suria

Pemilik dah sediakan tempat selesa, kenapa ibu kucing tetap pindahkan anak-anaknya?

Si ibu akan menggigit pada bahagian leher anaknya untuk dipindahkan ke tempat baharu.

ADAKALANYA kita pasti berasa hairan mengapa kucing gemar memindahkan anak-anaknya selepas melahirkan meskipun kita sudah menyediakan tempat yang selesa untuk si bulus berlindung.

Sebenarnya terdapat pelbagai sebab kucing bertindak sebegitu dan ia bukan sesuatu yang aneh kerana sudah menjadi sifatnya untuk memberi perlindungan terbaik kepada anak-anaknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bahagia rasanya apabila si bulus datang bermanja! Ini 4 sebab mengapa kucing suka duduk di pangkuan tuannya

Berikut adalah lima sebab mengapa kucing gemar memindahkan anak-anaknya yang baru lahir.

Kucing 4

1. Perlindungan

Kucing suka memindahkan anak-anaknya dari satu tempat ke tempat yang lain kerana ingin memastikan dapat memberi perlindungan daripada ancaman serta menempatkannya di tempat yang selesa.

Selain itu, si ibu ingin memastikan anak-anaknya selamat daripada capaian manusia dan haiwan lain yang boleh membahayakan nyawa anak-anak.

2. Tempat perlindungan jauh daripada sumber makanan

Ibu kucing yang baru saja melahirkan anak akan sering keluar pergi mencari makanan bagi memastikan ia bertenaga untuk menyusukan anak-anaknya.

Apabila tempat perlindungan terjalu jauh daripada sumber makanan, ibu kucing biasanya akan mencari tempat yang lebih dekat dengan sumber makanan.

Kucing 3

3. Tempat persembunyian terlalu terang dan terbuka

Antara alasan lain kucing akan memindahkan anak-anaknya kerana 'rumah' yang dibuat mungkin terdedah kepada terlalu banyak cahaya dan terletak di kawasan terbuka.

Perkara itu membuatkan kucing berasa terganggu ketika berehat dan tidur.

Faktor persekitaran yang bising juga membuatkan si ibu mencari kawasan lebih sunyi kerana tidak mahu anak-anaknya berasa tertekan dan akhirnya sakit.

4. Tempat perlindungan kotor

Ketika tempat perlindungan mereka sudah kotor dengan air kencing dan najis, kucing akan mencari kawasan baharu yang lebih bersih untuk anak-anaknya.

Ibu kucing tidak mahu anak-anaknya dijangkiti kuman atau mengalami penyakit tertentu dan lebih rela berpindah.

Kucing

5. Anak kucing sakit atau mati

Ketika ada salah seekor anak kucing yang sakit atau mati, si ibu akan memindahkan kucing-kucing lain yang sihat. Ini bagi memastikan anak-anaknya yang lain tidak dijangkiti sakit yang sama.

Anak kucing yang mati akan ditinggalkan oleh si ibu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain