suria

Gara-gara payung kitar semula, graduan Amerika jadi perhatian... ada misi nak didik masyarakat jaga alam!

Muhammad Afiq menjadi perhatian apabila payung yang dihasilkan menggunakan bahan kitar semula mendapat perhatian. Foto Instagram @afiiqkamal_

PERKONGSIAN Muhammad Afiq Mohd Kamal di Instagram yang menghasilkan sekaki payung menggunakan bahan kitar semula menarik perhatian netizen.

Rata-rata kagum dengan kreativiti pemuda berusia 23 tahun itu yang menganggap apa dilakukan luar biasa sehingga ada berminat untuk membeli payung dihasilkannya.

Muhammad Afiq menampal pelbagai jenis plastik bekas makanan bagi menghasilkan corak berbeza pada payung tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda jadi perhatian gara-gara baju patung Barbie sebenarnya pereka beg tangan - “Tak mahu bazirkan fabrik”

Teknik tampalan berulang itu menghasilkan corak menarik pada payung tersebut dan ia hanya mengambil masa beberapa jam untuk disiapkan.

"Saya menggunakan bekas plastik seperti bungkusan roti, mi segera, apa sahaja plastik yang boleh dikitar semula sebagai bahan utama menghasilkan payung itu.

Afiq 3

Muhammad Afiq tertarik dengan budaya streetwear ketika melanjutkan pengajian di Amerika.

"Tidak hanya payung, saya juga ada menggunakan lebihan kain perca milik ibu atau pakaian yang sudah tidak digunakan untuk membuat pelbagai kraf tangan seperti beg, baju dan sebagainya," katanya.

Namun siapa sangka, anak kelahiran Hulu Langat, Selangor ini sebenarnya adalah seorang graduan dalam bidang kejuruteraan kimia dari Amerika Syarikat.

Bercakap kepada mStar, Muhammad Afiq memberitahu dia baharu sahaja pulang ke tanah air sebulan lalu selepas menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di University of Delaware atas tajaan Petronas.

"Sementara menanti panggilan untuk masuk bekerja di Petronas, saya habiskan masa dengan aktiviti menghasilkan payung, beg, pakaian dan sebagainya menggunakan barangan kitar semula.

"Apatah lagi ketika ini tidak boleh keluar rumah, jadi untuk menghilangkan rasa bosan, mulalah pelbagai benda hendak dilakukan," katanya.

Menjahit adalah kemahiran berguna malah ketika belajar di Amerika, ia banyak bantu saya terutamanya jika saya nak jahit pakaian sendiri.



MUHAMMAD AFIQ MOHD KAMAL

Sebenarnya kata Muhammad Afiq, minatnya terhadap barang kitar semula bermula ketika dia menuntut di Amerika selepas kagum dengan budaya streetwear di negara itu.

Katanya, dia cukup tertarik apabila melihat golongan dalam 'streetwear society' yang kebanyakannya mempunyai identiti dan gaya tersendiri, bukannya terikut-ikut dengan trend tertentu.

"Sejak di Amerika saya memang mengikuti rapat budaya streetwear ini dan apabila ada masa lapang saya banyak menghabiskan masa ke kedai bundle yang ada di sekitar Delaware.

"Kunjungan ke kedai bundle itu biasanya untuk ambil inspirasi dan mencari barang menarik untuk cuba aplikasikan dengan gaya sendiri," katanya.

Projek

Sejak pulang ke Malaysia, Muhammad Afiq banyak mengabiskan masa dengan menjahit menggunakan bahan kitar semula.

Kebiasaannya kata Muhammad Afiq, apabila dia membeli sesuatu baju atau seluar di kedai bundle, dia perlu mengubah suai pakaian tersebut memandangkan badannya yang bersaiz kecil dengan ketinggian hanya lima kaki.

"Maklum sahaja saiz orang Amerika lebih besar, jadi saya perlu potong dan jahit sendiri agar ia muat dengan badan saya.

"Dari situ juga, saya akan gunakan kreativiti sendiri menggunakan bahan kitar semula yang lain untuk menjadikan pakaian itu menarik dan menggambarkan diri saya," ujarnya.

Muhammad Afiq memberitahu, penggunaan bahan kitar semula dalam pakaian dihasilkan bukan sahaja menyeronokkan tetapi ia juga sebagai salah satu usaha menyelamatkan bumi.

Afiq 2

Bekas penuntut Universiti Delaware Amerika ini mahu mewujdukan kesedaran masyarakat tentang kitar semula.

Dari situ juga katanya, dia mula banyak menggunakan bahan kitar semula dalam projeknya bagi memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

Bercerita mengenai bakat menjahit, Muhammad Afiq memberitahu dia mempelajari teknik menjahit sejak berusia 11 tahun dan bukan hanya kerana minat tetapi merasakan ia kemahiran yang cukup bermanfaat tidak kira untuk lelaki atau pun perempuan.

Malah kongsinya, sejak zaman persekolahan lagi dia mampu menjahit sendiri seluar atau bajunya yang koyak tanpa mengharap bantuan ibu atau menghantarnya ke kedai jahit.

"Zaman sekolah dahulu tahu sahajalah, seluar mesti nak ada 'cutting' sendiri dan saya akan potong dan jahit sendiri mengikut kehendak saya.

Supreme

Muhammad Afiq juga cukup meminati barangan jenama Supreme.

"Ia kemahiran yang sangat berguna sebenarnya malah ketika belajar di Amerika, ia banyak membantu saya terutamanya jika saya nak hasilkan pakaian sendiri," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Mengimpikan untuk mempunyai jenamanya sendiri suatu hari nanti, Muhammad Afiq bagaimanapun memberitahu ketika ini dia belum bercadang untuk menjual hasil kerjanya kerana merasakan masih banyak penambahbaikan perlu dilakukan.

Sebaliknya, dia cukup gembira apabila beberapa video yang dimuat naik di laman sosialnya mula mendapat perhatian kerana paling penting kesedaran tentang kitar semula dapat disebarkan kepada masyarakat.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain