SEBAGAI insan yang hidup bersama dalam sesebuah komuniti, kita tidak dapat lari daripada bersosial. Komuniti yang dimaksudkan itu termasuklah kawasan kejiranan, tempat kerja, kelas pengajian dan tempat-tempat lain yang dilawati. Aktiviti bersosial antaranya merangkumi keperluan untuk berjumpa orang baharu, membuka bicara dan membuat kenalan. Sesetengah daripada kita mungkin merasakan perkara itu mudah tetapi ada juga yang bergelut untuk membuka mulut ketika di hadapan orang baharu. Seseorang itu perlu belajar untuk menerima diri sendiri seadanya. (Gambar hiasan, Freepik) Hal ini kerana pelbagai senario yang bermain dalam fikiran mereka sehingga menyebabkan keyakinan diri menjadi rendah. Gugup dalam berkomunikasi bersama orang baharu kadangkala boleh menyebabkan seseorang itu berasa cemas dan tidak keruan jadinya. Berikut merupakan beberapa langkah yang boleh diamalkan untuk mengurangkan gugup ketika berkomunikasi: 1) Belajar menerima diri seadanya Bersedia menerima dan menghargai diri seadanya agar dapat melihat potensi dan kelemahan diri. Melalui cara ini, seseorang itu akan lebih tenang ketika bersosial tanpa perlu memikirkan tanggapan orang lain terhadap dirinya. Seseorang itu tidak perlu terlampau berkeras terhadap dirinya. (Gambar hiasan, Freepik) 2) Berdamai dengan masa lalu Bersedia untuk melepaskan semua beban emosi masa lalu. Contohnya kesalahan atau kesilapan yang pernah kita lakukan sehingga membuatkan kita berasa malu dan menyekat diri kita daripada bersosial. Jika dilepaskan perkara-perkara tersebut, kita akan dapat belajar dan membaiki diri untuk lebih yakin ketika di khalayak ramai. 3) Ambil tindakan ke atas diri Seseorang itu harus memiliki keberanian untuk mengejar impian dengan semangat yang waja, menjadi versi diri yang lebih baik daripada sebelumnya. Yakin dan bersedia mengembangkan diri untuk menghadapi rintangan dan menyelesaikan permasalahan. Ketakutan dan keraguan dalam diri perlu dibuang jauh-jauh, tidak ada apa yang boleh mengubah diri melainkan seseorang itu sendiri. Dalam menghadapi gugup bersosial, seseorang itu harus belajar melepaskan masa silam. (Gambar hiasan, Freepik) 4) Fokuskan diri kepada masa sekarang Fokus pada perkara yang sedang kita lakukan dan tetapkan sasaran pada saat itu sahaja. Jangan terlampau banyak berfikir tentang situasi yang mungkin timbul, dengan cara ini kita boleh berhenti mengkritik diri sendiri di dalam minda. Senario-senario buruk yang difikirkan itu belum terjadi dan tidak akan terjadi jika kita sentiasa membaiki diri. Pemikiran seperti ini atau 'overthinking' boleh menghalang kemajuan diri. Ada kalanya musuh sebenar bukan orang di sekeliling tetapi daripada dalam diri kita sendiri. 5) Bersyukur dan belajar untuk berfikiran positif Bersyukurlah di atas apa pun yang sudah terjadi, walaupun untuk perkara-perkara yang kecil. Sebagai manusia, perhatian kita lebih cenderung ke arah unsur-unsur negatif. Maka kita perlu mengajar diri untuk mengingati perkara-perkara yang positif agar dapat diseimbangkan semula. Biasakan diri untuk mengucap syukur sebelum tidur atau selepas bangun tidur. Detik.com Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube