suria

Petua mudah buat sendiri racun organik untuk tanaman sayur dan buah-buahan, guna 2 bahan je!

Cili padi boleh digunakan sebagai racun serangga perosak. (Gambar hiasan, Freepik)

KETIKA bercucuk tanam secara kecil-kecilan di rumah, antara masalah utama yang sering timbul adalah serangan makhluk perosak seperti kumbang dan juga ulat.

Jadi ramai yang menggunakan racun untuk menghapuskan atau menghalang kehadiran makhluk perosak tersebut.

Namun begitu, penggunaan racun yang dibeli dalam pasaran ada kalanya mempunyai kandungan bahan kimia yang tidak dikawal selia dan mungkin berbahaya kepada kesihatan manusia.

Cabaran utama dalam bertani adalah kehadiran serangga perosak. (Gambar hiasan, Freepik)

Selain itu, kos untuk membeli racun tanaman juga diakui mahal dan mungkin akan membuatkan poket anda makin menipis.

Mulai hari ini ayuh kita hasilkan racun organik sendiri di rumah, mudah sahaja tekniknya.

Melalui perkongsian oleh Syamimah Ismail di laman Facebook, anda hanya memerlukan cili dan bawang putih untuk menghasilkan racun ini.

Kita mulakan dengan bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan yang diperlukan semuanya boleh didapati di dapur anda.

Bahan-bahan:

1) 1 labu bawang putih

2) 6 biji cili padi

3) 300 mililiter (ml) air

Cara penyediaan:

1) Kisarkan semua bahan di atas.

2) Peram bahan yang dikisar selama 24 jam. Tutup dengan kain untuk elak serangga masuk.

3) Selepas 24 jam, tapis bahan tadi dan ambil patinya sahaja. Hampas kisaran boleh ditabur pada tanaman.

4) Untuk tahan lama, lebihan pati boleh simpan dalam peti ais. Pastikan letak label dahulu, takut terminum pula nanti.

Penggunaan racun organik ini boleh menghalang serangan serangga perosak. (Gambar hiasan, Freepik)

Untuk kegunaan semburan:

Pastikan tambah satu liter air ke dalam 60 ml pati.

1) 1 sudu makan minyak masak

2) 1 sudu teh pencuci tangan

3) Campurkan dan kini sedia untuk digunakan

Tip untuk semburan:

1) Sembur pada waktu lewat petang. Dalam pukul 6 petang ke atas sebab sifat semula jadi serangga perosak aktif pada waktu malam. Jadi sembur waktu lewat petang adalah paling sesuai.

2) Fokus sembur pada bahagian bawah daun sebab dekat situ tempat ‘mereka’ (makhluk perosak) berhimpun.

3) Gunakan nozzle semburan yang paling halus ataupun yang berkabus adalah lebih baik.

4) Sembur seminggu sekali. Sekiranya pokok diserang teruk, sembur selang dua hari sehingga serangga hilang.

5) Apabila pokok dah masuk peringkat berbuah, sembur lebih kerap sebanyak tiga kali seminggu kerana pada peringkat ini, pokok akan lebih senang diserang perosak.

Cara ini memang berkesan untuk menghalau serangga perosak. Perkara yang penting adalah kena rajin dan konsisten sembur. Selamat mencuba! - Syamimah Ismail

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain