suria

69 peratus rakyat Malaysia mahu terus bekerja dari rumah... apa sebabnya?

69 peratus rakyat Malaysia masih mahu meneruskan bekerja dari rumah kerana bimbangkan keselamatan dan kebarangkalian dijangkiti Covid-19 di pejabat.

KETIKA negara masih berada dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) ekoran pandemik kebanyakan pekerja di negara ini masih mengamalkan bekerja dari rumah dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 di tempat kerja.

Pun begitu, selepas hampir dua tahun negara dilanda wabak, adakah pekerja di negara ini sudah bersedia untuk kembali bekerja di pejabat atau sudah selesa bekerja dari rumah?

ARTIKEL BERKAITAN: Kedai gunting rambut, cuci kereta dan pasar antara 22 aktiviti ekonomi akan beroperasi esok

Tinjauan 1H Workmonitor 2021 di Malaysia yang dilakukan oleh Randstad Malaysia baru-baru ini mendapati 69 peratus responden menyatakan mahu meneruskan bekerja dari rumah sehingga vaksin Covid-19 diedarkan secara menyeluruh.

Angka peratusan itu adalah paling tinggi di rantau ini diikuti Singapura, China dan Hong Kong masing-masing mencapai 67, 45 dan 48 peratus.

Kaji selidik itu dilakukan bagi mendapat maklum balas mengenai sentimen dan persepsi terbaharu tenaga kerja terhadap pasaran pekerjaan tempatan.

Office staff respecting social distancing during a meeting. Group of business men and women having a meeting in office during corona virus pandemic.

55 peratus responden memberitahu sentiasa berasa berisiko dijangkiti Covid-19 ketika bekerja di pejabat.

Menerusi kaji selidik yang sama, tujuh daripada 10 responden di negara ini juga mengatakan bahawa mereka akan berasa lebih selamat sekiranya semua rakan sepejabat menerima dua dos lengkap vaksin dan angka ini lebih tinggi berbanding tinjauan sama di Singapura iaitu 61 peratus.

Sementara itu, bagi responden yang perlu bekerja di pejabat ketika pandemik, 55 peratus daripada mereka mengatakan sentiasa berasa berisiko dijangkiti Covid-19.

Hampir tiga daripada lima responden atau (59 peratus) pula memberitahu tahap produktiviti mereka menurun kerana sering berasa tertekan apabila bimbang dijangkiti Covid-19 di tempat kerja selain akan membahayakan kesihatan keluarga di rumah.

Meskipun bimbang tentang soal kesihatan dan keselamatan, satu daripada dua responden (47 peratus) mengatakan majikan mereka telah memberi insentif untuk mereka mendapatkan vaksin Covid-19.

Ketua Operasi Randstad Malaysia, Fahad Naeem berkata, kebimbangan terhadap kesihatan dan keselamatan ketika pandemik bukan sesuatu yang mengejutkan.

"Pekerja mengharapkan majikan mereka mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan kesihatan dan keselamatan mereka terjamin.

Sekurang-kurangnya, syarikat harus menerapkan prosedur keselamatan dan kesihatan yang ketat selain membenarkan pekerja bekerja dari rumah.

FAHAD NAEEM

KETUA OPERASI RANDSTAD MALAYSIA

"Sekurang-kurangnya, syarikat harus menerapkan prosedur keselamatan dan kesihatan yang ketat selain membenarkan pekerja bekerja dari rumah," katanya.

Fahad turut memberitahu majikan juga harus mendorong pekerja untuk mengambil vaksin malah katanya di Randstad Malaysia sendiri, pihaknya memberikan cuti berbayar selama dua hari kepada pekerja ketika mengambil suntikan vaksin.

Ini katanya penting bagi memastikan pekerja dapat berehat selain memantau kesan sampingan selepas menerima suntikan vaksin tanpa perlu bimbang tentang tugas di pejabat.

"Tidak hanya itu, kami juga mengadakan webinar pendidikan tentang vaksin dan Covid-19 untuk semua kakitangan supaya mereka dapat membuat keputusan tepat mengenai vaksin dan kesihatan mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, walaupun jelas terdapat kesan terhadap kesihatan dan keselamatan yang berpotensi menyumbang kepada jumlah kes Covid-19 di negara ini namun 64 peratus responden mengatakan majikan mereka tetap mengarahkan mereka bekerja di pejabat.

Namun hanya 49 peratus responden yang bersetuju bahawa pekerjaan mereka tidak dapat dilakukan di rumah dan perlu berada di pejabat.

WFH

Bekerja dari rumah lebih menenangkan dan lebih produktiviti.

Fahad menjelaskan walaupun banyak syarikat ingin beroperasi secara normal seperti sebelum pandemik namun perkara itu tidak boleh dilakukan dengan terburu-buru, apatah lagi negara ketika ini sedang mengalami lonjakan kes Covid-19.

Pada masa yang sama katanya, majikan seharusnya memberi fokus kepada mempersiapkan diri bagaimana untuk kembali bekerja selepas wabak itu berakhir.

"Jelas bahawa ramai lebih produktif dan kurang tertekan ketika bekerja dari rumah, jadi pilihan itu adalah lebih baik ketika ini.

"Sangat penting bagi majikan untuk mula fikirkan masa depan pekerja, keperluan dasar kerja baru, pelaburan digital dan sebagainya untuk membolehkan bekerja secara hibrid dan meningkatkan produktiviti pekerja dengan lebih baik," katanya.

Tinjauan Randstad 1H Workmonitor dibuat pada Mac 2021 melibatkan 34 pasaran di seluruh dunia dengan minimum 400 responden.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain