SEBUT sahaja Thai Odyssey, pastinya orang ramai mengimpikan urutan yang memberi kelegaan selepas penat bekerja. Sehinggakan ia menjadi tarikan utama dalam sektor pelancongan di beberapa negara khususnya Thailand sendiri. Malah kebanyakan peneraju syarikat kesihatan di Malaysia juga lebih gemar memperkenalkan Thai Odyssey berbanding urutan tradisional Melayu walhal, ia sering diamalkan masyarakat setempat selain turut mendapat permintaan pelancong luar. ARTIKEL BERKAITAN: Cintai seni warisan dan budaya... lelaki ini cetuskan ‘Misi Mencari Melayu’ Terkini, beberapa usahawan tempatan memperkenalkan pakej rawatan dan urutan berpantang untuk wanita selepas bersalin dan ada juga pakej untuk urutan kelakian dengan harga berpatutan. Justeru melihatkan peluang perniagaan berkenaan dan keperluan penjagaan kesihatan, Kolej Space (UTMSpace Services Sdn Bhd) yang juga anak syarikat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkenalkan kursus baharu iaitu Diploma Perubatan Tradisional Melayu, ke arah meningkatkan martabat perubatan tradisional itu. Pengerusi UTMSpace Services Sdn Bhd, Prof Emeritus Datuk Dr Zainai Mohamed berkata, kemahiran dan kekayaan yang juga sumber ilmu perubatan tradisional itu tidak sepatutnya ditinggalkan. "Kalau kita tidak cari cara untuk meletak mereka di depan, maka ia tidak akan ada. Sebab itu di negara China, perubatan tradisional sudah bersama-sama dengan perubatan moden dan ia telah terbukti berjaya menyelesaikan isu kesihatan masyarakat. "Selama ini, perubatan tradisional Melayu di kampung dapat membantu masyarakat, jadi mengapa kita tidak boleh memartabatkannya dengan cara ini. Jadi rumusannya adalah apa yang ada jangan kita tinggalkan, sebaliknya manfaatkan dan tingkatkan martabatnya. Pengarah Urusan Avicenna Group, Saifullah Yusoff (kiri) bertukar dokumen perjanjian bersama Rektor dan Ketua Pegawai Eksekutif UTMSpace Services Sdn Bhd Dr Mercy Trinovianti Mulyadi. "Kita akan perluas bidang perniagaan dalam perkara ini seperti negara jiran, Thailand dan Indonesia. Malah, perniagaan kesihatan (wellness) ini tinggi nilainya dan kalau mereka ada kelayakan mahupun pengiktirafan ia akan menyumbang kepadanya. "Di negara membangun, rakyat memerlukan tahap wellness yang tinggi," katanya selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoA) Diploma Perubatan Tradisional Melayu di Kuala Lumpur pada Selasa. Berkata lanjut mengenainya, penumpuan pembelajaran dan kemahiran adalah berasaskan keperluan industri dengan pendekatan 30 peratus teori dan 70 peratus praktikal yang meliputi asas sains perubatan, asas perubatan tradisional Melayu, terapi perubatan tradisional Melayu (kerohanian, herba, bekam, urutan dan penjagaan ibu selepas bersalin serta penjagaan kelelakian. Tambahnya, kursus untuk tempoh tiga tahun yang mula menerima kemasukan pelajar bermula Ogos 2022 ini, akan turut menawarkan pengajian keusahawanan dan pengurusan strategik. Melihatkan masa hadapan pelajar yang lebih cerah bagi bidang pengajiaan baharu ini, ujar Pengerusi Eksekutif Avicenna Group Malaysia Onnie Zurin Abu, sebagai peneraju kepada bidang pengajian tersebut, pihaknya akan menyediakan peluang perniagaan, pekerjaan untuk pelajar terlibat. "Kalau kita lihat pasaran wellness, ia sangat meluas di dalam dan luar negara. Kita tidak hanya melihat kepada pusat rawatan mahupun hospital, kita juga melihat kepada tenaga pengajar. Sesudah mereka menamatkan pengajian ini mereka boleh menjadi tenaga pengajar di UTMSpace sendiri. "Peluang itu amat luas, contoh perubatan Islam, di manakah pengamalnya, kalau tidak daripada lepasan pelajar kita. "Di mana mereka nak jalankan praktikal? Kita akan sediakan peluang itu dengan membuka pusat rawatan di dalam dan luar negara sebab kami juga mendapat permintaan dari luar negara untuk membuka pusat rawatan selain membekal tenaga mahir. "Mereka minta perawat yang ada kelayakan, mempunyai sijil. Di situ sudah nampak peluang untuk pelajar ini maju dalam kerjaya dan perniagaan," jelasnya lanjut. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI