suria

Lali jadi mangsa banjir sejak 15 tahun lalu... anak jati Kedah cetus idea DIY benteng halang air bah

Radzi berkongsi di media sosial mengenai benteng yang dibuat untuk persediaan menghadapi banjir.

BENCANA banjir yang sedang berlaku di Lembah Klang dan beberapa kawasan di negeri lain pada ketika ini membimbangkan sehingga ada beberapa kawasan dinaiki air sehingga ke paras bumbung.

Kerosakan mengakibatkan kerugian besar ini telah membuka mata netizen untuk lebih bersedia selepas ini jika berlaku lagi banjir.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan panik! Ini perkara yang harus dan tak patut dilakukan untuk selamatkan kereta sangkut dalam banjir

Perkongsian seorang pengguna Facebook iaitu Radzi Ghani, menunjukkan bagaimana dia memperkenalkan ciptaan yang dikenali sebagai sistem anti banjir berguna kepada semua sebagai persediaan menghadapi banjir di masa akan datang.



Kanvas digunakan untuk menghalang air banjir memasuki ruang dalam rumah.

Menurut Mohd Radzi Abd Ghani, 50, produk atau barangan digunakan untuk sistem anti banjir atau benteng ini adalah bersesuaian untuk paras banjir yang tingginya mencapai paras sekitar kira-kira 1.2 meter.

Pernah berhadapan dengan situasi banjir sejak 15 tahun lalu telah membuatkan ketua pegawai eksekutif syarikat miliknya sendiri ini sudah lali dengan situasi ini sehingga timbulnya idea sistem itu untuk lebih berjaga-jaga dalam menghadapi situasi banjir.

Lebih menarik lagi apabila tip yang dicadangkan ini mampu mengurangkan tahap kerosakan dan juga tenaga dalam membersihkan rumah setelah dilanda banjir.

Maka tidak hairan posting itu tular di Facebook dan mendapat 15,000 perkongsian.

Berkongsi dengan mStar, Radzi memberitahu rentetan daripada idea itu dia mendapat ilham untuk menambahbaik mengenai sistem benteng sedia ada dengan menukar batu-bata kepada kanvas lembut.



Ruang udara ditutup dengan plastersin selain menggunakan kanvas.

"Bagi saya sistem baharu yang saya cipta melibatkan bahan lebih fleksibel menggunakan kanvas lembut ini tahan bocor dan reput.

"Pada pandangan saya, kaedah baru ini 10 kali lebih baik dari apa yang saya share di Facebook.

"Yang saya kongsi di Facebook itu agak leceh sebab tu saya upgrade kaedah ini supaya lebih 'friendly' dan lebih ramai boleh guna termasuk orang tua dan kanak-kanak," ujar Radzi.

Dalam perkongsiannya, antara peralatan asas yang perlu ada adalah seperti berikut:

1. Kanvas

Paling terbaik adalah menggunakan kanvas lembut boleh didapati di kedai peralatan hardware.

Antara sebab menggunakan kanvas lembut ini adalah kerana ia lebih tebal dan murah.

2. Batu bata

Kuantiti batu bata digunakan bergantung kepada ukuran panjang ruang yang anda perlu tutup & ketinggian bata anda mahu jadikan benteng.

3. Plastersin/tanah liat

Digunakan bagi menutup ruangan antara celah pintu di sebelah dalam & luar khususnya ruangan pada pintu bahagian lantai rumah.

Plastersin yang dikepal-kepal dimasukkan ke dalam plastik lalu digunakan untuk palam lubang tandas juga lubang di ruangan bilik mandi.

4. Pam air

Tujuannya adalah untuk menyedut air jika benteng banjir anda tadi dibolosi banjir lebih-lebih lagi di bilik air.

Bapa kepada empat cahaya mata ini berkata, dengan adanya benteng ini 90 peratus berjaya menyekat air masuk sekali gus dapat mengelakkan kerosakkan barang-barang di dalam rumah.

Radzi yang menetap di Alor Setar, Kedah ini berkata kaedah sistem benteng ini hanya boleh diguna pakai sebelum air memasuki rumah.

Dia berharap semoga perkongsian ini bermanfaat dan kita sama-sama berdoa agar Allah SWT melindungi kita semua.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

benteng, kanvas, banjir, bencana, tip, DIY

Artikel Lain