suria

Panggung wayang buruk jadi berseri, hasil sentuhan jurutera pesawat hilang kerja - “Bukan cetak, saya lukis sendiri”

Pemuda ini berjaya menghasilkan lukisan mural yang menakjubkan di Kuala Terengganu.

BAKAT terpendam dalam bidang seni menjadi 'penyelamat' untuk pemuda ini yang sukar mencari pekerjaan.

Anak jati Terengganu yang pada mulanya membina kerjaya dalam bidang kejuruteraan penyelenggaraan pesawat ini terpaksa akur pandemik Covid-19 telah mengubah nasib dan kehidupannya.

Sejak fasa kehidupannya yang bergolak, Nas Suha akui sukar mencari pekerjaan tetap tetapi kini bangkit sebagai pelukis mural yang disegani.

seni 2

Hasil lukisan mural oleh Nas di Kuala Terengganu.

Satu pintu tertutup, pasti terbuka pintu rezeki lain! Nas berkata kejayaan terbesarnya setakat ini adalah melukis mural gergasi di Kuala Terengganu dengan hanya menggunakan berus dan tangannya!

"Ada yang salah anggap lukisan mural tu sebagai lukisan kanvas yang dicetak tetapi itu sebenarnya saya lukis berseorangan. Setiap tona warna dan corak dalam mural tu adalah hasil kerja tangan saya sendiri.

"Dulu saya menuntut di Malaysia Airlines Engineering Training Centre selama lima tahun. Tetapi sebab pandemik dan faktor-faktor lain, saya sukar nak dapat kerja dalam bidang tersebut.

"Jadi saya beralih untuk cari rezeki dalam bidang seni yang selama ini saya hanya jadikan sebagai hobi sahaja.

"Waktu belajar dulu saya tak pernah terfikir yang dengan melukis saya boleh buat duit, sebab masa tu bukan zaman kegemilangan penggiat seni," kata Nas ketika dihubungi mStar.

Nas ketika masih bergelar jurutera penyelenggaraan pesawat.

Nas berkata bakat seni pada dirinya mula disedari sejak usia mudanya tetapi diketepikan kerana mahu mengejar jurusan yang disangkakan mampu memberi gaji lebih lumayan.

"Waktu saya kecil, arwah mak rajin bawa saya masuk pertandingan melukis dan mewarna. Dari situ mula datangnya minat seni tapi saya simpan sebagai hobi peribadi.

"Kemudian apabila susah nak cari kerja, saya mula ambil job melukis untuk kafe dan ambil tempahan untuk warnakan phone casing.

"Selepas itu saya share hasil kerja di media sosial dan dari situ mula dapat sambutan yang positif. Tempahan bertambah dari hari ke hari.

"Dan dari media sosial juga saya disambungkan kepada projek terbesar dalam portfolio kerjaya saya, projek bersama Hotlink," kata Nas yang gembira dengan kurniaan rezeki tersebut.

Nas sempat menyelitkan masa untuk hobinya ketika berada dalam industri penerbangan.

Menurut Nas, dia dihubungi oleh kakitangan Hotlink yang kagum melihat hasil kerjanya dan mahu berkolaborasi untuk projek mega.

"Salah seorang staf Hotlink ini dah lama follow saya dekat media sosial dan mereka dah lama perhatikan hasil kerja yang saya share.

"Mereka mesej saya di Twitter dan dari situ projek ini bermula. Hotlink sediakan kepada saya semua keperluan dan kelengkapan seperti berus, cat dan juga sky lift (kren) untuk saya memanjat dan melukis.

"Bangunan yang dlukis mural itu ialah panggung wayang lama dari zaman dulu di Kuala Terengganu. Sesuai dengan tema, Hotlink mahu ketengahkan budaya seni di Terengganu dalam lukisan.

"Saya sediakan lukisan itu dalam skala kecil dulu untuk consult dengan Hotlink dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, mereka minta tambah tudung kepada wanita yang mulanya free hair dalam lukisan saya," kata Nas.

Antara lukisan Nas ketika di zaman kanak-kanak.

Nas mengakui proses menghasilkan lukisan mural itu penuh dengan rintangan dan mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk menyiapkannya.

"Projek itu bermula pada Februari 2022 dan siap sepenuhnya tiga bulan kemudian iaitu pada Mei. Cabaran terbesar yang saya hadapi pada masa tu ialah cuaca.

"Projek itu sepatutnya dalam masa dua bulan dah boleh siap tapi tertangguh sebab hujan. Tak boleh nak tutup lukisan tu dengan kain sebab besar sangat, jadi terpaksa biar je.

"Apabila hari hujan, bahagian lukisan yang belum kering akan rosak sedikit dan saya kena betulkan semula pada keesokan harinya, banyak habis masa dekat situ.

"Cuaca panas tidak jadi masalah sebab saya kerja di sebelah malam. Saya mula kerja dari pukul 8 malam hingga pukul 4 pagi untuk elak terik matahari," kata Nas yang kini menetap di Lembah Klang.

Setiap lukisan mural yang memukau bermula dengan satu garisan yang dicoret.

Selain kebergantungan kepada cuaca, Nas berkata cabaran lain yang dihadapinya adalah saiz dan magnitud lukisan mural itu yang terlampau besar.

"Kita apabila buat lukisan mural ni nak kena teliti, setiap detail itu sangat penting.

"Tapi sebab lukisan mural ni besar sangat, ketika melukis, apa yang saya boleh nampak depan mata saya adalah terhad.

"Setiap kali saya siap satu bahagian, saya kena ke belakang di seberang jalan untuk tengok lukisan mural itu dari jauh. Baru nampak keseluruhan apa yang boleh ditambah baik." ujar Nas.

Nas sempat berkongsikan bagaimana dia mendapat inspirasi untuk lukisan mural tersebut dengan melawat tempat kesenian di Terengganu.

"Saya ambil masa dalam sebulan lebih untuk melawat muzium negeri Terengganu serta duduk semeja dengan pembuat wau, songket dan batik di Terengganu.

seni 7

Nas menjelajah kawasan pedalaman Terengganu untuk mencari ilham dan inspirasi.

"Saya pergi ke tempat-tempat ini untuk dapatkan input yang boleh membantu saya dalam pembikinan design lukisan mural itu," terang Nas.

Menoktahkan bicara, Nas menitipkan pesanan agar anak seni di luar sana berani untuk mengambil risiko.

"Apa-apa peluang yang datang, ambil je. Walaupun rasa seperti ragu-ragu, mulakan dulu, itu yang penting.

"Baru kita boleh lihat apa yang kita mampu capai sebenarnya," kata Nas.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain