suria

5 manfaat baking soda, sembur-sembur terus serangga perosak hilang... buah pun lebih manis!

Terdapat lima cara mudah halang serangga perosak terus merosakkan tanaman.

UMUM mengetahui baking soda sering digunakan dalam masakan termasuklah untuk membuat kek.

Bagaimanapun, ia juga boleh digunakan sebagai racun yang selamat untuk merawat tanaman diserang serangga perosak.

Selain mudah didapati, penggunaannya juga dapat mengelakkan kita daripada terus menggunakan bahan kimia yang mungkin membahayakan diri dan tanaman.

Baking soda selamat digunakan pada tanaman.

Antara kelebihan menggunakan baking soda adalah:

1. Elak serangan siput

Siput selalunya menyerang tanaman pada waktu malam, justeru menjelang senja tabur baking soda di sekeliling tanaman.

Otot siput akan hancur sekiranya terkena bahan ini.

Elakkan bahan ini daripada terkena bahagian pangkal pokok yang ditanam.

2. Hapuskan bena putih

Serangan bena putih memang selalu berlaku pada pokok jenis sayur-sayuran yang memenuhi bahagian daun.

Bena putih pada pokok.

Salah satu cara untuk merawat masalah serangga perosak ini adalah dengan membuat campuran menggunakan baking soda seperti di bawah:

a. Satu sudu baking soda

b. Satu sudu minyak

c. Satu sudu sabun pencuci pinggan cair

d. 4 liter air

Tuangkan campuran ini ke dalam botol semburan dan semburkan pada tanaman setiap minggu sehingga bena putih hilang.

Dalam pada itu, perhatikan juga sekiranya ada tanda-tanda melecur kerana beberapa jenis tanaman mungkin sensitif dengan bahan ini.

3. Tomato lebih manis

Jika tanam pokok tomato dan mahu buah yang lebih manis, anda boleh gunakan baking soda.

Caranya, cuma taburkan sedikit baking soda pada tanah di sekeliling pokok tomato.

Baking soda bersifat alkali, jadi ia boleh merendahkan kadar asid dalam tanah hingga menjadikan tomato lebih manis.

Baking soda membuatkan tomato lebih manis.

4. Hilangkan masalah kulat hitam atau fungus

Jika ternampak tanaman seperti pokok kari atau cili mengalami masalah kulat hitam pada daun, boleh bancuh semburan ini untuk menghilangkannya.

Cuma campurkan satu sudu teh baking soda dan satu liter air.

Masukkan ke dalam botol dan sembur di bahagian pokok yang terkena jangkitan kulat.

5. Semut hurung tanaman

Masalah semut juga sering menyebabkan tanaman rosak.

Semut bukan sahaja berada di pangkal pokok tapi juga menghurung batang dan daun.

Selain dalam masakan, baking soda juga boleh digunakan untuk tanaman.

Cara mengelakkan serangan semut pada tanaman adalah dengan mengambil sedikit gula halus lalu campurkan bersama sedikit baking soda.

Semut akan mati apabila termakan campuran ini. - STUFF.CO

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain