suria

Usia 25 tahun sudah terajui syarikat milik bapa, pemuda ini mahu bawa jenama mewah jam tangan ke mata dunia!

Muhammad Fitry Zainal mahu membawa jenama Fateh Watches ke peringkat dunia. Foto Instagram @ftryblade

PERIBAHASA Melayu ada menyebut 'ke mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi' dan ia juga menggambarkan tentang kisah seorang pemuda yang mengikut jejak langkah bapanya sebagai seorang pembuat jam tangan.

Muhammad Fitry Zainal memberitahu sejak kecil dia telah didedahkan dengan dunia pembuatan jam tangan berkualiti tinggi oleh bapanya dan sejak itu dia sentiasa terpegun dengan proses dan nilai di sebalik sesuatu jam tangan yang dihasilkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua sahabat bangun aplikasi tempahan cuci kereta, bukan hanya mudahkan pengguna tapi bantu peniaga cari rezeki ketika pandemik

Namun kata pemuda berusia 27 tahun ini, dia tidak pernah terfikir untuk mengikut jejak langkah bapanya itu sehinggalah tiga tahun lalu apabila dia diminta untuk menguruskan syarikat milik bapanya, Fateh Watches.

"Sejak kecil saya sudah didedahkan tentang pembuatan jam tangan seperti jenama Tag Heuer, Titoni, Chopard, Fossil dan pelbagai jenama mewah buatan Swiss yang lain memandangkan bapa seorang pembuat jam dan pengurus kualiti jam.



Discovery III Dual Time antara rekaan yang mendapat perhatian pelanggan.

"Ketika itu minat saya sekadar kagum dengan kerjaya bapa namun banyak ilmu yang dia turunkan kepada saya cuma saya tidak pernah terfikir untuk mengikut jejak langkahnya.

"Tetapi semuanya berubah apabila bapa minta saya uruskan syarikatnya kerana dia ingin bersara," katanya kepada mStar.

Urus syarikat ketika usia 25 tahun

Bercerita lanjut mengenai bapanya, Zainal Mohd Ali, 70, Muhammad Fitry memberitahu lelaki itu mempunyai pengalaman selama 43 tahun dalam industri pembuatan jam tangan selain pernah menuntut di Geneva, Switzerland.

Malah katanya, sepanjang karier bapanya, dia pernah berkhidmat di beberapa buah negara seperti China, Taiwan, Hong Kong dan Switzerland sebelum pulang ke tanah air.

"Apabila pulang ke tanah air pada 2016, bapa mengambil keputusan untuk membuka syarikat dan jenamanya sendiri dan wujudlah Fateh Watches.

Sejak tahun lalu kami telah buat pelbagai perancangan sebagai persediaan sekiranya berlakunya situasi seperti lockdown seperti sekarang.

MUHAMMAD FITRY ZAINAL

"Memandangkan dia peminat sejarah, dia mengambil inspirasi nama Sultan Muhammad al-Fateh yang juga pemerintah empayar Uthmaniyyah suatu ketika dahulu," ujarnya.

Jelas Muhammad Fitry, dia mengambil alih perniagaan itu sejurus tamat pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Seni Reka (Rekaan Industri) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka.

Meskipun baru berusia 25 tahun namun katanya, dia menyahut cabaran bapanya kerana melihat potensi jenama itu untuk dikembangkan dan menjadi antara jenama disegani dalam dan luar negara.

"Pada awalnya saya memang takut dan berasa tidak yakin tetapi atas dorongan bapa dan keluarga saya kuatkan semangat untuk mengambil alih perniagaan bapa.

"Tambahan pula bapa tidak mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas dalam perniagaan jadi saya ingin membantu memperkenalkan jenama ini dalam kalangan penggemar jam tangan," katanya.



Bapanya, Zainal Mohd Ali adalah inspirasi Fitry.

Jelasnya, walaupun dia kini bertanggungjawab menguruskan hala tuju syarikat namun dia tetap mendapatkan nasihat bapanya yang mempunyai banyak pengalaman terutamanya dalam proses pembuatan jam.

Discovery III antara keunikan Fateh Watches

Bercakap mengenai Fateh Watches, Muhammad Fitry memberitahu syarikatnya itu mengeluarkan pelbagai jenis jam tangan sesuai untuk kaum lelaki dan wanita.

Paling istimewa adalah Discovery III yang mempunyai waktu berganda (dual time) yang juga menjadi keluaran trademark jenama itu.

Jam tangan itu katanya didatangkan dengan pusing jam berlawanan arah mengikut pusingan tawaf serta pusingan biasa bagi menyenangkan pengguna ketika ke luar negara.



Fateh Watches turut menerima tempahan khas.

"Jam tangan itu adalah berkonsepkan islamik dengan dua waktu dan bapa mereka khas bagi memudahkan pemakai ketika berada di tanah suci.

"Bagi menjaga nilai eksklusif rekaan ini, ia hanya dikeluarkan sebanyak 300 unit dengan tiga warna berbeza dan hanya 100 unit dikeluarkan bagi setiap warna," jelasnya.

Antara rekaan yang turut mendapat perhatian adalah Hagia by Fateh Watches dan Ladies Pearl by Fateh Watches.

Selain itu, Fateh Watches juga bertindak sebagai pengeluar peralatan asal bagi pelanggan yang ingin mereka atau membuat jam tangan mereka sendiri.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Tidak cukup dengan itu, Fateh Watches juga turut membuat jam tangan khas atas permintaan pelanggan persendirian dan korporat sebagai hadiah.



Antara koleksi menarik keluaran Fateh Watches.

"Alhamdulillah setakat ini pelanggan memang berpuas hati dengan kualiti jam tangan Fateh Watches kerana kami menghantar semua jam ke kilang yang sama membuat jenama lain seperti Tag Heuer dan Fossil.

"Kami memang amat mementingkan kualiti apatah lagi ia turut dinilai dahulu oleh bapa memandangkan beliau sangat berpengalaman luas dalam pembuatan dan menyemak kualiti," katanya.

Pandemik tak halang majukan Fateh Watches

Bapa kepada seorang cahaya mata ini turut memberitahu usahanya mengembangkan syarikat diasaskan bapanya semakin membuahkan hasil apabila jenama itu kini antara jenama yang boleh dibeli menerusi Malakat Mall.

Meskipun ketika ini pandemik sedang melanda negara, Muhammad Fitry tidak pernah menjadikan ia sebagai alasan untuk berputus asa sebaliknya melengkapkan diri dengan pelbagai persediaan bagi menghadapi situasi tidak menentu.



Fitry tetap optimis meskipun ketika ini negara dilanda pandemik.

"Sejak tahun lalu kami telah buat pelbagai perancangan sebagai persediaan sekiranya berlakunya situasi seperti lockdown seperti sekarang.

"Tutup bukan pilihan sebaliknya saya ambil peluang ini untuk menaikkan lagi jenama ini dengan memuat pelbagai promosi di laman sosial, kolaborasi dengan jenama lain dan sebagainya.

"Bapa selalu ingatkan saya bahawa sekiranya kita berusaha dan tawakal, Insya Allah, Allah akan mudahkan rezeki kita dan itu yang saya pegang," jelasnya.

Menjadi harapannya untuk melihat Fateh Watches ini dikenali di seluruh dunia sebagai antara jenama terbaik dunia.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain