BAGI peminat kopi, tentunya minuman itu wajib diminum sebelum memulakan aktiviti di waktu pagi. Rasanya bukan sahaja enak tetapi kopi mengandungi antioksidan yang baik untuk kesihatan. Selain itu ia juga dapat meningkatkan fungsi otak dan menambah tenaga bagi memulakan hari yang panjang.ARTIKEL BERKAITAN: Banyak sebenarnya kegunaan tepung jagung, paling menakjubkan boleh kilatkan tembaga Tapi tahukah anda bahawa manfaat kopi tidak terhenti di situ sahaja? Hampasnya juga mempunyai pelbagai kegunaan yang mampu memberi kebaikan kepada tanaman mahupun membersihkan sesuatu barang. Berikut adalah lima kegunaan hampas kopi yang mungkin tidak anda ketahui. 1. Scrub Hampas kopi dapat digunakan sebagai scrub semula jadi untuk menanggalkan sel kulit mati. Kafein yang terkandung di dalam kopi dipercayai dapat mengurangkan selulit. Untuk penggunaan lebih berkesan, campurkan gula dan minyak kelapa dalam hampas kopi sebelum digosokkan ke bahagian wajah atau badan. 2. Menghilangkan bau busuk Selepas selesai memasak, tangan pasti akan berbau dan biasanya bau itu akan melekat. Tetapi dengan hampas kopi ia mampu mengurangkan bau tersebut. Caranya ambil hampas kopi dan gosok pada tangan. Tidak hanya menghilangkan bau busuk pada tangan, hampas kopi juga boleh digunakan untuk menghilangkan bau busuk di dalam peti ais atau ruang tertutup. 3. Membersihkan bontot kuali Bontot kuali antara barang paling sukar dicuci tetapi dengan menggosokkan hampas kopi padanya ia boleh memudahkan kesan kotoran dibersihkan. 4. Baja tanaman Memandangkan hampas kopi memiliki kandungan nitrogen yang baik untuk tanaman, ia boleh dimanfaatkan sebagai baja. Caranya juga mudah, anda boleh terus menabur hampas kopi di dalam pasu tanpa perlu mencampurkannya dengan tanah. 5. Lilin beraroma kopi Bagi yang menyukai aroma kopi, tidak ada salahnya menggunakan bau itu sebagai pewangi. Paling mudah adalah mencampurkan hampas kopi di dalam lilin. Campurkan serbuk kopi ke dalam lilin yang meleleh, lalu biarkan ia mengering dan dinyalakan seperti biasa. Selain menambah tekstur, serbuk kopi juga akan mengeluarkan bau seperti di kafe kegemaran anda! Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI