suria

Bakar dulu! Ini petua elak kuali berkarat, makanan pun tak melekat... Ikuti langkah demi langkah cara ‘season the wok’

Ikuti langkah ini untuk pastikan kuali anda tidak mudah berkarat.

BAGI tukang masak, pastinya akan terasa lebih bersemangat untuk masuk dapur apabila peralatan yang akan digunakan sentiasa berada dalam keadaan bersih dan berkilat.

Namun begitu perkara tersebut bukan mudah untuk dilakukan lebih-lebih lagi bagi mereka yang kerap memasak di dapur.

Jelaga hitam pasti akan mula membentuk di kuali apabila ia selalu digunakan.

Namun kini anda tak perlu runsing lagi, tukang masak dan pemilik restoran Soho Sandwich, Wan Luqman ada petua untuk penjagaan kuali.

Wan Luqman yang memiliki lebih 56,000 pengikut di Facebook dan aktif berkongsi pelbagai tip di dapur menerusi platform media sosial berkata kaedah ini juga boleh mengelakkan masakan melekat pada kuali.

Ayuh kita lihat satu-persatu perkongsiannya. Anda boleh boleh cuba sendiri di rumah nanti.

1) Cuci kuali menggunakan sabun dan span besi

Kuali yang baharu dibeli pasti ada kesan minyak (greasy). Itu adalah minyak daripada kilang.

Kita kena cuci dahulu. Gosok dengan menggunakan sabun dan span besi. Depan dan belakang punggung kuali itu harus digosok.

Apabila digosok menggunakan span besi pasti akan nampak kesan-kesan calar yang terhasil. Biarkan saja, itu adalah biasa.

Kuali yang baharu dibeli harus dicuci dan digosok terlebih dahulu.

2) Bakar kuali anda menggunakan api dapur yang maksimum

Buka api dapur pada tahap maksimum dan mula membakar.

Bakar sampai kebiruan seluruh permukaan kuali dan pastikan rata di semua tempat.

Sebagai peringatan, jangan bakar kuali anda di tempat yang sama terlampau lama, apabila kuali sudah mula kebiruan terus beralih ke permukaan lain.

Jika dibiar api membakar di tempat sama terlampau lama, nanti permukaan yang membiru akan mula menjadi warna merah.

Merah itu petanda besi terlalu panas dan akan berkarat di kemudian hari. Jika ini terjadi, sila buang dan beli kuali baharu.

Bakar di semua bahagian kuali dan selepas selesai, biarkan kuali itu untuk sejuk dalam jangka masa 10 minit.

Bakar kuali anda sehingga menjadi warna kebiaruan sebegini.

3) Ratakan minyak masak ke permukaan kuali

Sekarang tibanya masa untuk 'menguji' kuali baharu.

Gunakan tisu dapur (paper towel) untuk ratakan minyak masak ke seluruh permukaan kuali.

Pastikan tisu dapur, bukan tisu muka di dalam kotak yang ada di ruang tamu.

Bagi fasa ujian, goreng bahan seperti bawang, daun bawang, halia atau serai. Goreng sehingga garing atau hangus.

Apabila bahan tersebut sudah garing, buang bahan yang sudah digoreng tersebut dan gunakan tisu dapur untuk lap permukaan kuali.

Dah habis lap, biarkan sekejap dalam tiga hingga lima minit.

Kemudian, bilas dan gosok guna span tanpa sabun.

Selepas bakar, goreng bahan ini untuk fasa ujian kuali.

4) Ulangi semula proses sebanyak dua hingga tiga kali

Lap kuali sehingga kering.Titiskan minyak sedikit dan sapu rata ke seluruh permukaan kuali. Kemudian baru simpan.

Di kemudian hari, apabila mahu digunakan kuali itu, panaskan dahulu dan ratakan sedikit minyak ke seluruh permukaan kuali.. Proses ini dipanggil pre-season.

Ambil tisu dan gosok kuali sambil api menyala, kuali akan mula berasap. Tutup api, sudah lengkap proses pre-season kuali anda.

Bilas kuali anda dan sental dengan menggunakan span.

Lakukan dua hingga tiga kali pre-season. Selepas ini kuali tersebut pasti akan hitam gelap gelita macam di restoran. Apabila memasak, makanan juga tidak akan melekat di kuali.

Ini adalah rangkuman proses pre-season, setiap kali selepas memakai kuali, basuh dan lap sehingga kering.

Seterusnya bakar sekejap di atas dapur. Kemudian sapu minyak di sekeliling permukaan kuali.

Selepas itu baru simpan. Selamat mencuba. - Wan Luqman

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain