KECOMELAN dan sifat manja anak kucing membuatkan pemilik haiwan berkenaan selesa untuk membawanya ke bilik tidur. Rata-rata berpendapat ia menjadi pengubat kesunyian kerana si bulus menjadi peneman untuk tidur bersebelahan. Tapi adakah ia idea yang baik apabila meletakkan anak kucing tidur di bilik kita? Memetik vetstreet, anak kucing yang baharu seharusnya ditempatkan bersama rakan-rakan si bulus yang lain, bukan dengan tuannya. Berikut adalah empat alasan kenapa anak kucing tidak sesuai tidur di katil besar, sekurang-kurangnya buat masa ini: Tidur sendirian Mempunyai ruang tidur mereka sendiri membantu anak kucing anda mengembangkan kebebasan dan membolehkannya menyesuaikan diri dengan jadual tidur pemiliknya. Anak kucing berisiko terjatuh dari katil. foto Freepik / Wirestock Sangkar kucing adalah tempat yang sesuai untuk anak kucing. Jadikan kawasan itu selesa yang mungkin supaya anak kucing memahami bahawa ia adalah ruang rehat yang istimewa. Selain itu, dengan membiarkan anak kucing tidur bersendirian, anda mengajarnya untuk keluar dari katil atau keluar dari bilik tidur anda apabila tidak dibenarkan. Masih kecil Adakah anak kucing anda mampu bertahan sepanjang malam tanpa pergi ke kotak pasir untuk membuang najis? Tambahan pula anda tidak mahu sesuatu yang tidak diingini berlaku di atas katil. Takut nanti anda terpaksa membersihkannya pada tengah malam. ARTIKEL BERKAITAN: Ada 5 tempat kucing suka tidur, salah satunya bilik tuan sendiri... kenapa ya? Maka itulah sebabnya adalah lebih baik untuk tidak membawa anak kucing ke katil anda untuk mengelakkannya daripada bersepah. Jika tidak, anda juga terpaksa bangun daripada tidur untuk membawanya ke kotak pasir, kan dah mengganggu tidur anda. Risiko jatuh Anak kucing itu masih terlalu kecil. Tidur di atas katil pemilik berisiko menyebabkan anak kucing terjatuh, apatah lagi jarak daripada katil ke lantai agak tinggi. Anak kucing memerlukan tidur yang selesa tanpa sebarang risiko. foto Freepik / Wirestock Lebih bimbang jika anda atau pasangan anda tidur lasak hingga membahayakan si bulus yang masih kecil. Salah satu peraturan yang membenarkan anak kucing tidur di atas katil pemilik adalah apabila ia sudah cukup umur untuk boleh turun sendiri dengan selamat. Suka tidur tempat tinggi Kucing biasanya suka tidur di tempat tinggi. Apabila anak kucing tidur di atas katil pemiliknya, ini akan membuatkan si bulus suka berada di atas kepala anda. Selain menimbulkan perasaan tidak selesa, tingkah laku ini juga memberi kesan negatif kepada mereka yang mempunyai alahan. Jadi, adalah lebih baik membiarkan anak-anak kucing tidur di sangkar terlebih dahulu dan hanya membiarkannya tidur di katil pemilik apabila tiba masa yang sesuai buatnya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI