama tapi saya boleh urus masa kerja sendiri.

"Anak perempuan saya sekarang gembira bila tengok saya gembira. Dia bagi sokongan penuh terhadap pekerjaan yang saya buat sekarang," ujarnya.

Menurut Eric lagi, kini kebanyakan pelanggan yang pernah menggunakan perkhidmatannya turut bergelar rakan pemandu disebabkan mereka telah kehilangan kerja.

"Sebelum ini ada penumpang yang naik dengan saya adalah daripada kalangan juruterbang dan jurutera. Mereka pun buat Grab sekarang sebab banyak syarikat saya dengar terpaksa berhentikan pekerja.

"Melalui Grab, anda boleh mencari rezeki untuk mengharungi pandemik ini. Sebenarnya, Grab adalah platform terbaik pada pandangan peribadi saya.

"Saya sangat gembira dengan Grab (kerana menyediakan peluang pekerjaan), terima kasih Grab," ujarnya yang mampu memperolehi pendapatan purata sebanyak RM400 sehari.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain