suria

Biar berbaloi! Ada 5 perkara perlu dipertimbangkan sebelum beli mesin basuh baharu

Sebelum membeli mesin basuh terdapat beberapa perkara perlu diberikan perhatian.

KETIKA ingin membeli mesin basuh yang baharu pasti kita akan berada dalam dilema untuk memilih kerana terdapat pelbagai jenama, fungsi yang dijual di pasaran.

Sebenarnya, sebelum membuat sebarang pembelian, kita memang disarankan untuk mempertimbangkan beberapa perkara agar tidak berasa menyesal di kemudian hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Elak warna pakaian lusuh, bagi pengguna mesin basuh pastikan guna 2 tetapan ini

Tambahan pula harga sebuah mesin basuh bukannya murah dan biarlah sesuatu pembelian itu berbaloi dan boleh digunakan untuk tempoh yang lama.

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum membeli mesin basuh baharu.

Front Load

Mesin basuh dengan bukaan depan.

1. Tentukan bajet anda!

Sebelum membeli mesin basuh, ada baiknya tentukan berapa bajet anda kerana barangan itu juga datang dalam pelbagai harga yang ada di antaranya boleh membuatkan anda melopong.

Apabila menetapkan bajet tertentu, kita akan lebih fokus mencari mesin basuh mengikut bajet disediakan.

2. Kapasiti mesin basuh sesuai dengan keperluan

Kapasiti mesin basuh juga perlu diambil kira kerana sekiranya membeli yang terlalu kecil ia mungkin tidak sesuai dengan keperluan seseorang yang sudah berkeluarga dan sebaliknya.

Malah semakin besar kapasiti sesebuah mesin basuh, harganya juga lebih mahal.

Upper Load

Mesin basuh dengan bukaan atas.

3. Jenis mesin basuh

Terdapat pelbagai jenis mesin basuh yang dijual dan paling popular adalah cucian top loading (bukaan atas) dan front loading (bukaan depan).

Mesin basuh bukaan atas terbahagi lagi kepada dua jenis iaitu satu tiub atau dua tiub. Kebiasaannya dua tiub adalah secara manual atau separa automatik di mana tiub kedua adalah untuk mengeringkan air daripada pakaian.

4. Jenama mesin basuh pun penting!

Terdapat pelbagai jenama mesin basuh yang dijual. Sebaik-baiknya, pilih jenama yang dikenali kerana sekiranya ia rosak, lebih mudah mendapatkan barangan gantian atau untuk tujuan servis.

Pastikan juga, mesin basuh yang dibeli mempunyai tempoh jaminan bagi membolehkan kita menukar yang baharu sekiranya berlaku sebarang kerosakan.

Two Tube

Mesin basuh dengan dua tiub yang biasanya berfungsi secara manual atau separa automatik.

5. Ambil kira fungsi mesin basuh

Fungsi yang ada pada mesin basuh juga boleh menjadi pertimbangan ketika membeli. Sejajar dengan perubahan teknologi, mesin basuh yang terkini juga dilengkapi dengan pelbagai fungsi yang dapat memastikan pakaian dicuci dengan bersih.

Sebaik-baiknya, cari mesin basuh yang mempunyai fungsi membasuh pelbagai jenis pakaian, tuala, selimut dan sebagainya. Paling penting, mesin basuh mempunyai fungsi mencuci 'dirinya' sendiri bagi mengelakkan kulapuk dan bakteria melekat padanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain